SERWANIS, cetus inspirasi dan motivasi buat wanita mendepani cabaran masa depan

ALOR SETAR – Wanita ISMA Alor Setar dengan kerjasama Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik) negeri Kedah dan Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia(ILKKM) Kejururawatan Alor Setar telah menganjurkan Seminar Wanita Islam(SERWANIS) pada 20 Oktober 2019 yang lalu. Dengan tema Wanita 2020: Membina Peradaban Melalui Wanita Solehah, seminar ini telah dihadiri hampir 200 orang peserta di auditorium ILKKM Kejururawatan Alor Setar.

Seminar ini telah dimulakan dengan ucaptama oleh Naib Presiden Ikatan Muslimin Malaysia(ISMA) juga merangkap Pengarah Institut Kajian Hadis dan Akidah Kolej Universiti Islam Selangor, Ustazah Dr Norsaleha binti Mohd Salleh dan seterusnya merasmikan seminar. SERWANIS kali ini juga menampilkan lima lagi tokoh hebat dari bidang masing-masing.

Slot pertama dibentangkan oleh Ustazah Norakhilah binti Baharin, Ketua Biro Tarbiyah Wanita ISMA Sri Iskandar juga seorang guru kemahiran Al-Quran dengan tajuk ‘Wanita Dalam Lipatan Sejarah’ yang merungkai tentang kehebatan wanita yang disebut dalam Al Quran dan hadith antaranya kisah Mariam dan Saidatina Khadijah.

Seminar terus dihangatkan lagi tentang isu yang cukup sinonim dengan wanita iaitu ‘Wanita dan Pengurusan Kewangan’ yang disampaikan oleh Prof Dr Nor Aziah Abd Manaf, Profesor Perakaunan Universiti Utara Malaysia (UUM) dan diikuti oleh ceramah penuh bertenaga oleh Dr Noor Tahira Abdul Karim dengan tajuk ‘Wanita dan Kesihatan Mental’. Para peserta sangat bersemangat mendengar perkongsian pengalaman yang diceritakan.

Slot seterusnya juga mendapat perhatian peserta dengan pembentangan penuh ilmu dan santai sekali lagi oleh Ustazah Norakhilah binti Baharin dengan tajuk ‘Hak-hak Wanita Dalam Rumah Tangga’.

Sesi petang pula mempamerkan Ustazah Dr Norsaleha binti Mohd Salleh bergandingan dengan Dr Murizah Bt Mohd Zain, Pakar Perunding Kanan Obstetrik dan Ginekologi Hospital Sultanah Bahiyah merangkap ketua wanita ISMA Alor Setar dan puan Norhamimah binti Ibrahim, seorang usahawan di dalam forum bertajuk ‘Wanita dan Kerjaya: Suri Ummah vs Suri Rumah’ .

Seminar ini turut diserikan dengan acara cabutan bertuah dan anugerah istimewa buat para peserta. Terdapat kira-kira 10 buah gerai jualan yang berlangsung di luar dewan seminar bagi memeriahkan lagi SERWANIS.

Antara objektif yang digariskan ialah untuk memperkasakan wanita dengan aqidah sejahtera dan akhlak yang mantap dalam mendepani cabaran masa depan. Ianya juga memberi inspirasi dan motivasi kepada para wanita serta pendedahan tentang pelbagai ilmu sebagai panduan untuk diaplikasi dalam kehidupan seharian. Diharapkan penganjuran seminar ini memberi manfaat kepada semua peserta sebagai persediaan menjadi wanita solehah menuju abad 2020.


Nur Fauziana binti Abu Bakar
Setiausaha,
SERWANIS Alor Setar 2019.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *