Sejarah Islam ketika 9 Ramadhan

mustafa masyhur

1. Pemergian Ustaz Mustafa Masyhur Mursyid Am Kelima Ikhwan Muslimin – Pada petang Khamis 9 Ramadan 1423H bersamaan 14 November 2002M, Ustaz Mustafa Masyhur Mursyid Am Kelima Ikhwan Muslimin pulang ke rahmatulLah setelah menjalani kehidupan yang dipenuhi dengan usaha, kerja dan jihad serta pengorbanan di jalan Allah berkhidmat kepada Islam dan kaum Muslimin. Al-Marhum Syeikh Mustafa Masyhur dilahirkan pada 15 September 1921M di desa Al-Sa’daein, Mukim Menia al-Kamh-Belbais, wilayah Syarkeya, Mesir.

2. Musa bin Nusair meneruskan misi membuka Andalus – Pada hari ini 9 Ramadan 93H bersamaan 18 Jun 712M, Panglima Musa bin Nusair melancarkan misi menyempurnakan pembukaaan Andalus dan berjaya membuka wilayah Sevilla dan Toledo.

3.  Pertempuran Balat Syuhada (Catatan Sejarah Versi 2) – Pada hari ini 9 Ramadan 114H bersamaan 10 Oktober 732M, Berlaku Peperangan Balat Syuhada(Battle of Court of the Martyrs) di Tours-Poitiers di sebelah utara tengah Perancis antara  Charles Martel Datuk Bandar Austrasia berbangsa Franks dengan Abul Rahman al-Ghafiqi Gabenor Jeneral Umayyah di Andalus. Dalam peperangan ini tentera Islam dapat dikalahkan dan Abdul Rahman al-Ghafiqi sendiri syahid di medan pertempuran. Peperangan ini dikenali juga sebagai Perang Tours atau Perang Piotiers yang dikatakan oleh ahli sejarah Barat sebagai kemenangan menahan ‘Pengislaman’ Benua Eropah. Moga Allah mencucuri ruh para syuhada.

4. Pembukaan Sicily – Pada hari ini 9 Ramadan 212H bersamaan 1 Disember 827M, tentera Islam mencecah kaki mereka di perairan kepulauan Sicily dan berjaya menguasainya dalam misi menyebarkan Islam di kawasan tersebut. Pembukaan Sicily ini dipimpin oleh Ziyad bin al-Aghlab.

5. Penghapusan Gerakan Babak al-Khormy – Pada hari ini 9 Ramadan 222H / 837M, Panglima Haidar bin Kaus Alocherwyne dikenali dengan Alovchen yang dipertanggungjawabkan oleh Khalifah al-Muktasim, khalifah Abbasiyah berjaya memasuki kota al-Baz tempat tinggal Babak al-Kormy tetapi beliau berjaya melarikan diri. Namun Alovchen berjaya menangkapnya dan membawanya ke Samarra bersama sebahagian pengikutnya dan kesemuanya dihukum bunuh. Dengan itu, tamatlah riwayat gerakan Babak al-Khormy setelah lebih dua puluh tahun melakukan kekejaman ke atas orang-orang Islam sejak dari zaman Khalifah al-Makmun lagi. Puak al-khormiyah al-babakiyah dan ajarannya tersebar di wilayah-wilayah Parsi.(Menurut sumber sejarah, fitnah gerakan ini memberi impak besar melemahkan kerajaan Abbasiyah dan terbantutnya usaha perluasan dan pembukaan wilayah Islam kerana telah menyebabkan seramai 200,000 orang Islam terbunuh dan juga 100,000 pengikut Khormiyah-pent).

6. Pertempuran Zallaqa (Battle of Sagrajas) – Pada hari ini 9 Ramadan 479H bersamaan 17 Disember 1086M, tentera Islam Murabitin di bawah pimpinan Yusuf bin Tasyfein berjaya mengalahkan tentera Frank pimpinan Alfonso VI dalam peperangan Zallaqa atau Zalaca. Hanya Alfonso VI dan sembilan anggota tenteranya yang terselamat. Menurut sumber lain, peperangan ini berlaku pada hari Jumaat 12 Rejab 479M bersamaan 23 Oktober 1086M.

7. Ketibaan Para Mujahidin dari Hijaz Ke Mesir Menentang Penjajahan Perancis – Pada hari ini 9 Ramadan 1313H bersamaan 18 Februari 1899M, satu ketumbukan mujahidin dari Hijaz Arab Saudi telah sampai ke pelabuhan Quseir, Mesir untuk turut serta bersama saudara Islam mereka di Mesir melawan tentera Salib Perancis.

Tulisan asal oleh Dr. Rasyad Lasyin.

Terjemahan dan suntingan oleh:
Ustaz Mohd Najib bin Sulaiman
Ketua Biro Dakwah
ISMA Alor Setar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *