Ramadhan kali ini …

ramadan holy quran

Ramadhan menjengah kembali mengetuk pintu hati orang-orang yang beriman, bersama titipan seribu rahmat, keampunan dan harapan yang menggunung agar hati-hati ini memperbaiki segala kekurangan di Ramadhan yang lalu. Mudah-mudahan Ramadhan kali ini benar-benar bermakna dan membawa seribu kejayaan yang bukan hanya di bulan yang mulia ini sahaja, malahan di sebelas bulan yang berbaki.

Saudara saudari seaqidah yang dimuliakan,

Masih ada 29 hari sahaja untuk kita mengulangi ibadah-ibadah yang mulia yang pernah kita kerjakan di bulan Ramadhan yang lepas. Hakikatnya ibadah yang kita lakukan adalah sama seperti ibadah-ibadah di bulan yang lain. Cuma sedikit penambahan seperti solat tarawikh yang tidak ada selain di bulan ini. Mengapa kita amat menitik beratkan ibadah di bulan ini? Sedangkan di bulan-bulan yang lain solat kita adakalanya lebih layak digelar ‘solat patuk ayam’, itu pun kadang-kadang hampir terlepas waktunya. Wirit dan doanya entah kemana, apatah lagi solat sunatnya.

Muslimin muslimat yang dikasihi,

Tanpa kita sedari kita seolah-olah mempertuhankan Ramadhan dan bukan Tuhan Ramadhan. Kerana Tuhan Ramadhan sentiasa wujud di setiap waktu dan detik. Justeru itu marilah kita memperbaiki niat agar ibadah yang kita kerjakan di bulan ini tidak berlalu begitu sahaja. Ia bukanlah ibadah adat kebiasaan, tetapi ia adalah perintah yang wajib dilunaskan seperti di bulan-bulan yang lain. Cuma tawaran ganjaran pahala di bulan ini lebih besar daripada bulan-bulan yang lain. Ibarat seperti satu projek besar yang disediakan oleh bos kita di tempat kerja, maka berlumba-lumbalah untuk menjadikannya sesempurna mungkin kerana di sana ada bonus yang besar sedang menanti.

Tetapi bonus yang disediakan oleh Allah Rabb kita tidak ada tolok bandingnya. Dijanjikan dengan keampunan, rahmat serta terlepas dari azab neraka. Mukmin manakah yang tidak mahu? Seandainya lidahnya mengatakan mahu,tetapi tindak balas tubuhnya tidak seperti apa yang diperkatakan oleh lidah, bermakna ia belum mengenal hakikat dirinya sebagai hamba dan hakikat rabbnya sebagai tuhan yang Maha Kaya memiliki segalanya.

Marilah wahai para mukmin dan mukminah yang dikasihi kerana Allah,

Dengan ibadah puasa, solat tarawih, Al Quran dan ibadah-ibadah lain di bulan yang mulia ini kita rapatkan sof kita sesama muslim. Agar rahmat Allah di bulan yang mulia ini akan terus memayungi kita disepanjang bulan-bulan yang berikutnya. Ambillah kesempatan di bulan yang mulia ini untuk kita memahami bahawa kita adalah saudara seaqidah yang perlu saling menyayangi bukan saling bercakaran yang akan hanya membawa kemusnahan kepada agama, bangsa dan negara.

Marilah wahai saudara dan saudari yang dicintai,

Hulurkan tangan kalian agar kita saling bahu-membahu meraih redha Allah agar tiada lagi kepedihan dan keperitan di hati yang memecah-belahkan kita.Mudah-mudahan rahmat dan maghfirah Allah akan sentiasa mengiringi setiap detik dalam tingkah laku kita. Dan mudah-mudahan Ramadhan ini akan lebih bererti buat kita semua.

Oleh
Ustazah Junainah Jaafar
Timbalan Ketua Biro Tarbiyah
ISMA Alor Setar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *