Peringatan buat hati yang lalai

“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah dengan ketaqwaan yang sebenar-benarnya, dan janganlah kamu mati kecuali dalam keadaan beragama Islam, iaitu tunduk dan patuh dengan penuh keikhlasan kepada Allah.”

Ada dua perkara penting yang Allah perintahkan kepada kita dalam ayat di atas. Pertamanya Allah meminta kita supaya berusaha bersungguh-sungguh untuk membina sifat taqwa dalam diri kita sehingga sampai kepada darjat taqwa yang sebenarnya, yang membolehkan kita melaksanakan tuntutan agama dengan sempurna, bukan sahaja dalam bidang ibadah, malahan dalam aktiviti kehidupan keseluruhannya.

Keduanya, ayat ini meminta kepada kita setelah kita berjaya memiliki ketaqwaan yang sebenarnya, sewajarnya kita terus istiqomah dengan ketaqwaan tersebut sehingga kita menemui Allah Azzawajalla.

Kita semua menyakini bahawa setiap yang hidup pasti akan mati, demikian jugalah diri kita walau bagaimana hebat sekali pun kita, apabila sampai ajalnya, malaikat Izrail tetap akan datang merentap nyawa kita, tidak kira dalam apa jua keadaan kita, sehat atau sakit, tua atau muda, taat atau pun durhaka kepada Allah s.w.t.

Firman Allah dalam surah al-Jum’ah, ayat 8 yang bermaksud.

“Katakan kepada mereka wahai Muhammad, sesungguhnya mati yang kamu lari darinya itu, pasti akan menemui kamu. Kemudian kamu akan dikembalikan kepada (Allah) yang mengetahui segala yang ghaib dan nyata, lalu Allah akan memberitahu kepadamu apa yang telah kamu lakukan (kemudian kamu akan dibalas dengan balasan yang sewajarnya berdasarkan kepada amalan kamu semasa hidup di dunia ini).

Sesungguhnya kehidupan ini tidak hanya berakhir dengan kematian tetapi ia berakhir dengan pembalasan syurga atau neraka. Maka beruntunglah orang-orang yang beriman dan mentaati perintah Allah dalam kehidupan ini. Sebaliknya rugi dan sengsaralah orang-orang yang menjadikan hidup ini hanya sebagai tempat untuk berfoya-foya dan memuaskan hawa nafsunya sahaja.

Demikianlah kesah seorang manusia yang apabila nyawanya telah terpisah dari jasadnya, maka tinggallah segala apa yang dimilikinya, sama ada kaum keluarganya, harta kekayaannya, pangkat kedudukan dan sebagainya. Jadilah ia sebagai jasad yang terbujur kaku hanya menunggu diurus dan dihantar kekubur untuk dikebumikan. Maka bermulalah baginya alam baru, yang bernama alam kubur atau alam barzakh, sementara menunggu hari hisab dan pembalasan daripada Allah tuhan sekalian alam.

Alam kubur atau alam alam barzakh adalah merupakan tempat persinggahan pertama daripada tempat2 persinggahan kealam akhirat. Alam kubur juga merupakan tempat permulaan seorang manusia itu, menerima balasan dari Allah. Firman Allah dalam surah Al An’am ayat 62 yang bermaksud:

“Kemudian mereka dikembalikan kepada Allah, pengawas mereka yang sebenar. Ketahuilah oleh kamu semua, bagi Allah jualah kuasa menetapkan hukum, dan Dia penghitung yang paling segera.”

Ketika berada di alam kubur, seseorang itu sudah dapat merasa dan menjangka sama ada dia akan mendapat nikmat syurga atau kesengsaraan azab neraka diakhirat nanti.

Sabda Rasulullah s.a.w.,

“Sesungguhnya kubur adalah tempat persinggahan pertama daripada tempat-tempat persinggahan alam akhirat. Oleh itu jika seseorang itu terselamat dari azab kubur, maka selepas itu adalah lebih mudah kepadanya dan sekiranya dia tidakselamat dari azab kubur, maka selepas itu adalah lebih dahsyat (daripada apa yang berlaku padanya di dalam kubur).”

Yakinlah kita bahawa orang-orang beriman yang bertaqwa, serta istiqamah mentaati Allah dalam kehidupan dunia ini, kehidupan mereka di alam kubur, penuh dengan segala macam kenikmatan kurniaan Allah, sedangkan orang-orang yang syirik, kufur, munafik dan ingkar terhadap suruhan Allah dalam kehidupan ini, sudah pasti siksaan dan azab kubur mengsengsarakanya, sebagai tanda hukuman yang akan diterimanya di hari akhirat nanti.

Salah seorang sahabat Rasulullah s.a.w, Ubaid bin Umair Al Laisi berkata, “Setiap mayat yang akan dikebumikan pasti liang lahat tersebut akan berkata kepadanya, “Aku adalah rumah yang gelap gelita, sunyi dan sepi, jika waktu hidupmu kau taat kepada Allah maka aku hari ini akan menjadi rahmat bagimu, sebaliknya jika kamu durhaka kepada Allah maka hari ini aku akan mengsengsarakan kamu. Maka sesiapa yang memasukinya dengan taat semasa di dunia, akan keluar darinya dengan kebahagiaan, sebaliknya barang siapa memasukinya dengan durhaka kepada Allah semasa didunia, dia akan keluar dengan penuh kesengsaraan dan penyesalan.”

Umat Islam hari ini masih ramai yang lupa tentang hakikat sebenar kehidupan ini. Lalai dengan hakikat mengapa kita datang ke dunia ini, akhirnya gagal untuk mempersiapkan diri bagi menghadapi kematian dan gagal menyedari bahawa diri ini akan menjadi penghuni kubur.Ramai dari kalangan kita masih leka dengan kehidupan dunia, berfoya-foya ke sana dan ke mari untuk memuaskan nafsu yang tidak pernah akan puas. Ramai di kalangan kita yang mengingati mati, dilakukan dengan sambil lewa, tanpa merasa takut dan gentar akan dahsyatnya alam kubur. Mengapa ini berlaku? Ini adalah kerana hati kita yang lalai, keras dan berkarat, kerana terlalu cintakan dunia dan sibuk dengan keduniaan tersebut.

Sesungguhnya jalan menuju Allah s.w.t. tidak akan dapat kita tempuhi dengan telapak kaki kita, tetapi ianya hanya dapat ditempuhi dengan kekuatan iman dan kesucian hati. Maka jika kita merasakan hati kita keras dan karat, rawatilah ia dengan segera menghadiri majlis-majlis ilmu dengan penuh keikhlasan dan kesedaran, kerana menuntut ilmu adalah perkara pertama yang disampaikan oleh Jibrail kepada nabi Muhammad. Kemudian gunalah masa yang bernilai ini dengan membaca dan meneliti ayat-ayat Allah. Kerana ianya merupakan kitab panduan yang diturunkan oleh Allah dan pembimbing menuju jalan-jalan taqwa. Sepertimana firman Allah dalam surah Al baqarah ayat 1; yang bermaksud,

“Itulah kitab yang tidak ada keraguan padanya walaupun sedikit, pembimbing orang-orang yang bertaqwa”.

Di samping itu hendaklah kita mengelak diri dari mendekati lebih-lebih lagi menghadiri majlis-majlis yang sia-sia dan dimurkai Allah. Mudah-mudahan Allah akan sentiasa sudi membimbing dan menunjukkan kita ke jalan yang benar. Wallahua’lam.

Oleh
Ustaz Fisol Mohd Isa
Ketua Biro Pembangunan Insan
ISMA Alor Star

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *