Pendidikan dan pembinaan akhlak peribadi bersepadu menurut Hasan al-Banna (Bhgn. 2)

1.4          Faktor kejayaan Ikhwan Muslimin dalam misi pendidikan

Hasan al-Banna dan gerakan Ikhwan al-Muslimin yang diasaskan olehnya dilihat berjaya dalam melaksanakan misi pendidikan ahli-ahlinya. Yusuf al-Qaradawi (1982) menyenaraikan beberapa faktor kejayaan Ikhwan Muslimin membangun dan berhasil dalam aspek pendidikan antaranya ialah:

1.            Keimanan kental bahawa pendidikan adalah satu-satunya jalan untuk merubah masyarakat, membentuk pemimpin dan merealisasi cita-cita. Imam Hasan al-Banna menyedari sepenuhnya bahawa pendidikan itu jalannya jauh, panjang bertahap dan banyak kesukaran. Hanya sedikit manusia yang bersabar mengharunginya. Beliau yakin itulah sahaja cara mencapai tujuan dan tiada cara lain. Itulah jalan dan cara Nabi S.A.W yang berjaya membangun generasi rabbani contoh yang tiada tandingannya di dunia. Generasi inilah yang kemudiannya mendidik berbagai bangsa dan memimpin mereka ke arah kebenaran dan kebaikan.

2.            Metodologi pendidikan yang mempunyai objektif, strategi-strategi dan sumber-sumber yang jelas, pelbagai aspek yang saling melengkapi, pelbagai teknik atau uslub yang berasaskan kepada falsafah yang jelas dan bersumber dari ajaran Islam bukan dari ajaran yang lain.

3.            Suasana kebersamaan yang positif yang dibina oleh jamaah Ikhwan. Hal itu akan membantu setiap anggotanya untuk hidup secara Islam melalui cadangan, contoh tauladan, penglibatan perasaan dan tindakan. Manusia menjadi lemah bila menyendiri dan menjadi kuat dengan berjamaah. Jamaah adalah kekuatan untuk melakukan kebaikan dan ketaatan serta merupakan perisai daripada kejahatan dan maksiat. Maksud hadith: “Pertolongan Allah diberikan kepada jamaah.” Dan “Serigala hanya memakan kambing yang tersisih daripada kawanannya.”

4.            Pemimpin yang mendidik dengan bakat, ilmu dan pengalamannya yang dianugerahi kekuatan tenaga iman yang luar biasa, mengesani setiap hati yang berhubung dengannya, melimpah dari hatinya ke hati orang di sekitarnya. Dia ibarat dinamo atau sumber tenaga yang mengisi “bateri tenaga” hati-hati mereka. Hati yang hidup tentunya dapat menghidupkan hati-hati yang mati atau lemah sedangkan sebaliknya hati yang mati gagal menghidupkan hati yang mati. Ini adalah kerana orang yang tidak memiliki apa-apa tidak dapat memberi sesuatu kepada orang lain.

5.            Mempunyai jumlah mencukupi tenaga pendidik yang ikhlas, kuat dan dipercayai yang meyakini jalan yang direntas oleh pimpinan. Mereka mempunyai pengaruh terhadap anak-anak buahnya seterusnya mereka ini pula menjadi pendidik untuk generasi selepasnya.

6.            Menggunakan pelbagai cara atau uslub, kaedah, teknik dan pendekatan pendidikan. Ada kalanya berbentuk peribadi, sebahagiannya pula berbentuk kolektif atau jamaei, ada berbentuk teori manakala yang lainnya bersifat praktikal. Ada yang berbentuk kognitif dan ada yang berbentuk perasaan selain daripada berbentuk positif mahupun negatif. Semuanya digarap dan diaplikasi dalam pelbagai kaedah samada kaedah pengajaran, ceramah, pidato, seminar dan kaedah pendekatan peribadi. Teknik pelbagai seperti slogan yang dihafal dan laungan semangat, nasyid dan lagu yang senikata dan iramanya mengesani jiwa, pertemuan-pertemuan berkala setiap kelompok terpilih di rumah-rumah dengan acara membaca al-Quran, meluaskan pengetahuan, ibadah dan memperkuat ikatan ukhuwwah. Kelompok ini dinamakan unit “usrah” atau keluarga. Selain itu adanya pertemuan-pertemuan malam yang diisi dengan pelbagai program kognitif berbentuk ilmu pengetahuan, kerohanian dengan program ibadah, fizikal dengan aktiviti riadah dan sebagainya. Ini dinamakan sebagai ‘katibah’ untuk menghidupkan makna jihad dan pelbagai lagi wasilah atau wahana pendidikan yang sesuai.

1.5          Ciri-ciri khas Pendidikan Islam Ikhwan Muslimin

Pendidikan Islam menurut Ikhwan Muslimin dan aplikasinya mempunyai ciri-ciri khas dan menonjol yang disenaraikan secara ringkas seperti berikut (Yusuf al-Qaradawi, 1982, ms.7):

  1. Penekanan terhadap aspek Rabbani (keimanan kepada Allah atau ketuhanan)
  2. Lengkap dan menyeluruh
  3. Keserasian dan seimbang
  4. Positif dan konstruktif (membina)
  5. Ukhuwwah dan semangat kesetiakawan
  6. Beridentiti dan bebas merdeka

Ustaz Mohd Najib bin Sulaiman
Ketua Biro Dakwah
ISMA Alor Setar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *