Pertahan institusi beraja demi Islam dan Melayu – YDP ISMA Alor Setar

dr zul

ALOR SETAR, 22 Jan – Yang Dipertua ISMA Cawangan Alor Setar, Dr. Zulkifli bin Yusof menyeru umat Islam dan Melayu di Malaysia agar bersatu mempertahankan institusi beraja di Malaysia.

Menurut beliau, institusi beraja di Malaysia merupakan satu-satunya unsur yang diwarisi sejak zaman-berzaman yang berupaya mempertahankan agama Islam dan hak-hak orang Melayu di tanah air sendiri.

“Kita tidak bercakap mengenai sultan atau raja yang tertentu, tetapi kita bercakap tentang satu institusi yang mampu berperanan dalam menjaga kemaslahatan agama dan bangsa penduduk asal Malaysia berdasarkan apa yang telah termaktub dalam perlembagaan.

“Kita boleh lihat pemerintahan negara yang mempunyai sistem beraja lebih kukuh berbanding negara yang tiada. Antaranya ialah United Kingdom yang dahulunya pernah kehilangan institusi rajanya dan pincang sistem pemerintahannya sekitar tahun 1650-an, tetapi akhirnya system tersebut diwujudkan semula,” jelas Dr. Zulkifli.

Ujar beliau lagi, institusi beraja di Malaysia bukan satu model ideal yang disyariatkan oleh Islam, tetapi ia ialah unsur sedia ada yang mesti dipertahankan dalam konteks tempat dan keadaan semasa serta sebagai satu simbol kesatuan umat yang kini berpecah kerana fahaman politik yang berbeza.

“Selain perlu dipertahankan, kita sebagai rakyat yang beragama Islam mesti sentiasa berdoa agar institusi beraja di Malaysia dipimpin oleh raja-raja dan para penasihat yang faham, komited dan mampu berperanan menjaga kemaslahatan umat Islam di Malaysia.

Wartawan: Mohd Munzir Azmi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *