Seminar IBRC fokus perlunya ibu bapa memahami anak remaja

KEPALA BATAS (Kedah), 21 April – Program Seminar Ibubapa Berwawasan Remaja Cemerlang (IBRC) anjuran Biro Wanita dan Keluarga, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Cawangan Alor Setar dan Kangar telah berjaya menarik hampir 120 orang peserta dari Kedah dan Perlis.

Program ini menampilkan beberapa orang penceramah jemputan dengan fokus perbincangan mengenai pelbagai aspek berkaitan remaja. Slot pertama program berkisarkan mengenai pengaruh makanan dalam pembentukan jatidiri remaja yang disampaikan oleh Puan Aziyati binti Abdul Halim, Pakar Dietetik Hospital Sultanah Bahiyah. Bermula dengan aspek tatacara pemakanan dan adab-adab makan yang diajarkan oleh Islam, beliau seterusnya menekankan aspek perlunya memilih makanan yang terbaik kepada anak-anak remaja dengan mengutamakan hasil masakan sendiri berbanding makanan dari luar.

Slot kedua program ini pula menampilkan Puan Siti Aishah binti Abdul Hamid, Pensyarah dari Jabatan Bimbingan dan Kaunseling, IPG Bandar Darulaman bergandingan dengan juara program Solehah TV Al-Hijrah 2011, Ustazah Amie Sofea Ahmad dalam satu forum berkaitan stress remaja. Bermula dengan definisi remaja, panelis menyentuh perihal sifat dan peribadi remaja yang sentiasa agresif, beremosi dan berani mencuba. Remaja mesti difahami dan dibentuk sebaik-baiknya oleh ibu bapa sejak dari usia muda lagi agar mereka dapat bertindak secara rasional dan bijak membuat keputusan selaras dengan tuntutan Islam.

Slot terakhir yang disampaikan oleh Ustaz Hamidi Abu Hassan, Yang di-Pertua ISMA Cawangan Kepala Batas, Pulau Pinang berkisarkan topik pengaruh suasana dalam membentuk peribadi remaja. Beliau menganalogikan anak-anak pada masa kini dilengkapi dengan pelbagai kemudahan untuk pembesaran mereka, seperti “dibesarkan dalam peti ais dan dididik dengan peti TV.” Turut disentuh ialah perlunya komunikasi yang baik antara ibu bapa dan anak remaja serta keadaan rumah yang kondusif agar mereka merasai bahawa keluarga dan rumah sendiri adalah pusat rujukan terbaik untuk berkongsi masalah.

Senimar IBRC ini turut diserikan dengan bacaan tilawah al-Quran oleh adik Ammar bin Yahaya dan persembahan nasyid bertajuk “Anak Soleh” oleh adik-adik dari Kelab Anak Hebat atau Nadi al-Azim (NAZIM) kelolaan Biro Wanita ISMA Alor Setar.

Media ISMA Alor Setar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *