Sejarah: Peperangan Kedah-Siam 1821-1842

kotakedah1
Kota Kuala Kedah

Antara peristiwa penting yang berlaku sewaktu dalam peperangan Kedah-Siam ini ialah peristiwa “Kedah Blockade 1838” di mana tentera British yang pada awalnya memberi bantuan ketenteraan kepada Sultan Kedah bertukar arah dengan menyokong serangan Siam ke atas Patani dan Kedah.

Ancaman pertama dari Siam menjelma pada petang Ahad 12 November 1821 bila mana satu angkatan perang dari Siam yang tidak diketahui tujuannya belayar ke Kuala Kedah. Mereka disambut dengan meriah oleh Bendahara Dato’ Paduka Maharaja Sura.

Semasa Panglima Siam, iaitu Raja Ligor Phya Buri Sakmuton dibawa melawat sekitar Kota Kuala Kedah beliau secara tiba-tiba mengarahkan askarnya menyerang para pengawal di dalam kota tersebut. Maka berlakulah pertempuran hebat di dalam kota itu. Akhirnya angkatan Siam berjaya menawan kota tersebut. Angkatan perang Kedah bersama sultan terpaksa berundur dan bertahan di Pulau Pinang. Di sini, mereka merancang strategi untuk merampas kembali negeri Kedah dari Siam.

Pada tahun 1831 anak saudara sultan, Tengku Kudin (Syed Zainal Abidin) berketurunan Palembang telah mengetuai 3000 angkatan perang orang Melayu dari Prai telah menyerang Siam di Kedah dan menghalau mereka jauh hingga ke sempadan Siam. Kerajaan Siam dan British telah mengisytiharkan orang-orang melayu ini sebagai perompak, lanun dan pengganas.

Kemenangan angkatan Kedah tersebut tidak lama di mana mereka kembali diasak Siam dan terpaksa berundur dan bertahan di kota Kuala Kedah. Kapal-kapal perang British pula mengepung sepanjang persisiran pantai Kedah manakala tentera Siam menyerang dari darat. Kekebalan benteng Kota Kuala Kedah menyebabkan pihak Siam terpaksa membina menara tinggi untuk menembak orang melayu di dalam kota tersebut. Setelah bertahan selama 3 bulan dan bertempur menentang 7500 askar dan 3000 gajah dari Siam, Kota Kuala Kedah akhirnya jatuh ke tangan Siam. Tengku Kudin sendiri terbunuh dalam pertempuran tersebut dan kepalanya telah dihantar ke Bangkok.

Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah II
Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah II

Pada tahun 1838, sekali lagi angkatan perang Kedah diketuai oleh seorang lagi anak saudara sultan, Tunku Muhammad Saad yang berkekuatan 10,000 askar dan 50 perahu perang dilengkapi meriam ringan telah mengusir Siam keluar dari Kedah melepasi Singora (Songkhla). Mereka juga berjaya membebaskan Patani dari naungan Siam buat seketika. Mereka bertahan di Songkhla sementara menunggu musim monsun tiba di mana bantuan askar melayu dari negeri-negeri sekitar dijangka tiba. Orang Eropah yang berkedudukan tinggi (gentry) di Pulau Pinang menolong baginda dengan menyediakan senjata dan bekalan. Tetapi tidak lama kemudian Kerajaan Negeri Selat memberi bantuan kepada Siam. Angkatan Tunku Muhammad sekali lagi terpaksa berundur dan bertahan di Kota Kuala Kedah buat kali terakhir.

Bantuan dari Bangkok tiba bersama 15000 tentera dilengkapi senjata yang lebih moden, meriam dan gajah menyerang kota dari arah darat. Dari sebelah laut, kapal perang British HMS Hyacinth yang berkekuatan 18 laras meriam mengepung dari laut. Kapal tersebut terpaksa berlabuh jauh dari pantai untuk mengelakkan bedilan meriam dari dalam kota kuala kedah. Kapal tersebut turut diiringi oleh 3 buah lagi kapal perang yang lebih kecil iaitu HMS Emerald, HMS Pearl dan HMS Diamond.

Petikan berkaitan keturunan Tunku Muhammad Saad
Petikan berkaitan keturunan Tunku Muhammad Saad

Pada 19 Mac 1839 pekan Kuala Kedah dikuasai sepenuhnya oleh askar Siam dan penembak hendap mereka ditempatkan di setiap sudut pekan tersebut. Orang Melayu yang ada ketika itu semuanya dibunuh dengan kejam. Menyedari harapan untuk menang adalah tipis dan kota akan jatuh ke tangan Siam pada bila-bila masa saja, pada malam tersebut orang Melayu dibantu oleh askar upahan Sepoi membuat serangan berani mati ke atas kedudukan Siam di pekan tersebut. 15 askar Sepoi melepaskan tembakan bantuan ke arah askar Siam. Sementara itu saki-baki orang Melayu yang tinggal diarahkan menyelamatkan diri dengan berenang ke arah kapal-kapal Inggeris. Kapten dan para kelasi kapal-kapal tersebut yang terdiri kebanyakannya dari kalangan orang Melayu Negeri-negeri Selat turut merasa simpati di atas apa yang terjadi dan terpaksa menyelamatkan orang Melayu yang berenang ke kapal-kapal tersebut.

Angkatan Tunku Muhammad yang bertahan di dalam kota hanya tinggal 200 orang. Menyedari mereka dikepung dari setiap sudut dan kemungkinan untuk menang adalah tipis, orang Melayu ketika itu terpaksa berjuang habis-habisan.

Pada Subuh 20 Mac 1839, Kota Kuala Kedah berjaya ditawan sepenuhnya oleh Siam dan kesemua mereka yang mempertahankan kota tersebut turut terkorban. Mulai dari tarikh tersebut, bedilan dari meriam-meriam dari kota tersebut tidak lagi kedengaran sehinggalah ke hari ini.

Sultan Ahmad Tajuddin yang semakin tua masih tidak berputus asa untuk mendapatkan kembali negerinya. Setelah cara ketenteraan gagal, baginda mencuba pula cara berdiplomasi. Baginda telah menghantar putera bongsunya, Tunku Dai (Tunku Zainal Rashid, kemudian Sultan) untuk mengadap King Rama III. Dalam pertemuan tersebut, Tunku Dai berjanji akan mengakui kedaulatan Siam dengan syarat Sultan Kedah dikembalikan takhtanya.

Setelah berperang selama hampir 21 tahun, Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah II dipulihkan takhtanya pada Jun 1842. Baginda telah kehilangan Perlis (diperintah rajanya sendiri) dan Setul/Satun (dimasukkan ke dalam jajahan Siam) tetapi telah berjaya menyelamatkan negeri Kedah dari diperintah terus oleh Siam seperti yang terjadi ke atas Patani dan berjaya mengekalkan institusi raja Melayu sehinggalah ke hari ini. Baginda mangkat pada 1 Januari 1845.

Bagi pihak British pula, inilah pengalaman pertama yang mereka rasai berperang dengan orang Melayu sehinggakan Kapten Sherard Osborn, Pegawai Tentera laut British ketika perang Kedah-Siam 1838 telah membuat kenyataan berikut:

“Seperti anjing… pribumi (yakni org India) di sepanjang persisir pantai semenanjung India menjilat tangan yg mendera mereka;

Tetapi tidak bagi orang Kedah! dan kita orang Inggeris seharusnya menjadi yang pertama memuliakan bangsa yang tidak tunduk kepada kekejaman”

Sources:

Thomson, John Turnbull, “Glimpses Into Malayan Lands”, Oxford University Press 1984 (first published by Richardson and Company, 1864). RM 22.00

‘The Blockade of Kedah in 1838: A Midshipman’s Exploits in Malayan Waters’ by Sherard Osborn (1857), reprinted by Oxford University Press (1987) (ISBN 0 19 588860 X). Price RM 52.80

Dipetik daripada: tabutjawi.blogspot.com

2 thoughts on “Sejarah: Peperangan Kedah-Siam 1821-1842

  1. Sebagai Rakyat Kedah aku berazam utk membalas kekejaman askar Siam anak haram dan merampas kembali wilayah Kedah yg dirampas Siam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *