Semua masjid dipohon adakan solat sunat Istisqa

bashah

ALOR SETAR – Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah memohon semua masjid dan surau di Kedah untuk mengadakan solat sunat Istisqa’ bagi memohon diturunkan hujan berikutan cuaca panas dan kemarau akibat fenomena El-Nino yang melanda negara.

“Bila semua jalankan solat, semoga Allah dapat memperkenankan doa supaya dapat menurunkan hujan dan menamatkan musim kemarau ini.

Inisiatif ini dijalankan demi kesejahteraan rakyat,” katanya selepas menghadiri Solat Sunat Istisqa’ di Dataran Masjid Zahir di sini hari ini.

Solat yang bermula jam 8.30 pagi itu telah diimamkan oleh Imam Besar Masjid Zahir Datuk Sheikh Roslan Abd Halim dan khutbah bertajuk ‘Mohon Turun Hujan’ telah disampaikan oleh Mufti Negeri Kedah Datuk Paduka Syeikh Muhamad Baderudin Ahmad.

Kira-kira 1,500 jemaah menyertai solat sunat Istisqa yang dianjurkan oleh Jabatan Agama Islam Kedah (Jaik) dan Syarikat Air Darul Aman (Sada).

Dalam perkembangan lain, Ahmad Bashah yang merupakan Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) berkata pasukan Skuad Helang Merah dalam proses akhir untuk mendapatkan tajaan dari syarikat D’Herbs Healthy Sdn Bhd sebagai penaja pasukan itu bagi mengharungi saingan Liga Malaysia musim ini. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *