Sokong penuh penutupan pusat hiburan di Kedah sempena Ramadhan

Kerajaan Negeri Kedah dalam mesyuarat exco baru-baru ini telah mengambil keputusan mengarahkan penutupan premis-premis hiburan di negeri Kedah pada Ramadhan yang bakal menjelang. Keputusan yang diambil adalah berdasarkan Enakmen Hiburan Negeri Kedah 1997, tetapi tidak dilaksanakan sebelumnya kerana kekurangan penguatkuasaan.

Akan tetapi keputusan tersebut mendapat bantahan dari Parti Tindakan Demokratik (DAP), salah satu parti dalam Pakatan Rakyat. ADUN DAP dari Kota Darul Aman, En. Lee Guan Aik menyatakan kekesalan beliau di atas keputusan yang disifatnya terburu-buru dan merosakkan mata pencarian masyarakat bukan Islam di Kedah. Beliau juga mendakwa keputusan tersebut dibuat tanpa merujuk kepada rakan pakatan yang lain seperti DAP.

ISMA Alor Setar menyokong penuh keputusan Kerajaan Negeri Kedah pimpinan Y.B. Menteri Besar, Dato’ Seri Azizan Abdul Razak berkaitan penutupan premis-premis hiburan di Kedah pada Ramadhan yang akan datang. Kami menyeru agar Y.B. Menteri Besar tetap bertegas dengan yang keputusan yang diambil serta tidak melayan bantahan DAP yang tidak menghormati sensitiviti masyarakat Islam yang merupakan majoriti penduduk negeri Kedah. DAP tidak perlu mempersoalkan perniagaan masyarakat bukan Islam kerana keputusan yang diambil tidak melibatkan premis restoran Cina dan restoran makanan segera yang melibatkan pelanggan antarabangsa. Tambahan pula persembahan kebudayaan dan keagamaan masih boleh dilakukan tanpa mengganggu masyarakat setempat.

ISMA Alor Setar juga mengambil kesempatan menyeru masyarakat Islam Kedah agar menyambut baik ketegasan Kerajaan Negeri dalam menjaga kemuliaan bulan Ramadhan. Di harap keputusan tersebut dapat menjadi pemangkin bagi masyarakat Islam Kedah dari menjauhi tempat-tempat hiburan yang melalaikan dan lebih menumpukan masa mendapatkan ganjaran besar kemuliaan Ramadhan.

Dr Zulkifli Yusof
Yang di-Pertua
ISMA Alor Setar

15 Julai 2011

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *