Pola pemikiran pimpinan Melayu

Keputusan PRU 13 telah menimbulkan pelbagai polimik dalam senario politik di Malaysia. Ada yang berfikiran 50 tahun kebelakang. Kalau dulu amat menentang gabungan dengan bukan Islam tetapi sekarang terlampau menadah untuk bergabung dengan bukan Islam kerana beralasan masyarakat majmuk. Dulu tidak mahu bergabung dengan bukan Islam beralasan zaman Rasulullah saw memerintah di Madinah tidak bergabung dengan kuffar walaupun masyarakat Madinah waktu itu masyarakat majmuk. Masalah bergabung atau tidak bergabung dengan bukan Islam masih dibolehkan dengan syarat mesti bertepatan syariat Islam bukannya semata-mata kerana masyarakat majmuk sebagaimana syarat-syarat Tahaluf Siasi Islami.

Kesimpulannya pola pemikiran pimpinan Melayu masih mengharapkan kekuatan perlu dibina bersama dengan bukan Islam. Tidak ada dalam pemikiran mereka untuk bina kekuatan sesama bangsa dan agama walaupun sejarah telah membuktikan bahawa tonggak kekuatan bangsa Melayu pada agama dan bangsanya. Ada juga salah tanggapan jika menyeru kepada kekuatan Melayu dan Islam dianggap sebagai seruan racist dan perkauman yang menjurus kepada rusuhan kaum. Kenapa perlu merusuh. Kita bina kekuatan Melayu Islam bukan untuk merusuh dan menzalimi kaum lain. Islam yang menyuruh kita bersedia dengan sebarang kekuatan untuk mengangkat survival bangsa dan agama bukannya untuk merusuh dan menzalimi kaum lain.

Kita juga merasa pelik apabila ada negarawan yang menyoal:

Apa lagi Cina mahu setelah pelbagai kemudahan dan pembangunan yang mereka kecapi, hasilnya mereka telah mewah dan kaya?

Tidak lain dan tidak bukan kaum Cina menuntut survival untuk bangsa dan agama mereka. Bukan sahaja kemewahan dan kesenangan hasil pembangunan tetapi lebih dari itu mereka berjuang untuk mertabatkan bangsa dan agama mereka. Pimpinan Melayu Islam sahaja yang menyogok bangsanya dengan habuan material dan kebendaan semata-mata tanpa melihat kepada pembinaan jatidiri bangsa dan agama. Sebab itu kita lihat dalam manifesto parti-parti Melayu Islam lebih menumpukan kepada pembangunan material dan kebendaan. Kalau ada pembangunan jati diri pun bukan menyeluruh dan berstrategik. Pemikiran pimpinan Melayu Islam hanya melihat pembangunan material dan kebendaaan sebagai pembangunan paling penting untuk bangsa mereka tanpa melihat lebih serius kepada pembangunan modal insan bangsa Melayu.

Ada pimpinan Melayu Islam yang terkedu bila PR kalah kerana beberapa janji PR dalam pilihanraya tidak akan dikecapi oleh rakyat. Sedih kerana rakyat tak dapat beli kereta harga murah. Rakyat guna minyak mahal dan lain-lain lagi. Bukan kita menolak semua itu tetapi kita khuatir dengan pola pemikiran pimpinan Melayu Islam yang hanya melihat itu sahaja kepentingan utama umat. Sepatutnya dengan keputusan pasca PRU 13 pimpinan Melayu Islam berlaku anjakan paradigma bahawa kepentingan bangsa dan umat sekarang ini ialah mesti kembalikan jatidiri umat. Pimpinan seharusnya berfikir bagaimana untuk bina kekuatan ummat. Kembalikan kekuatan bangsa Melayu dengan agama dan jatidiri bangsa.

Perlu diingat, bina kekuatan ummat bukan untuk merusuh dan menzalimi kaum lain kerana itu bukan ajaran Islam. Tetapi bina kekuatan untuk survival agama,bangsa dan negara disamping tidak meninggalkan pembangunan material dan kebendaan. Persepakatan dan perpaduan antara parti-parti Melayu Islam amat penting untuk kembalikan kegemilangan bangsa ,agama dan negara. Ketepikan mereka yang menolak agenda perpaduan dan persepakatan. Ketepikan juga mereka yang ada kepentingan peribadi dan mereka yang mengimpot agenda luar untuk menyusun negara kita. Ketepikan juga mereka yang membawa agenda-agenda yang bertentangan dengan Islam samada tersurat atau tersirat. Kita bentuk persepakatan dan perpaduan berasaskan agama dan jatidiri bangsa dan memberi kesejahteraan kepada seluruh rakyat tanpa mengira kaum dan agama . Sebagaimana kekuatan yang pernah dibina oleh datuk nenek kita yang mewariskan negara ini untuk kita.

Ustaz Sharipudin bin Ab Kadir
YDP Majlis Syura ISMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.