Penjajahan Portugis, British tidak mengikis status Malaysia Negara Islam

ALOR SETAR, 2 Februari – Kedatangan penjajah Portugis dan British ke Tanah Melayu tidak mengikis status tanah ini sebagai negara Islam.

Menurut Naib Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni, Malaysia ialah antara negara jajahan British yang masih mempunyai institusi kesultanan Melayu Islam.

“British telah cuba mewujudkan Malayan Union yang akan menjadikan Malaysia bertuankan Ratu Elizabeth, tetapi usaha ini gagal atas bantahan penduduk Tanah Melayu terdahulu.

“Kemudian Suruhanjaya Reid ditugaskan untuk mewujudkan Perlembagaan Persekutuan, namun elemen-elemen utama sedia ada berkaitan kedudukan Islam, peranan raja dan hak-hak Islam di Tanah Melayu berjaya dikekalkan.

“Hal ini merupakan titik tolak kepada bukti bahawa Malaysia ialah negara Islam sejak sekian lama.

Menurutnya lagi, catatan sejarah telah menyebut tentera Portugis telah menjatuhkan Kesultanan Melayu Islam Melaka, merobohkan masjid-masjid dan membongkar serta mencabut batu-batu nisan perkuburan penduduk Islam.

“Tetapi kesan pendudukan Portugis tidak lebih 14 kilometer dari Bandar Melaka dan melibatkan syiar-syiar Islam, itu sahaja.

Beliau berkata demikian dalam Seminar Malaysia Negara Islam anjuran ISMA Alor Setar di The Jerai Hotel di sini, pagi tadi.

Lebih 60 orang wakil pertubuhan bukan kerajaan dan agensi kerajaan tempatan seperti MAPIM, HALUAN, MACMA, KEDA, USF, As-Sakinah dan Persatuan Sejarah Kedah serta ahli-ahli Isma hadir dalam seminar tersebut.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.