Syiah haram, di jurang kekufuran

An Indian Shiite Muslim flagellates hims

Isu Syiah mula mendapat perhatian serius oleh sebahagian besar masyarakat Islam di Malaysia. Pendedahan demi pendedahan yang dimuatkan di dada akhbar menyedarkan ramai orang bahawa Syiah adalah ajaran yang menyeleweng dan mengancam aqidah umat Islam.

Hakikat yang mesti difahami oleh semua ialah Syiah bukanlah satu mazhab dalam agama Islam, seperti Syafie, Hambali, Maliki dan sebagainya, tetapi Syiah merupakan satu fahaman menyeleweng terhadap apa yang diajarkan dalam Al-Quran dan As-Sunnah.

Apabila kita berbicara tentang Syiah secara keseluruhannya, sama seperti ajaran Ayah Pin dan Al-Arqam, Syiah ialah bukan daripada Islam dan mereka yang telah menganut agama Syiah mestilah mengucap syahadah semula untuk kembali kepada Islam. Tetapi awas, apabila kita mahu mengaitkan individu tertentu dengan Syiah, ia tidaklah semudah itu. Menuduh seseorang individu sebagai penganut Syiah bermakna kita telah mengkafirkan seseorang itu, walhal adakah kita mempunyai bukti yang kukuh dan jelas?

Berkemungkinan besar seseorang itu mengikuti program-program dan mengamalkan ajaran Syiah kerana dia jahil. Rasulullah s.a.w. pernah bersabda:

“Segala maksiat adalah urusan jahiliah dan pembuat maksiat tidak menjadi kafir dengan melakukannya kecuali maksiat syirik. Ini semua berdasarkan Rasulullah S.A.W. bersabda: “Sesungguhnya engkau seorang yang ada padamu sisa-sisa jahiliah.” (Sahih Bukhari)

Rasulullah s.a.w. melarang keras umatnya mengkafirkan orang lain dengan begitu mudah. Sabda baginda,

“Barangsiapa yang berkata kepada saudaranya: “Wahai si kafir!” Kembalilah kufur itu kepada salah seorang dari mereka. Jika benar, maka kafirlah orang yang dikatakan. Kalau tidak, kembalilah kufur itu kepadanya.” (Sahih Muslim)

Melainkan seseorang itu jelas mengaku bahawa dia adalah penganut Syiah dan dia membuktikan melalui upacara-upacara tertentu yang jauh bertentangan dengan Islam, serta menghalalkan apa yang diharamkan oleh Islam, maka ia mestilah dilaporkan kepada pihak berkuasa (Jabatan Agama dan sebagainya) yang menjadi penguasa undang-undang bagi pihak umat Islam.

Hasan Al-Banna juga telah menyebut dalam Usul 20:

“Janganlah kita mengkafirkan seorang Islam yang berikrar dengan dua kalimah syahadah dan beramal mengikut tuntutannya dan menyempurnakan apa yang difardhukan kepadanya berdasarkan satu pendapat yang dipegangnya atau satu maksiat yang dilakukannya; kecuali jika dia mengaku dengan kalimah kufur atau menyangkal perkara yang perlu dan sepatutnya diketahui tentang agama, mendustakan keterangan al-Quran, atau mentafsirkannya mengikut satu perspektif yang tidak menepati uslub bahasa Arab tentang sesuatu perkara, atau membuat satu amalan yang tidak membawa pengertian lain selain dari kufur.”

Kesimpulannya, menuduh seseorang sebagai penganut Syiah adalah sesuatu yang sangat berbahaya dan mengkafirkan seseorang tidak semudah itu. Tindakan yang lebih wajar dan selamat ialah menjauhkan diri dan ahli keluarga daripada individu dan kegiatan yang meragukan dan berkemungkinan membawa kepada kufur.

Allahu a’lam.

Nota kaki: Ingatkan hari-hari terakhir bersama Ramadhan edisi 1434H tahun ini tenang dan damai untuk beribadah dengan lebih banyak dan bersungguh-sungguh, tetapi dicemari dengan berbagai-bagai berita dan peristiwa yang mencalar maruah Islam sebagai agama yang benar.

Fakhruddin Afif bin Fauzi
Ketua Pengarang ISMA Alor Setar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *