Raut Wajah Ramadhan

beats ramadhan

Rindu.

Laksana pungguk rindukan bulan. Angin sepoi-sepoi bahasa pada malam itu begitu memahami maksud tersirat dalam hati ini. Waktu sepurnama bersama, berjalan lelah, berborak iman, bersalut ukhuwah, berkongsi pahit, dan berbuah fikir telah pun berlalu sekelip mata. Saat bersama terasa begitu singkat dan berakhir juga pada malam itu. Sungguhpun angin yang bertiup itu sudah cukup membuatkan roma-roma ini tertegak, namun kehangatannya lebih terasa sang kelopak mata. Butiran manik suci tidak dapat lagi dibendung akhirnya bercucuranlah mengalir kehangatan yang dikongsi bersama. Hati yang ada dihinggapi rasa hiba seketika.

Memori dan kenangan yang dilalui bersama mula bermain-main dalam kotak fikiran ini. Siangnya tak pernah jemu berhempas pulas membanting tulang memerah keringat berjuang menyampaikan risalah. Malamnya pula menjadi selimut yang akrab, tempat mengadu dan sumber bekal demi mengharap redha Ilahi. Terasa ringan setiap yang ditempuhi tatkala menjadikan Rabb sentiasa di sisi. Namun, masa terus akan berlalu tanpa henti, setiap yang hadir pasti akan pergi. Namun tarbiyah Allah tetap akan terus berlalu sungguhpun ‘dia’ akan pergi buat setahun lagi sehingga kita menghadapkan diri kepadaNya kelak.

Timbullah persoalan buat kita tatkala ini,

–        Pernahkah kita menerima bungkusan hadiah?

–        Bilakah kebiasaannya kita akan menerima hadiah itu?

–        Apakah perasaan kita pada saat menerima hadiah itu?

–        Apatah lagi sekiranya dikirim oleh seseorang yang sangat istimewa bagi diri kita?

–        Seterusnya apakah yang akan kita buat dengan hadiah itu?

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa, 

(Surah al-Baqarah, ayat 183)

Ramadan yang disediakan oleh Allah S.W.T. ini merupakan satu hadiah yang teramat istimewa buat diri kita yang mengaku sebagai hamba-hamba yang taat kepadaNya. Sebuah hadiah yang tidak ternilai harganya. Hadiah yang akan menyelamatkan diri kita daripada azab api neraka.

Betapa rahmah dan sayangnya Allah kepada kita, dikurniakan begitu banyak peluang dan ruang untuk terus bertaubat dan memohon keampunan daripadaNya. Kita dikurniakan 5 stesen solat fardu dalam sehari, 4 stesen jumaat dalam sebulan dan sepurnama stesen Ramadan dalam setahun. Tidak cukup dengan itu, kasih sayang Allah kepada kita menjangkaui kasih sayang seorang bapa kepada anaknya, dikurniakan satu lagi stesen yang teristimewa iaitu malam yang lebih baik daripada seribu malam, malam a-Qadr.

Teliti sahaja potongan ayat daripada surah al-Baqarah itu, sudah terang lagikan bersuluh Allah menginginkan kita menjadi para muttaqin. Natijah puasa yang kita imani, ambillah sepenuh manisan dan manfaat yang terkandung didalamnya, kemudian selamilah jiwa Ramadan ini sedalam-dalamnya lantas janji Allah untuk menjadikan kita sebagai umat yang di dalam hatinya bertakhta nilai taqwa.

Dan ar-Rasul S.A.W. juga ada menyebut dalam satu hadis,

من أدرك رمضان ولم يغفرله فأبعده الله

Maksudnya: Barangsiapa yang Allah berikan nikmat untuk dia berjumpa Ramadan, dan dia gagal untuk memastikan Allah mengampunkannya, maka Allah akan menjauhkannya.

Janji Allah itu pasti. Allah sebut bahawa sesiapa dalam kalangan hambanya yang telah diberikan peluang untuk bertemu dengan Ramadan, kemudian dia tidak dapat memastikan Allah mengampunkannya dan menjadikan dia keluar dalam keadaan bersih dan suci, akhirnya Allah akan menjauhkannya. Allah akan menjauhkannya daripada rahmat, keampunan, kasih sayang dan segala-galanya sehingga kita menjadi miskin daripada perlindungan Allah S.W.T.

“Dayung sudah di tangan, perahu sudah di air”. Maka, peluang sudahpun terbuka luas untuk kita kejar dan garap dengan sehabis baik. Usah biarkan ia pergi dan berlalu tanpa makna untuk kita junjung bekal ini menghadap Ilahi kelak di pintu syurga.

Khas buat penerus dan pendokong risalah ini, jadikanlah madrasah Ramadan ini sebagai penyuntik semangat kita, pembakar obor kemenangan, isi kandung dalam bekalan-bekalan kita, tapak kukuh di mana kita berdiri dan minyak pelincir untuk kita sama-sama terus bergerak tanpa henti, tanpa tahu di manakah stesen terakhirnya melainkan sehingga kita bertemu Yang Maha Esa.

Akhirnya, layakkanlah diri kita ini menjadi pendokong dakwah yang sebenar, kerana ummat sedang menunggu kita dan kemenangan pasti juga akan dicapai. Allah tidak meminta lebih daripada kita melainkan hanya tunduk patuh serta kesungguhan yang tidak berbelah bahagi untuk memastikan pengakhiran kemenangan itu berbaloi dan setimpal dengan usaha amalan kita.

Sumber: www.ismaindia.net

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *