Perjuangan dan akhlak mesti selari – Ustaz Fisol

BANDAR DARULAMAN, 1 Februari – Kuliah tafsir Ustaz Abdul Fisol bin Md Isa di Surau Taman Tunku Sarina II sebentar tadi diakhiri dengan satu perkongsian pendek  mengenai realiti yang berlaku di tanah air.

Ustaz Fisol menjelaskan bahawa semua gerakan Islam di Malaysia yang sepatutnya berjuang berlandaskan aturan syarak perlu juga menjaga batas akhlak. Beliau mengaitkan perkara ini dengan keadaan semasa di Malaysia, di mana ada segelintir aktivis gerakan Islam yang tidak menjaga adab dan akhlak Islamiyah apabila berhujah, terutama apabila memberi komentar dan kritikan.

“Sekarang ini, lebih-lebih lagi di internet dan Facebook, pejuang-pejuang Islam memberi komen-komen dan kritikan tanpa batasan, dengan carutan, kutukan dan makian,” ulas beliau.

Ustaz Fisol yang merupakan ketua Biro Tarbiyah ISMA Alor Setar mengingatkan para penggerak gerakan Islam mesti menselarikan perjuangan Islam dengan akhlak Islamiyah sama seperti apa yang Rasulullah s.a.w. telah tunjukkan.

“Orang yang berakhlak (islamiyah) tetapi tidak berjuang, kita boleh terima lagi. Tetapi orang yang berjuang (untuk Islam) tetapi tidak berakhlak, kita memang tidak boleh terima,” tegas beliau.

Muslimin dan muslimat dijemput hadir untuk sama-sama mendengar Kuliah Tafsir di Surau Taman Tunku Sarina II, Bandar Darulaman pada setiap malam hari Rabu selepas Maghrib.

Media ISMA Kedah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *