Perlembagaan Malaysia dan Kedaulatan Islam

Umat Islam di negara ini sedang berhadapan dengan satu krisis yang besar. Serangan liberalisasi, globalisasi, humanisme, feminisme dan segala bentuk pemikiran barat datang dalam bentuk jaringan yang hebat. Apa yang berlaku sekarang bukan hanya pemisahan antara kehidupan beragama dan kehidupan dunia seperti yang disarankan oleh gerakan sekularisma, tetapi jaringan gerakan yang menghakis terus peranan agama di dalam masyarakat Melayu Muslim. Serangan seperti ini akhirnya telah mencabut jatidiri masyarakat kita sehingga melahirkan gejala-gejala negatif di dalam masyarakat seperti seks bebas, merempit, ketagihan dadah, pembuangan anak dan seribu satu masalah sosial yang lain.

Dalam berhadapan degan suasana gawat hari ini dimana kedudukan Islam tercabar di tanah airnya sendiri, kita perlu mengetahui bahawa Perlembagaan Malaysia mempunyai elemen yang membolehkan Islam didaulatkan sebagai agama negara. Antaranya:

1. Artikel 3 (1 ): ’Islam ialah agama bagi Persekutuan; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana Bahagian Persekutuan’. ( Islam is the religion of the Federation; but other religions may be practised in peace and harmony in any part of the Federation ).

Islam adalah agama negara, bukan sekadar agama rasmi negara seperti yang difahami oleh ramai pihak. Bacaan Perlembagaan adalah berdasarkan Bahasa Ingeris yang jelas menyatakan ’Islam is THE religion of the Federation’. Dengan itu prinsip Islam mestilah menjadi dasar di dalam penggubalan dasar ekonomi, pendidikan, sosial, budaya dan lain-lain dasar. Segala tindakan sekular adalah bertentangan dengan agama negara

Pentafsiran Majlis Peguam bahawa ’Malaysia sebagai negara demokrasi sekular dengan Islam sebagai agama rasmi’ adalah tidak tepat. Hakikatnya istilah ’demokrasi’, ’sekular’ dan ’rasmi’ tidak disebut di dalam perlembagaan. Yang ada hanyalah istilah ’Islam’. Dengan itu kedudukan islam di dalam Perlembagaan adalah berlainan dengan kedudukan agama-agama lain.

2. Artikel 11 ( 1 ): ‘Tiap-tiap orang berhak menganuti dan mengamalkan agamanya dan, tertakluk kepada Fasal (4), mengembangkannya’ ( Every person has the right to profess and practise his religion and subject to Clause (4) to propagate it ).

Artikel 11( 4 ): ’Undang-undang Negeri dan berkenaan dengan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, undang-undang persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama di kalangan orang yang menganuti agama Islam’. ( State law and in respect of the Federal Territories of Kuala Lumpur, Labuan and Putrajaya, federal law may control or restict the propagation of any religion doctrine or belief among persons professing the religion of Islam )

Setengah pihak berhujah tentang hak asasi beragama hatta hak bagi gerakan memurtadkan umat islam menggunakan Artikel 11(1 ). Sedangkan Artikel 11(1) mestilah dibaca bersama Artikel 11(4) iaitu ‘undang-undang negeri dan persekutuan boleh mengawal dan menyekat pengembangan kepercayaan agama lain ke atas penganut agama Islam’. Maka gerakan Kristianisasi atau agama-agama lain yang menarik penganut Islam untuk murtad dan menganut agama mereka adalah bertentangan dengan Perlembagaan.

Undang-undang menyekat gerakan sebegini adalah wajar dilakukan oleh Malaysia yang meletakkan Islam sebagai agama negara. Tuntutan Inter-Faith Commission ( IFC ) yang menuntut supaya ditubuhkan satu badan berkanun yang mempunyai kuasa undang-undang ke atas semua agama termasuk Islam adalah tidak berasas.

3. Artikel 12(2): ’Tiap-tiap kumpulan agama berhak menubuhkan dan menyenggarakan institusi-institusi bagi pendidikan kanak-kanak dalam agama kumpulan itu sendiri, dan tidak boleh ada diskriminasi semata-mata atas alasan agama dalam mana-mana undang-undang yang berhubungan dengan institusi-institusi itu atau dalam pentadbiran mana-mana undang-undang itu; tetapi adalah sah bagi Persekutuan atau sesuatu Negeri menubuhkan atau menyenggarakan atau membantu dalam menubuhkan atau menyenggarakan institusi-institusi Islam atau mengadakan atau membantu dalam mengadakan ajaran dalam agama Islam dan melakukan apa-apa perbelanjaan sebagaimana yang perlu bagi maksud itu’.

Perlembagaan Persekutuan membenarkan agama-agama lain menubuhkan institusi mereka sendiri, namun Kerajaan Negeri atau Persekutuan hanya dibenarkan oleh perlembagaan untuk menubuhkan atau membantu menubuhkan apa-apa institusi berkaitan agama Islam sahaja. Dengan itu perbelanjaan Negara adalah dibenarkan bagi membantu agama Islam sahaja, kurikulum agama Islam sahaja yang boleh diajar secara rasmi di sekolah-sekolah dan institusi-institusi pengajian tinggi serta ajaran agama Islam sahaja yang boleh disebarkan melalui media cetak dan elektronik.

4. Artikel 37(1): ‘Sumpah Jawatan Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua Negara: ’Bersumpah dan melafazkan Wallahi, Wabillahi, Watallahi, maka dengan lafaz ini berikrarlah kami dengan sesungguhnya dan dengan sebenarnya mengaku akan taat setia pada menjalankan dengan adilnya pemerintahan bagi Malaysia dengan mengikut sebagaimana undang-undang dan Perlembagaan yang telah disahkan dan dimasyurkan. Dan lagi Kami berikrar mengaku dengan sesungguhnya dan dengan sebenarnya memelihara pada setiap masa Agama Islam dan berdiri tetap di atas pemerintahan yang adil dan aman di dalam Negeri’.

Sumpah Ketua Utama Negara, Yang diPertuan Agong (YDPA ) atas nama Allah dengan lafaz ‘Wallahi,’ ‘Wabillahi’, ‘Watallahi’ untuk memelihara agama Islam pada setiap masa. Ianya bukan sekadar satu upacara kerana telah diperuntukkan secara nyata dalam Artikel 37 Perlembagaan Persekutuan. Yang diPertuan Agong wajib melafazkan kata-kata tersebut bagi mengesahkan jawatannya. Inilah satu obligasi Perlembagaan bahawa Islam wajib dipelihara.

Asas kepada mendaulatkan kembali Islam di negara ini adalah melalui satu proses pendidikan yang serius dan berterusan. Peribadi-peribadi Muslim hari ini perlu diperkuatlkan jatidiri Islam mereka.Masyarakat perlu dididik kembali untuk menghayati keindahan Islam sebagai satu cara hidup. Namun kita harus mengakui, mengembalikan semula kedaulatan Islam dalam suasana sekarang yang parah memerlukan pendekatan serampang pelbagai mata. Semua pihak yang sedar perlu memainkan peranan masing-masing.

Di sinilah letaknya peranan undang-undang sebagai pagar yang melindungi. Melindungi umat islam dari serangan pemikiran dan tindakan ganas musuh-musuh islam serta melindungi ’izzah agama ini dari penganut-penganutnya yang menyimpang atau murtad. Benarlah kata-kata Saidina Uthman bin Affan,

“Sesungguhnya Allah melarang dengan kuasa sesuatu yang tidak terlarang dengan Al-Quran”.

Apabila Al-Quran melarang kita menghampiri zina tetapi ada orang yang tidak tertegah dengan al-Quran, lalu dia berzina. Maka Allah Taala menurunkan hukum hudud ke atasnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *