Rehat kita di sana

Selepas kematian Khalifah Sulaiman bin Abdul Malik, Umar Abdul Aziz telah diamanahkan memegang urusan umat muslimin dengan memimpin mereka sebagai Khalifah. Pada hari pertama itulah menjadi hari paling sibuk bagi dirinya… Menyelesaikan majlis pengebumian khalifah dan menghadiri masjid untuk menyatakan amanah yang dipikul bahunya.

Selesai berucap, Umar turun dari mimbar. Beliau ingin terus pulang ke rumah untuk berehat. Beliau berhasrat untuk mengembalikan tenaganya seketika setelah segala penat-lelah yang dilaluinya semenjak kematian Khalifah Sulaiman. Walau bagaimanapun, belum sempat Umar melabuhkan punggungnya, tiba-tiba anaknya, Abdul Malik yang ketika itu baru berusia 17 tahun datang seraya bertanya: “Apakah yang hendak dilakukan Amirul Mukminin?!”

“Anakku, ayah hendak melelapkan mata seketika. Sudah tidak bertenaga rasanya tubuh ayah ni…” jawab Umar perlahan. “Apakah Amirul Mukminin akan melelapkan mata sebelum mengembalikan segala hak yang telah dirampas kepada pemilik asalnya?” tanya Abdul Malik.

“Anakku, ayah tidak tidur sepanjang malam semalam kerana menguruskan jenazah pak cik mu, Sulaiman. Apabila masuk Zuhur nanti, ayah akan bersolat bersama rakyat. Ayah akan mengembalikan segala hak kepada pemiliknya… dengan izin Allah,” jawab ayahnya.

“Wahai Amirul Mukminin, siapakah yang dapat menjamin ayah hidup hingga ke waktu Zuhur nanti?!” balas anaknya, Abdul Malik.

Kata-kata Abdul Malik ini umpama petir yang menyambar hatinya. Ia mula membakar semangat Umar dan hilanglah segala keinginannya untuk tidur. Lahir pula kekuatan dan kemahuan tekad yang jitu dalam kelesuan tubuhnya.

“Mari sini wahai anakku…” panggil Umar lembut. Abdul Malik pun menghampiri ayahnya. Umar pun memeluk dan mencium dahi anaknya sambil berkata: Segala Puji bagi Allah yang telah melahirkan daripada tulang sulbi ayah seorang anak yang mampu membantu agama ayahnya…”

Umar pun bingkas bangun dan mengarahkan supaya orang ramai diberitahu bahawa sesiapa sahaja yang dizalimi hendaklah mengadukannya kepada khalifah.

Oleh: Muhammad Izzuddin Bin Selamat, Tahun 3, Usuluddin, Universiti Al-Azhar (Mansurah)

Sumber: Laman web ISMA Mesir

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *