Pesanan untuk anakku

Selamat hari ibu untuk semua ibu-ibu di seluruh Malaysia.

Menjadi seorang ibu adalah anugerah dari Allah SWT yang tidak ternilai. Bersyukurlah jika kita dianugerahkan nikmat ini kerana tidak semua insan yang bergelar wanita akan melalui fasa kehidupan menjadi seorang ibu. Sebahagiannya ditakdirkan tiada jodoh dan sebahagiannya melayari bahtera rumhtangga tetapi ditakdirkan tiada zuriat.

Walaupun hakikat mengandung itu sebenarnya suatu kepayahan dari sudut fizikal dan mental. Bermula dari trimester pertama, sehinggalah saat si bayi dilahirkan tetapi insan yang bernama wanita terus tabah menghadapi segala kepayahan demi sebuah kelahiran.

Saat melahirkan anak merupakan satu ujian yang amat berat. Tiada sakit yang lebih sakit dari sakit melahirkan seorang anak di muka bumi. Si ibu bertarung nyawa demi memastikan kelangsungan hidup seorang insan. Namun segala kesakitan seolah-olah dicubit buang saat mendengar tangisan bayi dan menyaksikan wajah bersih seorang anak.

Seorang anak itu, bersih ibarat kain putih. Ibu bapalah yang mencorkkannya mengikut ‘art work’ yang diimpikannya. Didiklah anak supaya seimbang dalam semua fakulti; jasmani, aqli dan ruhi. Tiupkan daya juang yang tinggi dalam diri anak-anak supaya mereka membesar menjadi orang yang tinggi survivalnya. Tanamkan ruh islam yang tinggi kerana islam itu adalah agama yang memberi rahmat kepada makhluk di seluruh alam. Didiklah mereka supaya akhirnya apa yang mereka lakukan adalah untuk mendapat redha Allah.

Justeru jika itu menjadi matlamatnya, maka sama ada mereka menjadi guru, ustazah, doktor, jurutera , mahupun usahawan; mereka tetap merendahkan diri pada yang tua dan menghargai yang muda serta sentiasa bertaqwa kepada Allah. Mereka akan menjadi orang yang sentiasa memberi dan berkorban. Jika ini yang telah berjaya seorang ibu tiupkan dalam denyut kehidupan anaknya, maka itulah hadiah paling berharga bagi seorang ibu di hari ibu.

Oleh:
Dr. Murizah Bt Mohd Zain
Ahli Majlis Wanita ISMA

*Dr. Murizah merupakan Pakar Perbidanan & Sakit Puan di Hospital Sultanah Bahiyah, Kedah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *