Pendidikan dan pembinaan akhlak peribadi bersepadu menurut Hasan al-Banna (Bhgn. 4)

3.2 Sepuluh Asas Pemulihan Aspek Sosial Masyarakat

Proses pemantapan akhlak individu banyak dipengaruhi faktor persekitaran dan lingkungan masyarakat yang didiami individu berkenaan. Selain program menjurus pembinaan akhlak individu, aspek sosial masyarakat perlu dipulihkan agar pendidikan akhlak individu berkesan dan bertahan dalam suasana yang kondusif dan positif.

Abdul Hamid al-Ghazali (2004) dalam menanggapi agenda pemulihan aspek sosial Hasan al-Banna dalam agenda kebangkitan umat yang dapat membantu pemantapan akhlak individu menggariskan sepuluh perkara asas berikut:

1. Mewujudkan sifat ketuhanan dan keagamaan dalam masyarakat
2. Memelihara tatasusila atau adab masyarakat dan mengukuhkan institusi masyarakat.
3. Pemeliharaan institusi keluarga (wanita, pemuda dan kanak-kanak)
4. Menghapuskan jenayah dan penyelewengan
5. Mewujudkan sistem pemantauan (hisbah)
6. Mewujudkan keadilan sosial serta menyediakan peluang pekerjaan
7. Memulihkan sistem pendidikan
8. Menjaga kesihatan masyarakat
9. Mengawal pihak media dan kegiatan seni
10. Memantau kegiatan pelancongan

Di sini dibincangkan secara ringkas beberapa asas pemulihan aspek sosial yang dilihat dapat banyak membantu pembentukan peribadi berakhlak mulia dan luhur dalam suasana masyarakat yang makmur.
Dalam asas pertama iaitu mewujudkan sifat ketuhanan dan keagamaan dalam masyarakat menurut Hasan al-Banna adalah merangkumi:

a. Memelihara semua kegiatan yang membangun nilai kemanusiaan
b. Mengukuhkan ciri masyarakat bertamadun

Melalui asas kedua iaitu “Memelihara tatasusila atau adab masyarakat dan mengukuhkan institusi masyarakat” pula adalah penting sekali disentuh kerana ada hubungan langsung dengan pendidikan akhlak dan pembinaan peribadi.

Asas ini disentuh oleh Hasan al-Banna dengan katanya:

“ Islam meletakkan perubahan keadaan sesuatu bangsa bergantung kepada perubahan pada akhlak dan kemurnian jiwa mereka. Firman Allah Taala:

Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. (Ar-Ra’d :11)

“Tiada satupun sistem yang dapat menandingi Islam yang mempunyai segala faktor yang dapat menyentuh hati, menghidupkan jiwa dan mewujudkan kawalan dalaman yang merupakan pengawal terbaik. Tidak ada satupun undang-undang selain Islam yang dapat mengatur hidup manusia hingga ke sudut yang dianggap rahsia dan sulit.” (Risalah Menuju Cahaya, dalam Hasan al-Banna,t.t).

Berdasarkan beberapa tulisan Hasan al-Banna, merealisasikan asas kedua ini memerlukan kepada beberapa tindakan:

  1. Mendidik masyarakat supaya menghornati tatasusila atau adab
  2. Benteras semua tradisi yang memudaratkan ekonomi, akhlak dan sebagainya. Ubah kebiasaan masyarakat kepada amalan yang bermanfaat atau didik mereka dengan perkara yang membawa kebaikan seperti adat majlis perkahwinan, kematian, menyambut kelahiran, kunjungan, sempena, perayaan dan sebagainya. Kerajaan perlu menjadi contoh yang baik untuk tujuan ini.
  3. Hapuskan pengaroh asing yang meresap dalam masyarakat seperti bahasa, cara berpakaian, pengasuh, jururawat dan sebagainya. Pulihkan semula budaya ini terutama dalam kalangan masyarakat kelas atasan.
  4. Meletakkan negara sebagai wakil kepada gagasan ini dan bertindak sebagai penjaga gagasan ini. Negara juga bertanggungjawab mencapai matlamat gagasan dalam sebuah masyarakat dan kemudian menyampaikan gagasan ini ke seluroh manusia.
  5. Memelihara perpaduan umat Islam dan menghapuskan segala bentuk yang membawa perpecahan.
  6. Melaungkan ikatan persaudaraan seluroh manusia.
  7. Bergaul baik dan memiliki sepenuhnya akhlak yang baik.
  8. Mewujud, memelihara dan meransang institusi-institusi atau agensi-agensi sosial yang membantu mengukuhkan perpaduan masyarakat serta semangat tolong-menolong. Membantu agar institusi ini beroperasi dengan baik dan lancar. Menghimpunkan anggota institusi ini yang boleh berhadapan dengan segala ancaman dan melaksanakan tugas meeka dengan baik.

Dalam asas keempat pula yang menyatakan keperluan menghapus jenayah dan penyelewengan dengan merealisaikan beberapa tindakan perlu dilakukan seperti berikut:

  1. Hapuskan pelacuran
  2. Hapuskan segala bentuk judi
  3. Perangi arak sama seperti dadah
  4. Benteras gejala bersolek dan pendedahan aurat di samping kaum wanita perlu dididik supaya berkelakuan sopan.
  5. Mengawal naluri menjaga keselamatan dan naluri menjaga kesinambungan zuriat di samping mengatur keperluan makanan dan seks.
  6. Tegas dalam memerangi jenayah yang sebenar dan menjamin keselamatan awam.

Dalam asas kelima pula iaitu mewujudkan sistem hisbah perkara perlu dilakukan menurut Hasan al-Banna ialah:

  1. Kemaskini usaha penguatkuasaan syarak dan hukum orang yang sabit melakukan perkara yang bercanggah dengan syarak seperti tidak berpuasa di bulan Ramadan, tidak menunaikan solat dengan sengaja atau menghina agama dan seumpamanya.
  2. Menyuruh perkara yang baik dan memberikan nasihat.
  3. Mencegah perkara yang tidak baik serta memulaukan tempat dan pelakunya.

Kesimpulannya beberapa asas pemulihan aspek sosial yang dijelaskan di atas banyak membantu melancarkan proses pendidikan akhlak dan pembentukan peribadi berakhlak luhur kerana suasana persekitaran masyarakat yang makmur dan harmoni mampu menyuburkan pembentukan peribadi berakhlak mulia.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *