Ramadhanku Ramadhan kita

Ramadhan bulan rahmat, bulan keampunan, bulan yang dibuka seluas-luasnya pintu syurga dan ditutup pintu neraka. Bulan diturunkan Al Quran, bulan yang terdapat lailatul qadar dan bulan dilipat gandakan segala amalan.  Pelbagai kelebihan dan keistimewaan Ramadhan yang sering diperdengarkan kepada kita. Saban ketika dalam bulan yang mulia ini, kita diperingatkan dengan ibadah dan ciri-ciri khusus bulan ini.  Para penceramah tidak lekang dengan ayat-ayat Al Quran dan hadis-hadis Rasulullah s.a.w dalam menjelaskan kepada kita berkaitan dengan ganjaran dan imbuhan yang disediakan oleh Allah s.w.t yang Maha Pemurah.

Tazkirah demi tazkirah yang disampaikan adakah dapat mengetuk hati kita? Tergamakkah kita mengatakan bahawa saya masih tidak tahu kelebihan bulan Ramadhan yang barakah ini?  Ataukah sebenarnya kita sekadar beralasan itu dan ini untuk mengelakkan diri daripada tergolong di kalangan orang-orang yang akan mendapat rahmat, keampunan dan pelepasan dari api neraka Allah swt? Sekeras manakah hati kita yang sedikit pun tidak teruja dengan tawaran berganda yang Allah swt berikan? Dalam bulan di kala syaitan dirantai dan dihumban ke dalam laut, hati kita masih jauh dengan Al Quran, adakah kita pasti dalam bulan yang lain, hati ini akan dekat dengan Al Quran?  Ketika pintu keampunan terbentang luas, namun kita tidak berusaha untuk mendapat keampunan-Nya, pastikah ada ketika lain kita akan berusaha untuk mendapat keampunan-Nya?

Ayuh saudaraku, Masihkah ada masa yang menunggu kita di hadapan sana sedangkan bahtera Ramadhan telah belayar dan akan meninggalkan kita?  Usah bertangguh lagi, ketuklah hatimu yang keras itu dengan ayat-ayat Allah swt. Cairkanlah hatimu yang yang beku itu dengan titisan-titisan air mata keinsafanmu.  Semoga Ramadahan kali ini yang kita lalui bersama akan membawa kita kepada jalan-Nya.

Oleh:
Mohamed Ali Saip
ISMA Alor Setar

Nota: Mohamed Ali Saip merupakan seorang pensyarah di Universiti Utara Malaysia (UUM) Sintok, Kedah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *