Pendidikan dan pembinaan akhlak peribadi bersepadu menurut Hasan al-Banna (Bhgn. 1)

1.1 Pendahuluan

Jalan dan cara kebangkitan sesuatu umat menurut Hasan al-Banna tidak akan berlaku tanpa akhlak. Apabila umat ini dihiasi dengan roh jihad, pengorbanan, mengekang hawa nafsu dan syahwat maka ia akan berjaya. Ini bermakna sekiranya umat ini mampu membebaskan diri daripada ikatan tuntutan-tuntutan nafsu dan kemewahan hidup maka ia akan berjaya membebaskan dirinya daripada semua perkara keji itu lalu menjadi batu bata asas pengislahan akhlak umat. Perkara ini tidak dapat dilakukan tanpa ada proses pendidikan atau proses pembentukan(Yusuf al-Qaradawi, 1982).

1.2 Pendidikan Islam menurut Ikhwan al-Muslimin

Sebelum membicarakan pendidikan dan pembinaan akhlak bersepadu menurut pemikiran al-Banna terlebih dahulu penulis mengutarakan konsep pendidikan Islam menurut al-Banna dan Ikhwan al-Muslimin secara umum.

Menurut Ali Abdul Halim Mahmud (1989) Pendidikan Islam menurut Ikhwan al-Muslimin ialah

“Satu uslub paling ideal untuk berinteraksi dengan fitrah manusia dengan bimbingan secara langsung melalui perkataan dan tidak secara langsung melalui qudwah, menepati manhaj khas dan wasilah-wasilah tertentu bagi menghasilkan perubahan dalam diri manusia ke arah yang lebih baik ”.

  • “Uslub” ialah cara atau teknik, iaitu teknik atau cara berinteraksi dengan manusia.
  • “Paling ideal” bermaksud lebih baik, lebih manfaat, lebih sesuai. Uslub tarbiah yang paling ideal ialah uslub tarbiah yang Allah laksanakan untuk mendidik nabi S.A.W, dan apa yang dilaksanakan oleh Rasulullah kepada para sahabatnya. Secara umum berdasarkan sunnah dan secara khusus melalui seerah Nabi S.A.W
  • “Fitrah” ialah tabiat semulajadi manusia samada yang baik mahupun yang buruk
  • “Interaksi” bermaksud berinteraksi dengan tabiat semulajadi manusia yang sangat kompleks dan rumit dari aspek praktikal.
  • “Bimbingan secara langsung” pula ialah pengajaran dan pendidikan serta penyediaan individu secara terus menerusi perkataan samada berbentuk arahan, larangan, ransangan, peneguhan positif ataupun negatif, ataupun berbentuk cerita, peringatan, nasihat, sorotan peristiwa atau rencana, kajian atau perkataan yang didengar mahupun yang dilihat(audio visual). Semuanya bertujuan menghasilkan perubahan.
  • “Bimbingan secara tidak langsung” pula ialah menampilkan qudwah, contoh tauladan amal-amal saleh, perilaku atau tatasusila dan akhlak yang baik lagi terpuji yang dapat dicontohi oleh anak didik daripada pendidik.
  • Manakala “manhaj” pula ialah jalan yang jelas petunjuk-petunjuknya, juga strategi yang digariskan secara terperinci. Ia juga disebut sebagai Minhaj (kurikulum atau metodologi).

Firman Allah:

“Bagi tiap-tiap umat Yang ada di antara kamu, Kami jadikan (tetapkan) suatu syariat dan jalan ugama (yang wajib diikuti oleh masing-masing).” (Al-Maidah: 48)

1.3 Langkah praktikal bukan sekadar teori

Aspek pendidikan dan pembinaan akhlak adalah menjadi salah satu perkara pokok dalam agenda Hasan al-Banna dalam kerangka mengembalikan semula kegemilangan umat dan citranya dan memenuhi salah satu aspek pendidikan Islam yang menyeluroh. Kita dapati antara langkah awal Hasan al-Banna setelah penubuhan Ikhwan pada bulan Mac 1928 ialah menyediakan pusat pendidikan dan kegiatan Ikhwan dinamakan sebagai “Madrasah at-Tahzib” yang disewakan oleh Syeikh Ali as-Syarif iaitu sebuah bangunan pejabat Syeikh Ali as-Syarif sendiri. Di madrasah ini kurikulum pendidikan Islam yang difahami dilaksanakan oleh Hasan al-Banna secara amali. Hasilnya setelah sesi pengajian 1927/1928M berakhir, ia berjaya mengeluarkan sejumlah tujuh puluh orang anak didik Ikhwan sebagai keluaran pertamanya.

Seterusnya dengan usaha dan pengorbanan serta derma ahli-ahli Ikhwan sendiri maka sebuah masjid dapat didirikan di atas sekeping tanah yang telah dibeli oleh Ikhwan. Di bahagian atas masjid dibina sekali institusi pendidikan dinamakan dengan Madrasah Hira’ khas untuk pelajar lelaki selain diperuntukkan sebuah pejabat pusat pentadbiran untuk kegiatan Ikhwan “Dar al-Ikhwan”. Tidak lama selepas itu sebuah pusat pendidikan khas untuk pelajar wanita ditubuhkan dengan menyewa sebuah bangunan besar diberi nama Madrasah Ummahat al-Mukminin. Dengan wujudnya sebuah masjid, pejabat pentadbiran Ikhwan, institusi pendidikan Maahad Hira’ untuk pelajar lelaki dan  Maahad Ummahat al-Mukkinin untuk pelajar wanita semuanya di bandar Ismailiah menjadi batu loncatan untuk dakwah Islam berkembang di kampung-kampung dan bandar-bandar berhampiran(Hasan al-Banna, t.t).

Gerakan Ikhwan Muslimin pimpinan Hasan al-Banna telah berjaya membangun madrasah contoh yang merealisasikan pendidikan Islam sebenar. Antara hasil utama dari madrasah contoh ini ialah pembentukan generasi Muslim yang baru, memahami Islam dengan sebenar, mengimani Islam dengan keimanan mendalam, bekerja untuk diri, keluarga dan berjuang menegakkan kalimah Allah, mendaulatkan syariat Islam dan menyatukan umatnya (Yusuf al-Qaradawi, 1982).

Ustaz Mohd Najib bin Sulaiman
Ketua Biro Dakwah
ISMA Alor Setar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *