Projek Bakul Ramadan didik ahli Isma erti syukur

bakul 1

ALOR SETAR, 5 Julai – Projek Bakul Ramadhan Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) Alor Setar – Kubang Pasu yang berlangsung baru-baru ini ternyata mengajar erti syukur kepada ahli-ahli Isma.

“Apabila kita pergi sendiri dan melihat sendiri keadaan rumah dan keluarga penerima, ia pasti memberi kesan luar biasa ke dalam diri kita tentang betapa perlunya kita bersyukur dengan apa yang telah kita ada,” ujar Yang Dipertua Isma Alor Setar, Dr. Zulkifli bin Yusof.

Program ini merangkumi aktiviti ziarah dan menghulurkan sumbangan kepada 10 buah keluarga terpilih di sekitar daerah Kota Setar dan Kubang Pasu.

Menurut Ketua Wanita Isma Alor Setar, Dr. Murizah bt Mohd Zain, keluarga-keluarga yang terpilih terdiri daripada pesakit kronik, lumpuh dan kekal yang diterima daripada Unit Kebajikan Hospital Sultanah Bahiyah.

bakul 2

Ahli-ahli Isma terpaksa melalui jalan bendang yang sempit dan ada juga yang terpaksa berjalan kaki mengharungi titi yang reput dan batas bendang yang panjang untuk sampai ke rumah keluarga penerima.

Keadaan rumah beberapa keluarga yang diziarahi cukup menginsafkan, ditambah pula dengan keadaan ahli keluarga yang tidak mampu bergerak mencari nafkah menyara keluarga.

Menurut salah seorang penerima, dia terpaksa berulang ahli ke Hospital Sultanah Bahiyah dan Institut Jantung Negara hampir setiap minggu untuk rawatan lanjutan isteri dan anak ketiganya yang masing-masing menghidap kencing manis dan jantung. Tambahan pula, dia sendiri baru sahaja menjalani pembedahan pintasan jantung manakala dua daripada empat orang anaknya merupakan Orang Kelainan Upaya (OKU).

Ketua Wanita Isma Kubang Pasu, Ustazah Siti Rahmah bt Rahmat pula meluahkan rasa hibanya apabila lawatannya disapa dengan pelbagai soalan daripada seorang anak kecil OKU penerima sumbangan – “Makcik beli kat mana minyak masak ni?”, “Kenapa makcik beli satu je?”

“Terkedu saya hendak menjawabnya memandangkan kami membeli dengan bajet derma yang ada, lantas saya pun menjawab, “Minyak masak tu tinggal satu ja lagi, lain kali kalau ada lagi kita bawa”, kata Ustazah Siti Rahmah.

Selain itu, turut mendapat sumbangan Projek Bakul Ramadan tahun ini ialah seorang anak kecil pengidap HIV dan abang-abangnya yang dijaga ibu dan bapa saudaranya yang hidup serba daif serta sebuah keluarga cacat pelinghatan.

Projek tahunan ISMA Alor Setar-Kubang Pasu ini bertujuan mengumpul sumbangan orang ramai untuk disalurkan kepada mereka yang memerlukan pada bulan Ramadan yang mulia.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *