Ramadan menghampiri: Apa persediaan kita?

Ramadhan3_SK

Ramadan menjelma kembali setelah setahun meninggalkan kita. Sudah pasti ia membibitkan perasaan-perasaan yang berbeza dalam hati kita. Ramadan adalah satu fenomena yang melanda Umat Islam saban tahun. Ia memberi erti yang sangat bermakna buat Umat Islam yang dahagakan rahmat dan kasih sayang Allah swt.

Rasulullah saw dan para sahabat sangat-sangat merindukan Ramadan. Di bulan ini segalanya Allah berikan untuk hamba-hambaNya yang setia beriman dan beribadah kepadaNya. Rasulullah saw dan para sahabat selalu berdoa “Allahumma bariklana fi rajab wa syaaban wa ballighna Ramadhan” yang bermaksud “Ya Allah berkatilah kami di bulan Rajab dan Syaaban dan sampaikan kami ke bulan Ramadan”.

Bulan Ramadan adalah bulan rahmat, bulan maghfirah, bulan yang mempunyai Malam Al-Qadar yang lebih baik dari seribu bulan dan segala kebaikan ada di bulan ini. Maka tidak hairanlah Rasulullah saw dan para sahabat menanti-nanti akan kehadiran bulan ini. Kasih dan rindu mereka membuak-buak sehinggakan mereka berdoa seperti doa di atas. Mereka berlumba-lumba meningkatkan ibadah dan amal di bulan ini untuk mengoptimakan ganjaran yang diperolehi.

Bukankah kita mahu menjadi Muslim yang baik, mengikuti segenap sunnah Nabi Muhammad saw yang kita cintai dan kasihi, menelusuri sirah dan kehidupan baginda dalam segenap aspek? Tidak mahukah kita mendapat ganjaran sepertimana yang diperolehi oleh Rasulullah saw dan para sahabat? Justeru, apa lagi yang menahan kita dari menjejaki sunnah Nabi dalam melaksanakan ibadah di bulan Ramadan.

Sama-samalah kita tanamkan azam dalam diri. Kalau boleh kita tidak mahu langsung ketinggalan mengutip sebanyak-banyaknya kebaikan dan rahmat Allah di bulan Ramadhan. Seboleh-bolehnya ingin kita gunakan sepenuh tenaga, masa dan peluang yang ada di bulan Ramadan untuk beribadah dan beramal.

Justeru, apalagi yang kita tunggu-tunggu!! Ramadan tinggal 12 hari sahaja lagi. Tanyalah diri sendiri:

Di mana persiapan kita?

Apakah matlamat kita?

Apakah azam kita?

Rancanglah Ramadan kita bermula dari sekarang. Kita tidak mahu ketinggalan dalam beramal. Kita tidak mahu menjadi orang yang keluar dari Ramadhan kelak sia-sia tidak mendapat maghfirah, rahmat dan redha dari Ilahi.

Kita tidak mahu menyesal di hujung Ramadan nanti tidak mendapat apa-apa, hanya lapar dan dahaga lantaran kesilapan dan sifat malas kita sendiri!!

Allahumma BallighNa Ramadhan… Allahumma BallighNa Ramadhan… Allahumma BallighNa Ramadhan…

Sumber: ismaaustralia.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *