Perkuat aspek pembangunan rohani ahli-ahli usrah

SEREMBAN, 29 Julai – Para murabbi ISMA diseru supaya memperkuatkan aspek pembangunan rohani di kalangan ahli-ahli usrah seperti menggalakkan berpuasa sunat, melatih ibadah qiamullail, mengajar erti pengorbanan dan menekankan kepentingan tarbiyah.

Pengerusi Biro Tarbiyyah ISMA, Ustaz Mohd Rusdi Alias berkata demikian semasa dijemput menyampaikan perkongsian pengalaman beliau mentajmik golongan pelajar dalam program Iftar Pendidik ISMA Negeri Sembilan semalam.

Menyingkap pengalaman dakwah beliau, Ustaz Rusdi menegaskan perlunya setiap ahli ISMA memiliki matlamat yang jelas dalam melakukan sesuatu perkara dan juga kemahuan yang tinggi untuk mencapainya.

“Tak perlu takut perkara yang dirancang tak berhasil, apa yang lebih penting ialah meneruskan usaha yang dilakukan. Setelah habis semua cara, maka berdoalah bersungguh-sungguh agar Allah SWT menunjukkan jalan terbaik,” jelasnya.

Iftar Pendidik ISMA Negeri Sembilan ini dianjurkan oleh Biro Perkaderan ISMA Seremban dan telah mengumpulkan para pendidik di kalangan ahli ISMA yang bertugas di sekolah-sekolah dan institusi pengajian tinggi di negeri ini.

Menurut Setiausah ISMA Cawangan Seremban, Tuan Haji Omar bin Kassim, program ini dianjurkan dengan tujuan untuk berkongsikan pengalaman mentajmik golongan pelajar oleh tokoh-tokoh murabbi ISMA dengan hasrat untuk merancakkan lagi amal dakwah di sekolah-sekolah dan institusi pengajian tinggi.

Sumber: Laman web ISMA Pusat

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *