“Ramadan, Aku Datang” atau “Aku, Ramadan Datang”?

ramadan holy quran

Alhamdulillah, sedar tak sedar kita kembali menjengah penghulu segala bulan yang dimuliakan Allah dengan adanya malam Lailatul Qadar, malam turunnya Al-Quranul Karim. Namun sejauh mana kita meraikannya dengan rasa ‘sedar’ itu? Jika masih belum hadirnya rasa istimewanya Ramadan bermakna kita perlu mencari rasa ‘sedar’ itu.

Sebelum melakukan sesuatu pasti kita akan setting target, memahami setiap tindakan yang dirancang dan perkara ini biasanya jelas bagi sesiapa yang menceburi bidang pemasaran, setiap yang dilakukan pasti perlu ada timbal balik, give and take, setiap yang dirancang perlu memberi pulangan seperti yang diharapkan.

Dunia Tempat Berdagang

Begitu juga berniaga dengan Allah, jual belinya bukan seperti perniagaan sesama manusia yang  sekadar keuntungan depan mata dan sementara, tetapi jual belinya adalah nilaian besar untuk kehidupan sebenarnya. Seperti yang Allah nukilkan dalam surah As-Soff ayat 10-12:

Wahai orang-orang yang beriman, mahukah Aku tunjukkan suatu perdagangan yang dapat menyelamatkan kamu dari azab yang pedih? Iaitu kamu beriman kepada Allah dan RasulNya dan berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwamu. Itulah lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahui, nescaya Allah mengampuni dosa-dosamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai dan ke tempat-tempat tinggal yang baik di dalam Syurga ‘Adn. Itulah kemenangan yang agung.

Di sana keuntungannya berganda-ganda daripada modal yang diusahakan. Dengan melakukan kebaikan, niat sahaja pun telah dicatit pahalanya. Oleh sebab itu amat penting untuk melaksanakan amalan dengan ilmu dan kefahaman yang akan menghadirkan kesedaran.  Jika tidak diperbetulkan dengan ilmu dan kefahaman, niat yang dimulakan dengan sepele, maka hasilnya juga sepele.

Berjihad dengan Jiwamu!

Menuju kedatangan Ramadan, perhitungan untuk menjaringkan ‘gol’ keredhaan memerlukan persediaan yang rapi terutama sekali jiwa yang perlu basah dengan keinsafan dan ilmu kefahaman.

Kita perlu bermuhasabah diri kenapa kita diwajibkan berpuasa. Carilah ilmu berkaitan dengan puasa, carilah makna yang tersirat pada kelebihan perintah berpuasa.

Sesungguhnya puasa bukan sekadar menahan lapar dan dahaga yang disertai dengan pelbagai pakej larangan kerana ianya membawa satu misi penting, iaitu mensucikan diri pada pandangan Allah dengan mendidik hawa nafsu ke arah kebaikan yang mana sebelum ini telah dicemari dengan pelbagai godaan selama 11 bulan. Maka ternyata puasa orang Islam tidaklah sama dengan puasa penganut agama lain, di mana ada yang berpuasa sampai malam tetapi dibenarkan minum, ada yang berpuasa untuk amalan vegetarian, berpuasa untuk manusia tetapi Maha Suci Allah, puasa orang Islam adalah mengikut neraca Allah SWT di mana perhitunganNya melebihi jangkauan kehidupan seperti dalam Hadith Nabi SAW:

Dari Abu Hurairah, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,

كُلُّ عَمَلِ ابْنِ آدَمَ يُضَاعَفُ الْحَسَنَةُ عَشْرُ أَمْثَالِهَا إِلَى سَبْعِمِائَةِ ضِعْفٍ قَالَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ إِلاَّ الصَّوْمَ فَإِنَّهُ لِى وَأَنَا أَجْزِى بِهِ يَدَعُ شَهْوَتَهُ وَطَعَامَهُ مِنْ أَجْلِى لِلصَّائِمِ فَرْحَتَانِ فَرْحَةٌ عِنْدَ فِطْرِهِ وَفَرْحَةٌ عِنْدَ لِقَاءِ رَبِّهِ. وَلَخُلُوفُ فِيهِ أَطْيَبُ عِنْدَ اللَّهِ مِنْ رِيحِ الْمِسْكِ

Setiap amalan kebaikan yang dilakukan oleh manusia akan dilipatgandakan dengan sepuluh kebaikan yang semisal hingga tujuh ratus kali lipat. Allah Ta’ala berfirman (yang artinya), ‘Kecuali amalan puasa. Amalan puasa tersebut adalah untuk-Ku. Aku sendiri yang akan membalasnya. Disebabkan dia telah meninggalkan syahwat dan makanan karena-Ku. Bagi orang yang berpuasa akan mendapatkan dua kebahagiaan yaitu kebahagiaan ketika dia berbuka dan kebahagiaan ketika berjumpa dengan Rabbnya. Sungguh bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah daripada bau minyak kasturi. (HR. Muslim no. 1151)

Nah!! Rasakanlah darjat kita jika kita yang beriman kepada Allah melaksanakan ibadah puasa  dengan jiwa yang besar mengharap redhaNya.

Membeli Taqwa dengan Puasa

Wajibnya berpuasa ke atas orang beriman seperti yang diperintahkan kepada orang yang terdahulu membawa kepada manfaat yang besar dan tinggi nilai hikmahnya. Berpuasa membawa seseorang itu ke arah ketaqwaan dengan meninggalkan segala larangan dan melaksanakan apa yang diperintah semata-mata keranaNya.

Allah mahu meninggikan darjat hambaNya ke arah darjat taqwa melalui puasa sebagaimana Dia berfirman kepada kita dalam surah Al-Baqarah ayat 183:

Wahai orang-orang yang beriman, Diwajibkan ke atasmu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang yang terdahulu sebelum kamu agar kamu bertaqwa

Taqwa adalah anugerah terindah, bukan semua orang dapat. Sesungguhnya orang yang bertaqwa akan  redha dengan sedikit  dan bersedia dengan kiamat.

Taqwa itu Untukmu…

Keistimewaan darjat taqwa itu Allah janjikan dalam Al-Quranul Karim:

  1. Orang bertaqwa beramal dengan al-Quran, berpuasa menunjukkan orang yang bertaqwa beramal dengan Al-Quran kerana puasa diperintahkan melalui ayat al-Baqarah, 2:183 ‘wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa.’
  2. Hanya orang yang bertaqwa yang beruntung dan dijanjikan untuknya petunjuk sepanjang kehidupan (Al-Baqarah 2:5 ‘Kitab Al-Quran ini tidak ada keraguan padanya; petunjuk bagi orang yang bertaqwa, iaitu mereka yang beriman kepada perkara ghaib, melaksanakan solat dan menginfakkan sebagian rezeki yang Kami berikan kepada mereka, dan mereka yang beriman kepada Al-Quran yang diturunkan kepada kamu Muhammad dan kitab-kitab yang telah diturunkan sebelum engkau dan mereka yakin adanya akhirat. Merekalah yang mendapat petunjuk dari Tuhan dan mereka itulah orang-orang yang beruntung’)
  3. Taqwa menjadi sebab amal ibadat kita diterima, contoh kisah infaq Habil dan Qabil (5:27; Dan ceritakanlah (Muhammad) yang sebenarnya kepada mereka tentang kisah kedua putera Adam ketika keduanya mempersembahkan korban, maka korban salah seorang dari mereka yakni Habil diterima dan dari yang lain yakni Qabil tidak diterima. Dia (Qabil) berkata, Sungguh, aku pasti akan membunuhmu! Dia (Habil) berkata ‘ Sesungguhnya, Allah hanya menerima (amal) dari orang yang bertaqwa). Amal Habil lebih diterima Allah kerana persembahannya adalah berdasarkan taqwa kepada Allah, mengikut neraca Allah bukan neraca manusia.
  4. Taqwa meningkatkan darjat seseorang sehingga menjadi wali Allah (10: 62-63; Ingatlah, wali-wali Allah itu , tidak ada rasa takut pada mereka dan mereka tidak bersedih hati, iaitu orang-orang yang beriman dan sentiasa bertaqwa).

Ku rindukan PimpinanMu

Empat perkara penting yang kita perlukan dan ambillah kesempatan untuk memohon di bulan Ramadan ini:

  • 2 perkara adalah untuk redha Allah (subhanakallahumma wa bihamdik ashhadu anla ilaha illa anta wa atubu ilaik) mengEsakan Allah dan memohon keampunan.
  • 2 perkara lagi adalah perkara yang sangat diperlukan kita iaitu memohon syurga firdaus dan jauh dari api neraka (rabbana atina fiddunya hasanah wa fil akhirati hasanah, wa qina a’dzabannar)

Semoga kita dapat meraih keuntungan berganda di bulan Mubarak kali ini, azam yang baru, rezeki yang diberkati, terangnya hati, amalan diterima dan diangkat ke darjat ketaqwaan.

Sumber: pembinakualalumpur.net

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *