Siri Dakwah For Dummies : Mengapa Berdakwah?

Dakwah, satu kalimah yang mungkin selalu kita dengar dalam kehidupan kita sehari-hari. Mungkin ketika berbual dengan kawan-kawan di pejabat, atau dalam tazkirah di masjid dan surau. Apabila ditanya kepada masyarakat kebanyakan berkenaan pengertian dakwah, maka macam-macam versi pengertian dakwah akan diberi mengikut pemahaman masing-masing. Ada yang mungkin mengertikan dakwah dengan kerja-kerja mengajak orang jadi baik je ataupun ajak orang pergi masjid semata-mata. Ada juga yang memberi pengertian bahawa dakwah ini adalah kerja-kerja untuk mengajak kepada yang makruf dan membanteras kemungkaran. <!–more–>Ada juga yang faham dakwah adalah hakmilik eksklusif ustaz-ustaz yang mengajar di masjid sahaja, tak perlulah bukan ustaz atau bukan budak sekolah agama nak menyebok dalam urusan dakwah. Ada juga yang berpendapat bahawa tak payahlah aku ni nak penat-penat masuk kumpulan dakwah atau fikir pasal dakwah, cukuplah asal aku dan keluarga aku jadi baik, aku boleh pergi masjid 5 waktu sehari semalam, boleh ajar anak aku mengaji, bulan Ramadhan boleh puasa pastu bayar zakat dan kalau ada duit lebih sikit pergi buat haji dan umrah. Percaya atau tidak, kebanyakan dari masyarakat muslim hari ini mempunyai mindset yang macam tu ataupun lebih kurang macam tu. Eh, salah ke?

Nanti dulu, kefahaman tentang dakwah ni bukan boleh main agak-agak macam tu je. Bukan isu remeh temeh dan ranting, tapi dakwah ni satu tugas besar yang diwarisi dari para nabi sejak zaman berzaman lagi. Kalau risalah ini dibawa oleh para nabi, maknanya ia memang perkara yang sangat penting bagi kehidupan manusia. Cuba kita kaji betul-betul apa yang dibawa oleh para nabi dari dahulu sampai sekarang, adakah sekadar nak ajak kawan-kawan jadi baik je? Rasa-rasanya kalaulah risalah yang dibawa Rasulullah sekadar nak ajak orang jadi baik je, maka tak perlulah Rasulullah serta sahabat-sahabat baginda bersusah payah berjuang hingga sampai kena bina negara dan tak berhenti setakat itu sahaja, risalah ini disampaikan juga ke segenap pelusuk muka bumi oleh para sahabat dan tabiin hingga ke negeri China.

Nak faham dakwah ni apa dan dakwah ni nak bawak ke mana, pertama sekali kita kena faham hakikat Islam dan keistimewaan Islam itu sendiri. Apa istimewanya Islam berbanding agama-agama lain? Adakah Islam ni hanya amalan ibadah khusus semata-mata?. Kebanyakan dari umat hari ni sebenarnya salah faham terhadap agama mereka sendiri, ibarat mengecam gajah dari kacamata seorang yang buta. Ada yang faham Islam ni hanya sembahyang 5 waktu sehari semalam lepas tu kalau rajin sikit pergi baca yasin kat masjid, ada pulak yang amalkan Islam ni bila nak akad nikah dan bila nak uruskan jenazah je, tu pun kira ok la bahkan yang lebih malang lagi, harap nama je Islam tapi solat 2 kali setahun takpun seminggu sekali itupun sebab malu dengan kawan-kawan pejabat. Itu belum tengok busana dan tudung ’muslimah’ hari ini, banyak yang tak lulus daripada yang lulus. Kalau nak bincang aspek songsang dalam kefahaman Islam sebenar memang takkan habis sebab banyak sangat. Jauhlah sangatnya pengertian Islam yang difahami oleh kebanyakan dari umat hari ini dari pengertian Islam yang sebenar. Masing-masing boleh cuba ambil kertas dan cuba senaraikan kalau tak percaya.

Islam ni adalah agama yang lengkap dan sistematik, maknanya dia tak boleh dipisahkan dari kehidupan. Islam mencakupi segala-galanya dalam kehidupan manusia, bermulalah dari aspek kepercayaan, ibadah-ibadah khusus, pemerintahan, ekonomi, ketenteraan, perniagaan, perbankan, teknologi, perubatan, berkeluarga, cara berpakaian bahkan segala-galanya hinggalah ke dalam tandas pun Islam ada caranya yang tersendiri. Bila kita yakin yang Islam ni datang dari Allah secara terus, maknanya segala-galanya adalah sempurna dan relevan. Ibarat kalau kita beli komputer dari HP, maka kita mestilah rujuk panduan penggunaan komputer HP ni dari user manual yang diberikan oleh syarikat HP sendiri. Takkan kita nak main belasah je guna komputer tu ikut sedap kita, dan bila rosak kita main agak-agak je baiki, alamatnya bukan makin elok komputer tu, lagi jahanam adala. Begitulah juga Islam, ia adalah satu panduan tentang macamana nak menguruskan manusia kat atas muka bumi ni sebab manusia ni dicipta oleh Allah dan muka bumi pun dicipta oleh Allah. Bukan boleh main sedap je buat peraturan sendiri, tentulah tak kena. Kalau kita faham bahawa Islam ni adalah agama yang terbaik untuk menyelesaikan semua masalah umat manusia dan memerintah manusia, maka secara tabiinya kita pastilah nak berkongsi kebaikan Islam ni dengan semua orang yang duduk kat atas muka bumi ni, bahkan disuruh pulak kita sebagai penganut agama ini untuk menyampaikan Islam ini kepada seluruh manusia.

Cuba kita perhatikan baik-baik apa yang terjadi atas muka bumi hari ini, kacau bilau sana sini, masalah sosial, peperangan, pencemaran, kerosakan ada dimana-mana. Ini semua adalah akibat fitnah besar apabila Islam tidak memerintah diatas muka bumi. Segala-galanya tidak seimbang dan lari dari fitrahnya, ibarat macam nak baiki komputer tadilah, bukan makin elok tapi makin rosak.

Kat sini lah kita boleh faham makna dakwah dan risalah. Dakwah ini adalah satu usaha secara tersusun untuk menyampaikan Islam dan menegakkan ketuanan Islam diatas muka bumi supaya semua manusia dapat menikmati keindahan Islam dan bebas dari perhambaan sesama manusia kepada perhambaan hanya kepada Allah. Tugas dakwah ini tidak terhad terhadap keluarga kita semata-mata bahkan melangkau jauh sempadan geografi setiap negara, ia adalah tugas global yang mana kita yang bertuah dilahirkan sebagai umat islam dan setiap orang dari kita bertanggungjawab untuk tugas dakwah ini, ia bukan tanggungjawab ustaz-ustaz semata-mata, bahkan kita akan dipertanggungjawabkan atas urusan ini. Mengapa kita berdakwah? Sebab Islam itu adalah agama yang sempurna dan kita wajib untuk berkongsi nikmat kesempurnaan ini dengan semua manusia. Sebab itulah kita nak kena bekerja bersungguh-sungguh, sebab bila Islam tertegak diatas muka bumi dan memerintah bumi ini, maka akan aman makmurlah segala-galanya, ekosistem akan kembali seimbang dan dunia ini akan menjadi tempat yang lebih baik untuk didiami. Faham tak sekarang mengapa kena berdakwah? Tapi persoalannya macamana nak bermula? Tentang macamana, kita akan bincangkan dalam artikel yang akan datang.

Mohd Hisham Mohd Sharif

Setiausaha PEMBINA Kedah Darul Aman

One thought on “Siri Dakwah For Dummies : Mengapa Berdakwah?”

  1. Tahniah kepada saudara Hisyam yang sudah mula menulis. Moga usaha beliau ‘berjangkit’ kepada ahli-ahli yang lain

Leave a Reply to zulkifli yusof Cancel reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.