Sejarah sistem pengairan padi di negeri Kedah

Kedah memang sudah lama sinonim dengan jolokan Bumi Jelapang Padi oleh masyarakat Malaysia. Kewujudan dataran pamah yang luas dengan litupan lumpur samudera kuno tebal menjadi punca utama kepada penanaman padi di negeri ini termasuk Perlis sebelum abad ke-15 lagi.

ZAMAN KESULTANAN MELAYU KEDAH

Pada mulanya, aktiviti penanaman padi dusahakan oleh orang-orang Melayu secara pindah kering atau ladang sebagai salah satu aktiviti sara hidup mudah selain menangkap ikan. Lebihan hasil beras ditukar dengan barang-barang seperti makanan lain cukup untuk sara hidup diri dan keluarga.

Wales (1940) menyatakan perusahaan beras di Kedah dibuat dalam lingkungan kawasan yang mampu dikawal bagi menghalang kegiatan lanun. Khan (1958) pula merekodkan peningkatan penanaman padi di utara Kedah (termasuk Perlis) pada pertengahan abad ke-15 adalah bagi memastikan sumber makanan asas yang cukup untuk tentera-tentera Siam yang berpangkalan di Melaka. Bukan itu sahaja, orang-orang Siam dari Langwan, Chaya, Karahi dan Tambralinga dibawa masuk untuk bertanam padi.

Selain sebagai kegunaan tempatan, beras yang dihasilkan juga menjadi bahan dagangan dan jualan utama secara antarabangsa seperti Hinda Timur, Eropah, China dan India.

Keperluan menghasilkan beras yang lebih banyak bagi pasaran dagang mendorong Sultan Rijaluddin Muhamamd Shah, Sultan Kedah yang ke-13 (1626 – 1652) untuk mengarahkan pembinaan terusan-terusan air dari Kayang (Kangar) ke Anak Bukit, Alor Janggus ke Sungai Gunung dan Mergong ke Pumpong. Air dari terusan-terusan ini ditakung ke dalam petak-petak bendang semasa proses menyemai dan memindahkan anak padi. Selain untuk pengairan padi, pengorekan terusan-terusan secara kudrat manusia ini turut berperanan sebagai laluan perhubungan masyarakat. Peningkatan pengeluaran beras untuk perdagangan luar ini sejajar dengan kewujudan Hukum Kanun Kedah dan Undang-Undang Pelabuhan Kedah yang ditulis pada zaman Sultan Rijaluddin Muhammad Shah.

Terusan-terusan baru terus dibina di sekitar Anak Bukit dan Kubang Rotan semasa pemerintahan Sultan Muhammad Jiwa II, Sultan Kedah ke-19. Semasa pemerintahan baginda juga penguasaan takluk Kedah sampai ke Mergui (kini Myanmar) dan Kuala Kurau (kini di Perak).

Pemajakan Pulau Pinang kepada Francis Light pada tahun 1786 memungkinkan kegemilangan perdagangan beras daripada Kedah pada mulanya. Namun, Tindakan Light yang melengahkan bantuan ketenteraan seperti yang dijanjikan memaksa Kedah menentang British di Kuala Perai. British menang dan berjaya merampas Pulau Pinang pada tahun 1791, seterusnya berjaya menduduki Seberang Perai pada tahun 1800.

Sebelum tercetusnya Perang Musuh Bisik, Sultan Ahmad Tajuddin II, Sultan Kedah ke-22 sempat memerintahkan pengorekan terusan-terusan baru dari Sungai Korok ke Padang Kerbau dan dari Sungai Simpor ke Sungai Muda pada tahun 1815 dan 1818.

TERUSAN WAN MUHAMMAD SAMAN

Pemerintahan Sultan Abdul Hamid Halim Shah, Sultan Kedah ke-26 menyaksikan pengorekan Terusan Wan Muhammad Saman secara 3 fasa iaitu dari Lubuk Katong (Tandop) ke Kota Sarang Semut, Kota Sarang Semut ke Gurun dan Lubuk Katong ke Tanjung Chali. Kerja-kerja pengorekan diuruskan oleh Wan Wan Muhammad Saman, Perdana Menteri Kedah Ketika itu dan menggunakan kudrat orang-orang Melayu kecuali semasa fasa ke-3 di mana dilakukan oleh orang-orang Cina. Terusan ini siap sepenuhnya pada tahun 1895.

Banyak lagi terusan-terusan yang dibina di Kedah selepas itu secara konsesi oleh pembesar-pembesar setempat, iaitu:

  • Dari Sungai Pendang ke Sungai Kangkung
  • Dari Sungai Daun, Sungai Limau dan Sungai Sedaka
  • Di Kg. Dulang (kemudian dikenali sebagai Sungai Dulang)
  • Alor Changleh
  • Dari Kodang ke Sanglang

Wilayah Kedah terpisah apabila termeterainya Perjianjian Anglo – Siam 1909 di mana jajahan Perlis diserahkan kepada Siam manakala negeri Kedah sekarang diletakkan bawah pemerintahan British.

ZAMAN PENJAJAHAN BRITISH

Semasa penjajahan British di Kedah, pemerintah British hanya menggunapakai dan menaik taraf sistem-sistem terusan yang sedia bagi memastikan pengeluaran padi beras tidak terganggu.

PASCA KEMERDEKAAN TANAH MELAYU

Era baru sistem pengairan bagi tanaman padi di Kedah muncul melalui wujudnya Skim Pengairan Sungai Muda pasca Kemerdekaan Tanah Melayu melalui Rancangan Malaya Pertama. Dalam skim ini, 2 buah empangan baru iaitu Empangan Muda dan Empangan Pedu akan dibina beserta jaringan pengairan yang baharu, kunci-kunci air selain puluhan jambatan dan jalan-jalan baharu agar usaha menjadikan padi beras mampu ditanam 2 kali setahun di Kedah tercapai. Projek ini bermula pada tahun 1966 dan siap pada tahun 1970. Empangan Ahning dan Empangan Beris turut dibina pada tahun 1989 dan tahun 2000 sebagai kolam takungan air tambahan dalam skim pengairan sedia ada.

Selain air permukaan, penggunaan air bawah tanah juga dilakukan melalui pembinaan telaga-telaga tiub di mana air bawah tanah dipam dan disalirkan ke sawah-sawah padi bilamana berlaku musim kemarau yang teruk.

Fakhruddin Afif Fauzi
Aktivis ISMA Alor Setar
Ahli Komuniti Penyelidik Sumber Asli dan Alam Sekitar (SALAM)

Rujukan-rujukan utama:

  1. Ab Latif Ibrahim. (1991). Tanaman Padi di Negeri Kedah dan Hubungannya dengan Sumber Air: Satu Tinjauan Daripada Perspektif Sejarah. Jurnal Kajian Malaysia, 11(2), 53-67.
  2. Ismail Haji Saleh. (2001). Wan Muhammad Saman Wan Ismail: Dato’ Perdana Menteri Kedah 1870 – 1898. Alor Setar: Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Negeri Kedah.
  3. Hill, R.D. (2012). Rice in Malaya: A study in historical geography. NUS Press Singapore.
  4. Johan Afendi Ibrahim, Norhanim Abdul Razak, Mohamad Zaki Ahmad (2017) Terusan Wan Muhammad Saman (1895-2015): Tinggalan Sejarah dan Potensinya Sebagai Sebuah Produk Pelancongan. Jurnal Perspektif, 9(1), 1-15.
  5. Wan Shamsudin Mohd Yusof (2014). Kedah: Dalam Warisan Sejarah Dan Budaya Nusantara’ oleh, Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah.
  6. www.mada.gov.my
  7. madainfo.blogspot.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.