Pertahan Perlembagaan Persekutuan mampu halang liberalisasi – Naib Presiden I ISMA

ufa

ALOR SETAR, 28 Dis – Umat Islam digesa untuk bersepakat dalam mempertahankan Perlembagaan Persekutuan demi menghalang ideologi liberalisme daripada terus bertapak di Malaysia.

Menurut Naib Presiden I ISMA, Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni, banyak perkara yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan cuba diubah oleh golongan-golongan liberal.

“Mereka sedaya-upaya mahu mengubah perkara-perkara dalam Perlembagaan Persekutuan melalui pelbagai saluran. Yang terkini ialah dengan mewujudkan COMANGO dan menjadi pelobi kepada kepada wakil-wakil luar negara supaya menekan kerajaan Malaysia agar meminda Perlembagaan Persekutuan.

Menurut Ustaz Fauzi lagi, antara perkara yang mahu diubah oleh COMANGO dalam Perlembagaan Persekutuan ialah tentang kedudukan Islam, hak istimewa orang Melayu, undang-undang berkaitan hak memilih agama, penjagaan anak dan yang berkaitan dengan undang-undang Syariah.

“Sekiranya perkara-perkara ini berjaya mereka ubah, umat Islam akan berhadapan dengan cabaran yang lebih besar di masa hadapan. Golongan Syiah dan pengamal seks songsang akan berleluasa, anak-anak boleh tukar agama sesuka hati, tiada masalah untuk berkhalwat dan banyak lagi.

“Kita bukan bercakap atas dasar politik, tetapi kita sebagai umat Islam mesti bersatu dalam isu-isu berkaitan agama dan akidah sebegini. Nyatakan kesepakatan untuk menekan kerajaan supaya tidak tunduk kepada tuntutan COMANGO,” tegas Ustaz Muhammad Fauzi.

Di akhir ceramah, beliau juga menyeru umat Islam untuk menandatangani Petisyen Sejuta Ummah Tolak COMANGO sebagai satu cara menekan kerajaan.

Beliau berkata demikian sewaktu menyampaikan ceramah bertajuk “COMANGO Pengkhianat Negara: Ancaman Liberalisme Ke Atas Umat Islam” di Masjid Jamek Al-Shahab. Kepala Batas, semalam.

Ceramah yang sama turut dibuat di Masjid Ar-Rahmah, Taman Wira Mergong, Alor Setar pada hari Jumaat yang diakhiri dengan laungan Allahuakbar oleh hadirin yang hadir.

Wartawan: Alfakhru Fauzi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *