Quadran Kehidupan

“Antara keelokan Islam pada seseorang itu adalah apabila dia meninggalkan sesuatu yang tidak memberi manfaat kepadanya”

Hadith 12 : Hadith 40

Masa berlalu dengan sangat pantas, sedar tak sedar, kita dah masuk fasa ke 3 Ramadhan, rasa-rasanya macam baru beberapa hari je berpuasa, pantas betul pergerakan masa sekarang ni. Harap-harapnya amal kita makin bertambah dan makin giat kita mencari malam lailatul qadr. Susunlah masa agar 10 hari yang terakhir dalam bulan Ramadhan ni dapat kita optimumkan dengan bersungguh-sungguh untuk mencari keredhaan dan keampunan buat membebaskan diri dari api neraka.

Begitu juga lah dengan usia kita, semakin hari semakin bertambah, tahun depan mungkin ada antara kita yang dah nak mencecah usia kerasulan, ada pula yang dah meninggalkan alam remaja dan mula masuk ke alam dewasa, yang kanak-kanak mencecah masuk ke alam remaja dan yang dulunya bayi kini mula mencecah usia kanak-kanak. Hakikatnya kita semakin lama semakin tua, namun satu persoalan? Sudahkah kita menguruskan kehidupan kita dengan cara yang sistematik untuk mencapai tujuan dan matlamat hidup kita.

Stephen Covey dalam bukunya, 7 tabiat orang yang amat berkesan membahagikan aktiviti – aktiviti kehidupan manusia dalam 4 quadran :

1. Penting dan terdesak

2. Penting tapi tak terdesak

3. Kurang penting tapi terdesak

4. Kurang penting dan tak terdesak

Sebagai muslim, ada kebaikan yang banyak yang boleh kita ambil dari tulisan Stephen Covey ni, hadis yang dinukilkan diatas memberi isyarat kepada kita untuk meninggalkan perkara yang kurang penting dan tidak memberi manfaat secara langsung kepada diri kita. Antaranya adalah seperti menonton televisyen berjam-jam, leka dengan internet, sibuk dengan perkembangan politik semasa yang tidak berkesudahan, bersembang yang tidak membuahkan amal, bersiar-siar tanpa tujuan yang jelas dan pelbagai lagi. Perkara-perkara seperti ini harus kita elakkan agar kita tidak membuang masa yang banyak dalam kehidupan kita. Sesungguhnya masa adalah kehidupan, membazir masa ibarat membazir kehidupan.

Ada juga disana perkara-perkara yang kurang penting tapi sentiasa mendesak, contohnya memasak, mengemas rumah, bayar bil dan pelbagai lagi. Perkara kurang penting dan terdesak ini biasanya adalah rutin kehidupan kita. Perkara-perkara ini sepatutnya boleh kita susun untuk dibereskan dalam tempoh masa yang singkat sahaja. Perlu ada strategi khusus agar tidak banyak masa yang kita habiskan dalam hidup hanya untuk perkara seperti ini. Hassan al banna ada menyebut bahawa kewajipan yang ada adalah lebih banyak dari waktu, jadi bantulah saudaramu dalam menyelesaikan urusannya. Hidup akan jadi membosankan jika terlalu banyak masa yang dihabiskan untuk menyelesaikan perkara-perkara yang bersifat jangka pendek sahaja.

Ramai yang sering terlupa atau mengabaikan perkara-perkara penting dalam kehidupan kerana terlalu disibukkan oleh tugasan atau aktiviti rutin yang kurang penting dan hanya memberi impak jangka pendek kepada diri. Perkara-perkara penting ini hanya disesali setelah usia makin meningkat atau peluang telah terlepas. Perkara penting ini adalah perkara yang akan memberi impak jangka panjang dalam kehidupan kita bahkan kehidupan selepas dari kematian. Contoh perkara penting yang sering diabaikan adalah menjaga kesihatan. Kita semua tahu akan peri pentingnya menjaga kesihatan dengan melakukan senaman berkala dan menjaga makan dan minum, akan tetapi berapa ramai antara kita yang sentiasa istiqamah dengan senaman berkala. Begitu juga dengan amalan-amalan ruhi, seperti solat tahajjud, berapa ramai antara kita yang konsisten dengan solat tahajjud sekurang-kurangya seminggu sekali? Merancang kehidupan juga adalah satu perkara yang sangat penting bagi memastikan kehidupan kita tidak berjalan atas mod auto pilot. Pernahkah kita duduk seketika dan melihat akan kehidupan kita, adakah berjalan dengan jalan yang betul menuju ke matlamatnya. Setiap muslim perlu mempunyai misi kehidupan yang jelas agar hidup tidak sia-sia dan masa kita dapat digunakan untuk perkara-perkara penting dalam kehidupan kita. Perkara penting yang akan menyampaikan kita kepada matlamat dan misi kehidupan kita. Cuba kita bayangkan kalau tempoh masa kehidupan kita ada 2 bulan sahaja lagi, apakah yang akan kita lakukan? Kemanakah wang kita akan dibelanjakan, apakah aktiviti-aktiviti kehidupan yang akan kita lakukan?. Namun siapakah yang dapat menjamin bahawa dirinya akan kekal sihat 2 bulan lagi. Sebab itulah Rasulullah menyatakan bahawa individu yang terbaik adalah individu yang sentiasa mengingati mati, kerana orang yang sentiasa mengingati mati akan insaf dan sedar bahawa kematian boleh datang pada bila-bila masa. Orang yang sentiasa mengingati mati ini biasanya akan memfokuskan aktiviti kehidupannya pada perkara yang penting-penting sahaja kerana ingin mengoptimumkan masa yang dia ada. Kita bagaimana?

Mohd Hisham Mohd Sharif

Setiausaha Pembina Kedah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *