Selesaikan tugas sebagai isteri dan ibu sebelum yang lain

ustazah jamiah

ALOR SETAR, 7 Julai – “Selesaikan dahulu tugas sebagai isteri dan ibu kepada anak-anak sebelum melakukan tugasan lain.”

Demikian antara jawapan yang diberikan oleh Ustazah Jamiah Abdul Wahab semasa sesi soal jawab Seminar Fiqh Wanita di Alor Setar, semalam.

Persoalan mengenai tugas dan tanggungjawab utama isteri di rumah ini diajukan oleh salah seorang hadirin seminar berkenaan timbul berikutan terdapat situasi di man terdapat segelintir golongan isteri yang cenderung untuk menghadiri program-program keagamaan seperti ceramah dan kuliah, pada masa yang sama meremehkan tanggungjawab yang ada di rumah.

Menurut Ustazah Jamiah, walau apapun posisi dan minat seseorang wanita itu, tanggungjawabnya kepada suami dan anak-anak mesti diutamakan. Ujar beliau yang merupakan Anggota Jawatankuasa Tarbiyah ISMA Seremban, apabila selesai tanggungjawab di rumah, maka tugasan yang lain barulah boleh dilakukan.

“Keizinan dan keperluan suami mesti diutamakan sebelum perkara-perkara lain,” tambah beliau lagi.

Seminar Fiqh Wanita anjuran ISMA Alor Setar yang diadakan di INSPIN mendapat sambutan menggalakan khususnya dari golongan suri rumah dan wanita bekerjaya. Program ini menampilkan Ustazah Jamiah dan Dr. Murizah bt Mohd Zain, Pakar Perunding Perbidanan dan Sakit Puan sebagai panelis jemputan yang membincangkan tentang fiqh puasa dan fiqh wanita dari aspek syarak dan perubatan.

Rata-rata respon yang diterima di akhir program adalah sangat positif dan mengharapkan kelas-kelas fiqh wanita dapat dianjurkan lagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *