Penerangan mesej slogan MSIB diteruskan

GOMBAK – Ikatan Muslimin Malaysia akan meneruskan pelbagai usaha dalam menerangkan mesej sebenar slogan Melayu Sepakat Islam Berdaulat kepada masyarakat awam.

Menurut Presiden ISMA, Ustaz Abdullah Zaik Abdul Rahman, ramai pihak telah memperkatakan slogan tersebut namun ia masih belum sampai kepada semua lapisan masyarakat.

“MSIB telah diperkatakan banyak pihak, ini bermakna mesej umum MSIB telah sampai kepada sebahagian masyarakat khususnya kepada di kalangan ahli politik, pemimpin-pemimpin NGO, penceramah-penceramah dan juga pensyarah universiti, tetapi mesej sebenar MSIB belum sampai kepada semua lapisan masyarakat.”

Jelasnya lagi, ISMA akan mengadakan sesi penerangan berhubung asal-usul ideologi luar seperti liberalisme dan pluralisme selain usaha memperkukuhkan asas-asas mengenai kepentingan kembali kepada Islam yang dijalankan.

“Kita juga akan meningkatkan penerangan khususnya mengenai liberalisme, pluralisme dan sebagainya, kerana kita lihat perkara ini belum cukup difahami oleh masyarakat. Jadi kita perlu lebih banyak memberi penjelasan.”

Beliau berkata demikian semasa ditemui pemberita dalam Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran ISMA di kediaman Timbalan Presiden ISMA, Tuan Haji Aminuddin Yahaya Ahad lalu.

Tambah beliau, ISMA juga akan mengadakan satu program yang menceritakan asal-usul hubungan antara Melayu dan Islam dengan menampilkan tokoh-tokoh persatuan Melayu di rantau ini.

Dalam perkembangan berkaitan, seruan Melayu Sepakat Islam Berdaulat yang diperkenalkan turut mendapat sambutan baik di kalangan masyarakat di beberapa tempat di utara Malaysia yang majoritinya berbangsa Melayu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.