Pengharaman bank susu ibu elak kecelaruan identiti dan keturunan

BANGI, 16 Januari – “Saya menyambut baik fatwa yang dikemukakan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan bagi mengelakkan umat Islam semakin celaru dan keliru dengan identiti dan keturunan mereka pada masa akan datang”, ujar Ustazah Norsaleha Mohd Salleh, Ketua Wanita Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) apabila diminta mengulas mengenai isu pengharaman bank susu ibu yang diputuskan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia yang disiarkan di dalam akhbar Berita Harian hari ini.

Tambah beliau, mengikut hukum Islam, bayi yang menyusu dengan ibu susuan sehingga kenyang akan mendapat taraf anak dengan ibu tersebut di mana anak-anak ibu susuannya akan menjadi adik-beradik susuan termasuk suami kepada ibu yang menyusukannya menjadi ayah susuan.

“Kewujudan bank susu ibu tidak menjamin kepada penjagaan tatasusila dan aliran susu ini dengan betul apabila ibu yang mendermakan susu tidak mengetahui siapa bayi yang menggunakan susu tersebut dan begitu juga sebaliknya dengan bayi tersebut”, tegas Ustazah Norsaleha.

Alternatif

Ustazah Norsaleha juga mencadangkan supaya mewujudkan satu perkhidmatan penyusuan yang dikendalikan secara profesional dan sistematik dalam mengatasi masalah ibu-ibu yang tidak mampu menyusukan bayi-bayi mereka. Cadangan ini dikemukakan beliau berdasarkan amalan yang pernah dilakukan pada zaman Rasulullah s.a.w apabila ramai wanita-wanita yang pergi ke pasar menunggu bayi-bayi yang akan mereka susukan dengan upah yang tertentu.

Menurut beliau lagi, kaedah yang dilakukan ini sesuai diamalkan kerana mereka masih boleh mengenali antara satu sama lain memandangkan keluarga bayi berkenaan mengenali ibu yang menyusukan anak mereka dan begitu juga sebaliknya.

Beliau berkata, perlaksanaan kaedah tersebut juga boleh dilakukan supaya ikatan kekeluargaan tidak hilang dan budaya kenal mengenali itu berterusan sepanjang hayat.

“Allah s.w.t mensyariatkan Islam kepada umat manusia dengan tujuan dan matlamat yang khusus di mana antara tujuan pensyariatan Islam ialah untuk menjaga agama, keturunan, nyawa, maruah dan harta.

“Bagi tujuan menjaga keturunan, Allah Taala syariatkan perkahwinan yang mempunyai syarat dan hukumnya yang tertentu.

“Dalam perkahwinan ini ada bab hadanah dan susuan, iaitu penjagaan anak dan susuan di mana susuan ini termasuk dalam perkara yang perlu dipelihara kerana air susu itu akan menjadi darah dan daging kepada anak yang menyusu tadi”, ujarnya.

Apabila ditanya tentang khasiat susu ibu berbanding susu formula, Ustazah Norsaleha berkata, walaupun susu ibu terbukti berkhasiat dan penting kepada pembesaran dan pertumbuhan anak-anak sama ada fizikal mahupun sahsiah, namun dalam konteks ini, mudarat kecelaruan keturunan dan identiti itu lebih besar berbanding dengan penggunaan susu formula.

Beliau menambah lagi, terdapat juga kanak-kanak yang membesar dengan hanya meminum susu formula sahaja tanpa setitis pun menghisap susu ibunya, malah kanak-kanak tersebut sihat dan membesar dengan baik tanpa mengalami sebarang penyakit kronik sehingga dewasa.

Ustazah Norsaleha juga turut berkongsi pengalamannya dalam membesarkan sembilan orang anak di mana anak-anak beliau menerima susu ibu sepenuhnya dalam usia enam bulan terawal dan apabila menjangkau enam bulan ke atas, beliau selangi penyusuan anak-anak dengan susu formula bagi memudahkan pergerakan dalam melaksanakan tanggungjawab kepada kerjaya dan masyarakat.

“Aktiviti menyusu dapat mengeratkan hubungan ibu dengan anak-anak melalui hubungan mata ke mata yang berlangsung sepanjang tempoh susuan tersebut. Hubungan yang terbina ini secara tidak langsung membina ikatan batin antara anak dan ibu, apatah lagi sekiranya anak tersebut masih lagi dalam tempoh menyusu, ibu-ibu dapat merasai saat-saat tangisannya walaupun ketika mereka berada di tempat kerja”, kata beliau.

Apabila ikatan batin antara anak dan ibu terbentuk, maka mudahlah bagi ibu untuk mendidik dan mengajar anak-anak mereka dengan lebih berkesan dan baik, tambah Ustazah Norsaleha lagi.

Ustazah Norsaleha juga menasihati ibu-ibu yang bekerjaya supaya memastikan apabila mengepam susu dan ingin menyimpan di peti ais pejabat, pastikan peti ais tersebut adalah khusus untuk pekerja-pekerja wanita sahaja kerana dibimbangi akan timbul perasaan negatif dan kurang senang di kalangan rakan-rakan sekerja yang lain.

“Sememangnya niat para ibu itu betul dan baik, tetapi perlulah juga menjaga hati dan perasaan orang lain, apatah lagi susu yang disimpan itu boleh memberi seribu maksud dan makna kepada yang melihatnya.” tegas beliau lagi.

Sumber: Wanita ISMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *