Ramadhan dalam sejarah Islam: 1 Ramadhan

Shakib_Arslan

Ramadhan adalah bulan kemenangan. Bulan pembukaan-pembukaan Islam dan perluasan wilayah Islam. Bulan yang dipenuhi dengan peristiwa-peristiwa besar lagi agung yang ditempuh oleh umat Islam. Oleh itu marilah kita mengenali beberapa peristiwa penting tersebut secara bersiri mengikut minggu-minggu di bulan Ramadan.

1. Penurunan Suhuf Nabi Ibrahim – Suhuf atau lembaran-lembaran suci Nabi Ibrahim diturunkan oleh Allah kepada baginda pada malam pertama bulan Ramadan.

2. Hari pertama bulan Ramadan umat Islam berpuasa – Hari Ahad satu Ramadan tahun dua hijrah bersamaan 26 April 624M adalah hari pertama kaum Muslimin berpuasa. Pendapat lain menyatakan puasa Ramadan telah difardukan pada hari Isnin bulan Sya’ban pada tahun dua hijrah.

3. Pembukaan negeri Mesir – Peristiwa tersebut berlaku pada satu Ramadan tahun 20 hijrah bersamaan 13 Ogos tahun 641M di zaman Khalifah Umar bin al-Khattab r.a. Misi tersebut diketuai oleh panglima Islam Amru bin al-‘As dan sejak itu Mesir menjadi sebuah negeri Islam di bawah khilafah Islamiyah.

4. Pengepungan Kubu Papillon – Berlaku pada satu Ramadan tahun 20 Hijrah bersamaan 13 Ogos 641M juga apabila Amru al-‘As mengepung kubu Papillon setelah pasukannya dihalang dan ditentang oleh tentera Rom.

5. Permulaan pembukaan Andalus – Pada Satu Ramadan tahun 91H bersamaan 710M tentera Islam di bawah kepimpinan Tarif bin Malik al-Barbari mula mencecahkan kaki mereka di pantai selatan Andalus dan menyerang beberapa kubu pihak musuh dan bermulalah misi pembukaan Andalus. Tarif bin Malik diutus oleh Musa bin Nusair untuk meneroka laluan untuk menyerang dan membuka Andalus.

6. Hari kelahiran “Syakib Arsalan” – Pada satu Ramadan 1286H bersamaan 25 Disember 1869M, Syakib Arsalan dilahirkan seorang tokoh atau ‘putera’ pujangga terkenal yang merupakan salah seorang penyeru kepada kesatuan Arab. Beliau tokoh pertama memberi idea penubuhan Liga Arab, salah seorang pelopor reformasi terkenal dan pemimpin pembebasan tanahair menentang penjajahan Barat. Beliau adalah pengarang dan penulis paling produktif samada berbentuk artikel, risalah dan ucapan. Pengarang buku “Al-Hilal as-sundusiah” dan “Sejarah Peperangan-peperangan Arab”(Tarikh Ghuzuwat al-Arab)

7. Pencerobohan kejam Zionis Yahudi dan Peningkatan Kematian Para Syuhada Palestin – Pada satu Ramadan 1425H bersamaan 15 Oktober 2004M, sejumlah 110 orang Palestin menemui syahid termasuk 30 orang kanak-kanak dan mencederakan lebih 400 orang Palestin lain, separuhnya adalah kanak-kanak dalam satu operasi pencerobohan besar tentera Zionis Yahudi di sebelah utara Semenanjung Gaza yang berterusan selama tujuh belas hari. Pihak Israel menamakan operasi kejam ini dengan “Hari-hari Penyesalan”.

Tulisan asal oleh Dr. Rasyad Lasyin.

Terjemahan dan suntingan oleh:
Ustaz Mohd Najib bin Sulaiman
ISMA Alor Setar

One thought on “Ramadhan dalam sejarah Islam: 1 Ramadhan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *