Syaitan mahu hancurkan umat Islam dengan zina

dr hisham sntz

ALOR SETAR, 9 Jan – Golongan remaja dan muda-mudi khususnya beragama Islam diingatkan supaya tidak jatuh ke dalam jerangkap samar ciptaan syaitan sehingga terlibat dalam perilaku zina.

Menurut Dr. Mohd Hisham bin Mohd Sharif, syaitan adalah musuh nombor satu umat Islam yang telah berpengalaman ribuan tahun dalam menyesatkan manusia.

“Syaitan tidak akan mengajak seseorang itu terus berbuat zina, tetapi ia amat berstrategi.

“Mula-mula berkenalan dan berbual biasa, kemudian couple, seterusnya peluang untuk berzina itu amat tinggi,” ujarnya.

Beliau yang merupakan Anggota Jawatankuasa Isma Cawangan Kubang Pasu berkata demikian di hadapan kira-kira 240 orang pelajar Kolej Pembantu Perubatan Alor Setar dalam program “Say No To Zina, sebentar tadi.

Dr. Mohd Hisham mengaitkan jerangkap samar ke arah zina tersebut dengan beberapa sejarah umat Islam.

“Kita lihat kisah bagaimana syaitan berjaya menghasut sekelompok umat Islam selepas zaman Nabi Nuh agar mencipta patung-patung yang seiras dengan ulama-ulama mereka yang telah meninggal supaya memberi inspirasi agar mereka terus beramal soleh tatkala merenung patung-patung tersebut.

“Namun apabila datangnya generasi berikutnya, mereka berjaya dihasut agar menyembah patung-patung yang telah nenek moyang mereka cipta.

“Inilah satu kisah kejayaan straegi syaitan membawa manusia kepada penyembahan berhala, adakah kita mahu tewas dengan strategi syaitan dalam memerangkap kita ke arah zina pula?”, soalnya.

Penulis buku “Suami Bukan Malaikat, Isteri Bukan Bidadari” dan “43 Inspirasi Mendidik Anak” itu turut mengingatkan para peserta agar menjaga batas-batas pergaulan, mendidik sifat malu, putuskan hubungan couple dan menjaga pandangan.

“Kena ingat bahawa Allah sentiasa melihat kita, malaikat sentiasa ada di kiri dan kanan kita, air muka ibu dan ayah kita, jauhilah zina,” pesannya.

Menurut Dr. Mohd Hisham lagi, para peserta yang merupakan bakal pembantu perubatan ialah orang kedua yang boleh dipercayai selepas doktor.

“Jangan khianati kepercayaan orang apabila bekerja nanti dengan bergelumang dengan perlakuan yang membawa ke arah zina,” ujarnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *