Selamat Hari Ibu

Dari seawal jam 7 pagi semalam saya telah menerima beberapa sms dari teman sepejabat mengucapkan selamat hari ibu.

“Selamat hari ibu. Moga hasilnya anak-anak soleh solehah serta bijaksana bakal mewarnai dunia hasil didikan seorang insan bergelar ibu”

“Selamat Hari Ibu, redhokan perbuatan anak-anak dan ampunkan dosa-dosa mereka. Terus usahakan menjadi ibu mithali. Moga syurga jadi milik kita semua”.

“She is the one we take our trouble to, she is the one who really cares and loves, she raises us to be strong, she covers all of this and more, she is our mother; Happy Mother’s Day”

Pengorbanan seorang ibu, tidak ternilai besarnya. Sebagai pakar sakit puan, setiap hari saya berjumpa dengan pesakit wanita. Ada yang belum menjadi ibu dengan izin Allah, tetapi naluri untuk menjadi ibu, adalah satu anugerah yang diberi Allah. Justeru wanita berusaha makan ubat, mengambil suntikan, menjalani prosedur permanian berhadas ataupun prosedur tabung uji demi mencapai hasrat untuk menjadi ibu. Ada yang berjaya tapi ramai juga yang kecundang pada percubaan pertama. Namun hasrat untuk menjadi ibu tidak pernah padam dalam sanubari mereka. Hari ini mereka gagal, esok lusa mereka telah sedia menanti untuk membuat temujanji baru menjalani semula prosedur suntikan dan lain-lain lagi yang menuntut pengorbanan masa, wang ringgit dan penat lelah.

Yang subur dan berjaya mengandung tanpa bantuan, anda bertuah sebenarnya. Tetapi ibu sekali lagi berkorban. 9 bulan dalam kandungan atau lebih tepat lagi 40 minggu atau 280 hari menantikan tarikh untuk dilahirkan adalah satu penantian yang menuntut kesabaran. Di awal trimester, ujian kepayahan dengan loya, muntah, pening , tak lalu makan, tak keruan dibuatnya adalah perkara yang perlu dilalui oleh sebahagian wanita. Saya teringat ketika saya mengandung anak yang pertama, waktu itu saya masih seorang houseman, larat tak larat terpaksa juga habiskan rondaan wad. Pada rondaan malam ketika dah rasa letih sangat, terpaksa memasang drip intravena (cecair melalui suntikan ke saluran darah) dan masukkan sedikit dextrose saline untuk mendapat tenaga bagi membolehkan rondaan wad diteruskan. Rupa-rupanya ketika mengandung anak yang kedua dan ketiga simptom tetap sama, cumanya ketika itu bukan lagi houseman, balik rumah pasang drip pada sebelah malamnya. Alhamdulillah, walaupun payah tetapi tidaklah pula rasa serik untuk mengandung.

Ada pula yang terpaksa melalui ujian kepayahan ketika bersalin, Ada yang bersalin mudah alhamdulillah tetapi ramai juga yang melalui pengalaman menakutkan sewaktu bersalin. Walaupun saya seorang doktor, saya sendiri sebenarnya takut untuk bersalin. “The more you know, the greater is your worries’. Betullah kata orang tua-tua, nyawa ibu ibarat di hujung tanduk ketika hendak bersalin. Pelbagai komplikasi mungkin terjadi. Tumpah darah selepas bersalin, uri lekat, rahim tidak mahu mengecut, darah tinggi sewaktu bersalin, kelahiran instrumental, kelahiran secara caesarean adalah sebahagian dari komplikasi yang mungkin terjadi. Dalam sebulan pasti ada 2 atau 3 kes dimana saya sebagai konsultan terpaksa dipanggil bagi mengendalikan kes-kes yang berisiko seperti tumpah darah yang tidak dapat dikawal dengan ubat-ubat dan akhirnya terpaksa melakukan hysterectomy (pembuangan rahim) bagi menyelamatkan nyawa ibu. Namun, walaupun mengetahui akan ada komplikasi sewaktu bersalin, wanita memang tabah kerana itu tidak sedikit pun menggetarkan semangat kental mereka untuk berjuang dan bersalin.

Bagi sesiapa yang membaca akhbar, pasti berita muka depan 3 hari yang lepas akan membuat kita terkesima. Manakan tidak, seorang ibu muda terpaksa melawan maraknya api yang membakar rumahnya demi menyelamatkan tiga zuriat kecilnya berusia 6, 4 dan 2 tahun. Entah dari mana datangnya tenaga sehingga si ibu berupaya mengopak pagar jeriji besi rumahnya bagi membolehkan ketiga-tiga anaknya keluar dari rumah yang dijilat api. Namun, selesai misi menyelamatkan anaknya siibu terperangkap dalam api yang menggila dan akhirnya menjadi korban. Itulah ibu. Insan yang sanggup mengorbankan nyawanya demi melahirkan zuriat kemuka bumi. Melahirkan seorang juara yang bakal memimpin dunia. Insan yang sanggup mengorbankan nyawanya semata-mata memastikan anak-anaknya selamat melayari bahtera kehidupan.

Ibu dan kehidupan tidak dapat dipisahkan. Sama ada kita seorang anak yang mempunyai ibu, seorang bakal ibu atau seorang ibu yang mempunyai anak-anak. Jika kita seorang anak yang masih mempunyi ibu, hargailah ibu kita. Syurga di bawah tapak kaki ibu, Redha Allah bersama redha seorang ibu. Mungkin banyak perbezaan pendapat dan ideologi, almaklumlah ”kita suka keju, sedangkan ibu suka sengkong(ubi kayu)” tetapi tanganilah dengan hikmah dan bijaksana. Bagi yang berjauhan, berhubunglah dengan ibu melalui telefon, sms, atau apa jua alat telekomunikasi. Walau sesibuk mana kita sekalipun, jangan lupa pada mereka. Bagi yang telah bekerja, cuba peruntukkan sedikit dari duit gaji untuk dihadiahkan pada ibu. Mungkin mereka tidak pernah meminta dan bagi sesetengah, ibunya jauh lebih kaya dari dirinya tetapi keberkatan rezeki kita ada pada bahagian yang kita infakkan dan pada bahagian yang kita peruntukkan untuk kerabat. Jika ibu telah tiada di muka bumi ini, jangan lupa mendoakan mereka kerana doa anak yang soleh akan menjadi bekal mereka di sana.

”Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka sebarang perkataan kasar dan janganlah engkau menengking mereka, tetapi katakanlah kepada mereka dengan perkataan mulia. Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu dan doakanlah untuk mereka dengan berkata ”Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil” (al-Isra 23-24)

Bagi ibu dan bakal ibu (samada yang belum bertemu jodoh atau belum dikurniakan zuriat) persiapkanlah diri dengan ilmu keibubapaan. Marhalah maratib amal keluarga muslim perlu dilalui dengan ilmu yang mantap. Mendidik anak-anak memerlukan ilmu yang mantap, kesabaran, doa dan harapan terutamanya dalam era globalisasi ini. Mereka bukan bahan ujikaji yang boleh diuji dengan satu teori pendidikan kepada satu teori yang lain. Mereka perlu dilengkapi dengan keseimbangan ketiga-tiga fakulti insan iaitu fakulti jasmani, ruhi dan aqli. Mereka perlu dipersiapkan dengan kesediaan untuk memikul tanggungjawab kita sebagai pendakwah Allah. Mereka adalah harta kita, biarpun bukan harta dalam bentuk ringgit dan dolar, dalam bentuk hartanah dan estet tetapi mereka adalah harta yang akan menjadi aset berguna di akhirat kelak. Taktala Nabi Zakaria berdoa agar dikurniakan seorang anak ketika usianya telah lanjut, apa yang dikhuatiri oleh Nabi Zakaria ialah tiadanya pewaris dakwah yang dibawanya. Kita juga berharap sedemikian agar anak-anak yang kita didik dan tarbiyah akan menjadi pewaris terhadap perjuangan dakwah kita.

Akhir kata, walaupun tulisan ini asalnya ingin ditulis sewaktu hari ibu, saya hanya dapat menyiapkannya hari ini kerana hanya dapat mencuri sedikit waktu antara melihat pesakit-pesakit bakal ibu dan ibu-ibu. Tapi tak kisahlah kerana dalam Islam, setiap hari kita disuruh berbuat baik pada ibu dan setiap hari kita perlu menjadi ibu yang terbaik. Doa saya semoga kita semua menjadi ibu yang baik buat anak-anak kita dan anak-anak yang baik buat ibu kita.

Oleh:
Dr. Murizah Mohd Zain
Pakar Perunding Sakit Puan
Hospital Sultanah Bahiyah
Alor Setar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *