Penekanan muamalat Islam mesti diambil serius – Dr. Zulkifli

KEPALA BATAS (Kedah), 14 Julai – “Sama seperti soal halal atau tidak dalam aspek makanan, persoalan yang sama sepatutnya dititik beratkan dalam aspek muamalat dan perbankan seharian.”

Itulah apa yang diungkapkan oleh Yang di-Pertua ISMA Alor Setar, Dr. Zulkifli bin Yusof dalam ucapan perasmian Bicara Pelaburan Emas & Perbankan Islam baru-baru ini.

Dalam ucapan beliau, Dr. Zulkifli menerangkan bahawa riba’ merupakan perkara pokok yang perlu masyarakat Islam kenal, faham dan elakkan dalam kehidupan seharian. Hal ini disebut dalam petikan ayat 279 dari Surah al-Baqarah yang bermaksud, “Kalau kamu tidak juga melakukan (perintah mengenai larangan riba itu), maka ketahuilah kamu: akan adanya peperangan dari Allah dan RasulNya.”

Sebelum mengakhiri ucapan, Dr. Zulkifli berharap agar ilmu dan kesedaran yang bakal diterima oleh hadirin berkenaan hukum-hakam Islam dalam muamalat seharian dapat menjadi pemula yang terbaik untuk membersihkan diri daripada dosa dan syubhah agar ibadah yang terbaik boleh dilaksanakan pada Ramadhan nanti.

Program yang diadakan di Dewan Masjid Jamek as-Shahab ini menampilkan Profesor Madya Dr. Asmadi bin Mohamed Naim, Dekan Fakulti Perniagaan Islam, Universiti Utara Malaysia sebagai penceramah jemputan. Dalam pembentangan, Dr. Asmadi menyentuh hukum-hukum Islam dan kekeliruan yang ada dalam amalan pelaburan emas pada masa kini.

Media ISMA Alor Setar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *