Sistem Kesultanan Negeri Kedah

Sistem Kesultanan Negeri Kedah adalah merujuk kepada Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman.

PERLANTIKAN KDYMM TUANKU SULTAN

Mengikut Perkara 17, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman, Raja hendaklah seorang daripada bangsa Melayu dan berdarah Raja keturunan Pemerintah-Pemerintah Kedah dan laki-laki dan beragama Islam Ahli Sunnah Waljumaah.

Perkara 7 (a) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman pula menetapkan bahawa Takhta dan Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman hendaklah turun temurun terletak kepada putera laki-laki yang tua kepada Almarhum Sultan Badlishah dan lepas daripada itu hendaklah turun temurun kepada zuriat laki-lakinya yang tua sekali daripada sebelah laki-laki yang ada dan hidup pada masa itu.

Perkara 9, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman menetapkan bahawa perlantikan untuk menaiki takhta Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman adalah dipertetapkan oleh Majlis Mesyuarat Mengangkat Raja.

Mengikut Perkara 10 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman, Majlis Mesyuarat Mengangkat Raja hendaklah mengandungi:

a- Menteri Besar yang menjadi Yang DiPertua Majlis itu.
b- Lain-lain ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan
c- Empat orang laki-laki ahli Kerabat Di Raja Negeri Kedah yang diangkatkan oleh Raja Pemerintah menurut timbang tiliknya dengan tauliah dan ditandatangani serta dicap dengan mohor Kerajaan dan dinyatakan di dalam Warta Kerajaan, dan
d- Lima orang ahli laki-laki yang bukan ahli Kerabat Di Raja Negeri Kedah dan tiada kurang daripada seorang daripadanya ialah Yang DiPertua Majlis Ugama Islam Negeri Kedah dan tiada kurang daripada seorang yang lain iaitu seorang yang cukup faham di dalam Undang-Undang Islam yang akan diangkatkan oleh Raja Pemerintah menurut timbang tiliknya dengan tauliah dan ditandatangani serta dicap dengan Mohor Kerajaan dan dinyatakan di dalam Warta Kerajaan.

KUASA-KUASA DYMM TUANKU SULTAN

A) KUASA MEMANGGIL DAN MEMBUBARKAN PERSIDANGAN DEWAN UNDANGAN NEGERI (DUN)

Di bawah Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman Baginda Sultan berkuasa memanggil Dewan Negeri untuk bersidang atau pun membubarkan Dewan Negeri. Mengikut Perkara 53 (1) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman, Raja Pemerintah hendaklah dari suatu masa ke suatu masa memanggil Dewan Negeri dan tidak boleh dibiar lucut tempohan enam bulan di antara mesyuarat yang lepas di dalam satu persidangan dengan tarikh yang ditetapkan bagi mesyuarat yang pertama di dalam persidangan yang akan datang.

Berdasarkan peruntukan ini, Baginda Sultan hendaklah dari masa ke semasa memanggil Dewan Negeri untuk bersidang tetapi hendaklah tidak membiarkan jangka masa sidang Dewan Negeri yang lalu dengan sidang yang berikut lebih daripada enam bulan.

Baginda Sultan juga berkuasa memberhentikan atau membubarkan Dewan Negeri. Perkara 53 (2) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman memberi kuasa kepada Raja Pemerintah untuk menghentikan atau memansuhkan Dewan Negeri.

B) KUASA MENGAMPUN

Dalam hal-hal jenayah di Negeri Kedah Darul Aman, apabila segala saluran dan cara keadilan telah habis diikhtiarkan, seseorang yang sudah dihukum masih boleh lagi memohon ampun kepada Baginda Sultan sebagai langkah terakhir. Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman juga memberi kuasa kepada Baginda Sultan untuk mengampun, menangguh atau pun mengurangkan tempohan hukuman penjara bagi sesuatu kesalahan yang telah dihukum oleh Mahkammah.

Mengikut Perkara 42 (1) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman, berkuasalah Raja Pemerintah untuk membenar ampun, menangguh atau mengurangkan tempoh bagi sebarang kesalahan yang dilakukan di dalam negeri Kedah Darul Aman (selain daripada daripada apa-apa kesalahan yang telah dibicarakan oleh Mahkamah Tentera) dan sebarang kuasa yang diberikan oleh Undang-Undang Persekutuan atau Undang-Undang Negeri bagi meringankan atau menangguhkan atau menukarkan hukuman bagi mana-mana kesalahan yang dijalankan olehnya.

Mengikut Perkara 42 (2) Undang-Undang Tubuh Negeri Kedah Darul Aman, kuasa yang tersebut di dalam fasal (1) itu hendaklah dijalankan menurut peraturan serta syarat-syarat yang dipertetapkan di dalam Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan Malaysia. Kuasa Baginda Sultan hendaklah dijalankan mengikut nasihat Jemaah Pengampunan yang ditubuhkan bagi sesuatu negeri mengikut Fasal 5. Jemaah Pengampunan yang dutubuhkan bagi sesuatu Negeri hendaklah terdiri daripada Peguam Negara Persekutuan, Menteri Besar dan tidak lebih daripada tiga orang ahli lain yang dilantik oleh Baginda Sultan.

C) PERKENAN DAN PENGESAHAN RANG UNDANG-UNDANG

Kedudukan Baginda Sultan sebagai sebahagian daripada Dewan Perundangan Negeri bererti bahawa sesuatu undang-undang yang diluluskan oleh Dewan Perundangan Negeri tidak menjadi undang-undang sehingga rang undang-undang tersebut mendapat persetujuan daripada Baginda Sultan.

Perkara 60 (1), Undang-Undang Tubuh Kerajaan Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman, Majlis Undangan Negeri boleh membuat Undang-Undang Negeri di mana ianya hendaklah dijalankan dengan Rencana Undang-Undang yang diluluskan oleh Dewan Negeri dan diperkenankan oleh Raja Pemerintah. Manakala Perkara 60 (3) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman juga memperuntukkan bahawa Rencana Undang-Undang hendaklah menjadi undang-undang apakala ianya diperkenankan oleh Raja Pemerintah.

Baginda Sultan memberi persetujuan kepada sesuatu rang undang-undang dengan menandatangan dan mengenakan Mohor Baginda. Apabila sesuatu rang undang-undang menjadi undang-undang setelah diperkenankan oleh Baginda Sultan, undang-undang itu pada biasanya hanya berkuatkuasa apabila ianya disiarkan dalam Warta Kerajaan. Namun begitu, ada kalanya kerana sebab-sebab tertentu, sesuatu rang undang-undang yang telah dipersetujui oleh Baginda Sultan dan diterbitkan dalam Warta kerajaan, dinyatakan bermula kuat kuasa dari satu tarikh yang lampau atau suatu tarikh yang akan datang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *