Semua pihak bertanggungjawab basmi najis dadah

Tragis.

Itulah gambaran terhadap peristiwa pembunuhan 2 orang kanak-kanak dalam kejadian amuk di Yan baru-baru ni. Tindakan lelaki yang menyerang keluarga mangsa sungguh kejam dan di luar jangka. Amat memeritkan apabila suspek kejadian telah disahkan di bawah pengaruh dadah dan mempunyai beberapa rekod jenayah lampau.

Kejadian ini seharusnya membuka mata dan minda kita seluas-luasnya terhadap bahaya penyalahgunaan dadah.

Yang lebih utama ialah kesan buruk penggunaan dadah terlarang ini bukan sekadar memberi impak kepada individu tetapi juga mempunyai kesan langsung terhadap keluarga dan masyarakat. Bahkan, telah banyak lagi kejadian-kejadian jenayah yang berlaku berpunca daripada penagihan dadah. Justeru aspek pencegahan dan pemulihan penagihan dadah mestilah melibatkan penglibatan langsung keluarga dan masyarakat sekeliling.

BILANGAN PENAGIH SEMAKIN MENINGKAT

Dari tahun ke tahun, bilangan pengaih kian bertambah. Pada tahun 2016 sahaja, seramai 22, 923 penagih baru telah dikesan menjadikan keseluruhan penagih dadah berjumlah 30, 844 orang.

Jumlah penagih dadah yang meningkat saban tahun amatlah membimbangkan dan ianya merupakan masalah kepada kita semua. Hal ini kerana, golongan penagih ini tinggal dalam kawasan kejiranan atau mungkin juga di dalam rumah kita.

Tidak ada siapa pun yang boleh memberi jaminan, kita terselamat daripada mendapat kesan buruk daripada gejala penagihan dadah ni. Langkah awal yang perlu diambil oleh kita semua ialah menjadi ahli keluarga yang bertanggungjawab dan masyarakat yang prihatin.

PERANAN KELUARGA

Keluarga merupakan benteng paling utama dalam proses pencegahan dan memainkan peranan yang amat penting dalam proses pemulihan. Institusi keluarga yang utuh akan dapat mengawal pergaulan dan pergerakan seluruh ahli keluarga agar sentiasa berada dalam kelompok dan hubungan yang positif samada di dalam mahupun di luar rumah.

Pendidikan dan penekanan terhadap bahaya penagihan dadah perlu diberikan dan sentiasa menjadi perhatian seluruh keluarga terutamanya ibu bapa. Penerangan berkaitan punca-punca seseorang terlibat dengan dadah juga amat penting untuk dibincangkan seisi keluarga. Hal ini amat penting untuk membina minda sedar bahkan minda separa sedar terhadap bahayanya dadah sekaligus menjadi anak-anak membesar dalam keadaan yang mempunyai kawalan diri yang kuat daripada terjerumus dengan najis dadah.

BANTU AHLI KELUARGA YANG TERJEBAK

Perhatian yang serius juga perlu diberikan sekiranya ada ahli keluarga yang terlibat dengan najis dadah. Keluarga harus menerima hakikat pahit ini dan berusaha bersungguh-sungguh untuk memulihkan ahli keluarga tersebut. Sikap menafikan dan memandang serong teguran orang sekeliling hanyalah memburukkan lagi keadaan yang akhirnya hanyalah membinasakan diri dan keluarga yang terlibat.

Peranan masyarakat juga amatlah besar dalam menyelesaikan masalah ini. Masyarakat sekeliling sepatutnya berperanan dalam mewujudkan kesedaran yang berterusan terhadap bahaya dadah. Masyarakat perlu prihatin dan bersatu dalam menghapuskan sarang-sarang penagihan dadah yang ada di kawasan kejiranan mereka. Bukan sekadar itu, kita sebagai anggota masyarakat perlu menjadi mata-mata terhadap anak-anak remaja yang mempunyai potensi terjerumus dengan dadah.

AKTIVITI KERUKUNAN DAN KEAGAMAAN

Walau bagaimanapun, langkah-langkah ini mestilah dilaksanakan dengan penuh harmoni, hormat menghormati dan rukun bagi mengelakkan timbulnya pergaduhan sesama penduduk terutamnya yang melibatkan ahli keluarga mereka.

Bukan sekadar itu, penduduk setempat perlulah menganjurkan aktiviti-aktiviti yang berfaedah bagi membendung remaja terlibat dengan dadah.

Masjid dan surau bersama penduduk setempat perlu sentiasa mengadakan program-program remaja seperti futsal, bola jaring, kelas-kelas pengajian, kem cuti sekolah dan lain-lain lagi bagi memenuhi keperluan remaja setempat.

Masa lapang adalah musuh utama bagi remaja. Justeru, dengan adanya aktiviti yang berfaedah serta pemantauan yang berterusan, pastinya risiko remaja terlibat dengan penyalah gunaan dadah dapat diminimakan.

Janganlah kita bersikap tidak ambil peduli terhadap masyarakat kerana kita juga berpotensi menjadi mangsa kepada aktiviti penagihan dadah.

Akhirnya, marilah kita berusaha menjadi ibu dan bapa yang bertanggungjawab dan anggota masyarakat yang prihatin terutamanya dalam melindungi masyarakat kita daripada najis dadah serta membantu memulihkan mereka yang terlibat.

Adli Azimi Bin Abdul Rahman
Anggota Jawatankuasa ISMA
Cawangan Alor Setar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *