Sejarah Masjid Zahir

Masjid Zahir yang tersergam indah di tengah-tengah bandaraya Alor Setar merupakan masjid negeri Kedah Darul Aman.

Sejarah Masjid Zahir ini bermula dengan pembinaannya pada tanggal 11 Mac 1912.

TAPAK MASJID

Tapak masjid pada asalnya telah didirikan sebuah masjid lama yang diperbuat daripada kayu dan nipah yang telah dibina pada zaman pemerintahan Sultan Muhammad Jiwa Zainal Adilin Muadzam Shah II pada tahun 1735.

Di tapak itu juga terdapat tanah pusara perwira Kedah yang gugur semasa mempertahankan negeri daripada serangan Siam pada tahun 1821.

Sebagai memberi laluan kepada pembinaan sebuah masjid negeri, masjid lama dipindahkan ke Alor Merah.

PROSES PEMBINAAN

Urusan pembinaan masjid ini diuruskan oleh satu jawatankuasa yang diketuai oleh Tunku Mahmud Ibni Sultan Ahmad Tajuddin Mukarram Shah, Yang DIpertua Majlis Mesyuarat Negeri pada masa itu yang sedang memangku tugas Sultan Abdul Hamid Halim Shah.

Ahli-ahli jawatankuasa itu termasuklah Tunku Ibrahim Ibni Sultan Abdul Hamid Halim Shah, Syed Hassan Shahabuddin (Hakim Besar), Muhammad Ariffin bin Muhammad Arshad (Setiausaha Kerajaan Negeri), W.G. Maxwell (Penasihat Inggeris) dan J. Gorman sebagai Jurutera Negeri.

Gorman bertindak sebagai pelukis pelan bersama-sama seorang anak tempatan yang hanya disebut sebagai Pak Din.

Gorman juga bertanggungjawab meninjau senibina Masjid Azizi tinggalan Kesultanan Langkat di Tanjung Pura, Sumatera Utara, Indonesia untuk dijadikan panduan utama pembinaan Masjid Zahir, memandangkan Masjid Azizi merupakan masjid tercantik di Nusantara pada masa itu.

PERASMIAN MASJID ZAHIR

Masjid yang siap sepenuhnya pada tahun 1915, yakni selepas 3 tahun itu direka bentuk sepenuhnya berdasarkan

Perasmian Masjid Zahir diupacarakan pada hari Jumaat, 15 Oktober 1915 oleh Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah. Pada hari itu, Tunku Mahmud bertugas sebagai khatib manakala Sultan sebagai imam Solat Jumaat.

Ciri-ciri senibina Masjid Zahir mempunyai pengaruh Timur Tengah dan India yang mempunyai banyak kubah.

Masjid Zahir mempunyai 5 kubah yang melambangkan 5 rukun Islam.

Di samping bangunan utama masjid, turut diletakkan meriam-meriam yang diambil dari Kota Kuala Kedah yang disusun di laluan Sultan iaitu di bahagian kanan masjid.

Masjid Zahir pernah mengalami proses pembesaran, iaitu kali pertama pada tahun 1960 dan kali kedua pada tahun 1975.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.