Selamat Hari Guru!

selamat-hari-guru-1

Salam buat warga pendidik sekalian,

Menjelang 16 Mei setiap tahun, seluruh warga guru menyambut Hari Guru. Jasa dan sumbangan para guru terhadap masyarakat dan negara amatlah besar. Menerusi wadah pendidikan ini, para guru menjadi agent of change (agen perubah) bagi membentuk, membina dan melahirkan generasi umat berkualiti.

Memang tugas dan amanah kependidikan ini berat dan sukar. Sejarah telah merakam bahawa disebalik kegemilangan ketamadunan sesuatu bangsa dan umat terletak dibahu para guru. Meneliti kejayaan tamadun Islam bermula dari Era Nubuwwah , Era Khulafak sehingga ke puncak peradaban di zaman Abbasiyyah, maka mereka yang mewarnai dan mencorak kekuatan umat adalah para ilmuwan dan intelektual Islam yang bergelar sebagai seorang guru.

Kehebatan para pemimpin Islam dahulu juga ditunjangi oleh para guru yang mursyid, yang bertindak sebagai seorang murobbi, muallim, muaddib dalam kerangka melanjut dan melangsung kepimpinan umat Islam. Yang menghebatkan para sahabat r.a adalah Rasulullah SAW selaku rasul dan murobbi agung, yang menghebatkan Khalifah Umar Abdul Aziz dan Khalifah Harun Ar-Rashid ialah guru yang bernama Imam Malik b. Anas, yang menghebatkan Sultan Solahuddin Al-Ayyubi ialah Bahauddin bin Shaddad dan yang menghebatkan Sultan Muhammad Al-Fateh, gurunya bernama Syeikh Agha Shamsuddin. Kata Sultan Muhammad al-Fateh : “Penghormatan saya kepada Syeikh Agha Shamsuddin bukanlah satu pilihan saya. Ketika berada bersamanya, saya rasa terpegum dan kagum.”

Justeru, guru di sepanjang babak membangun peradaban dan ketamadunan telah memainkan peranan yang bukan kepalang, peranan ta’lim, ta’dib dan tazkiyah. Atas tangan mereka lahirlah para ilmuwan,cendekiawan, hartawan, teknokrat dan pemimpin terbilang sepanjang zaman.

Hari ini, guru berdepan dengan cabaran yang pelbagai rencam. Antara cabaran terbesar mereka ialah bagaimana mereka mampu menjadi ‘tranformer’ kepada pembinaan umat dan negara. Kekangan dan hambatan profesion perguruan menjadikan mereka hilang fokus dan lebih mengutamakan nilai-nilai materialistik. Apatah lagi halatuju pendidikan negara yang bercelaru dan tempang. Di tambah pula matlamat dan falsafah pendidikan negara yang terpinggir dari mentaliti para guru hari ini.

Tidak hairanlah kita melihat indeks keruntuhan moral dikalangan warga pelajar sekolah semakin meningkat, jenayah berleluasa di dalam masyarakat dan suburnya fahaman hedonisme, liberalisme dan humanisme yang bertunjangkan hawa nafsu menjalar dikalangan anak-anak yang menuntut di sekolah.

Terpinggirnya arus perdana pendidikan Islam dalam pendidikan negara melahirkan generasi pelajar yang tempang, berjiwa kolonial dan rendah akal budi dan akar umbi bangsa. Semangat keislaman dan kemalayuan yang malap dijiwa para pelajar melayu Islam mengundang kerosakan dan kehancuran umat.

Maka sempena Hari Guru 2011, seluruh warga pendidik sama ada yang berada di mana-mana institusi pendidikan perlu menilai peranan dan skop profesian mereka. Warga guru sewajarnya menjadi jurubicara umat, pejuang rakyat, pengemudi dan pelopor kebangkitan serta pencetus dan penjana transformasi umat dan bangsa melalui wadah pendidikan.

Sejajar dengan pelaksanaan KSSR dan KSSM, pertambahan sekolah-sekolah Kluster dan SBT ( sekolah berprestasi tinggi), imbuhan dan insentif yang diberikan kepada warga guru, maka sepatutnya martabat pendidikan negara tercapai.

Namun kelompangan ini sewajarnya membuka mata para pendidik bahawa pendidikan kita perlu kepada beberapa anjakan transformasi dari sudut pensejajaran dengan falsafah pendidikan negara, kurikulum yang mantap dan bersepadu, guru yang berkualiti, berwibawa dan berautoriti, pengurusan kependidikan cemerlang, sekolah dan murid berwatak serta menumbuhkan iklim harmonis dalam proses penyediaan generasi masa depan.

Betapa jatuh bangun sesebuah tamadun terletak pada kekuatan akar bangsanya. Manakala kekuatan akar bangsanya pula dilihat pada kehebatan pemimpinnya. Dan kehebatan para pemimpinnya tergalas di bahu para gurunya. Memang guru penjana transformasi pendidikan negara.

Selamat Hari Guru buat seluruh warga pendidik. Guru dulu, kini dan selamanya.

Photobucket

Ustaz Mohd Azizee bin Hasan,
Naib YDP ISMA Seremban

Blog: Petunjuk Sepanjang Jalan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *