Rakyat perlu desak pemimpin sokong pelaksanaan hudud di Kelantan

Ust_fisol_b

BANGI, 16 April – Rakyat Malaysia yang telah memberi undi kepada calon-calon yang menang pada PRU13 yang lalu perlu mendesak calon pilihan mereka itu supaya menyokong pelaksanaan hudud di Kelantan.

Ahli Majlis Syura ISMA, Ustaz Abdul Fisol Mohd Isa berkata, bagi merealisasikan hudud di Kelantan, sudah tentu ianya memerlukan sokongan majoriti dari ahli-ahli Parlimen.

“Jadi sekiranya mereka enggan memberi sokongan bahkan menentang, maka pengundi-pengundi yang mengundi mereka sebelum ini perlu bangkit mendesak calon mereka supaya menyokong langkah kerajaan Kelantan untuk melaksanakan hudud,” tegasnya ketika dihubungi.

Selasa lalu, Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng menyatakan bahawa seramai 50 ahli Parlimen telah menyuarakan tentangan terhadap hudud termasuk 38 ahli Parlimen DAP, MCA (7), Gerakan (1) dan MIC (4).

Bahkan Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali juga ada mengatakan bahawa kesemua ahli parlimen PKR turut akan memberi tentangan terhadap hudud.

Azmin mengatakan bahawa PKR akan mengikut apa yang dipersetujui dalam Pakatan Rakyat (PR) iaitu kerangka dasar bersama yang mana tetap tidak akan berganjak dengan pendirian mengenai isu hudud seperti yang dipersetujui melalui konsensus antara DAP-PAS-PKR sejak 2011.

Mengulas perkara itu, ujar Ustaz Fisol ia telah membuktikan bahawa PKR mempunyai agenda perjuangan yang sangat berbeza dengan PAS.

“Saya berpendapat PAS perlu melihat semula kepada tujuan mereka bertahaluf dengan PKR dan DAP.

“PAS memerintah Kelantan bukan baru satu penggal, tetapi sejak dari tahun 1990, rakyat keseluruhan secara umum dan rakyat Kelantan secara khusus memang menunggu-nunggu pelaksanaan hukum hudud di Kelantan sebagaimana yang dijanjikan oleh pemimpin-pemimpin PAS.

“Oleh itu pemimpin-pemimpin PAS perlu bertegas dalam isu ini, dan mendesak pemimpin-pemimpin PKR dan DAP supaya menyokong mereka,” tegasnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *