Terima kasih cikgu, terima kasih ibuku

cikgu

“Selamat Hari Guru”
“Terima kasih cikgu kerana mengajar saya”

Ungkapan di atas cukup sinonim apabila datangnya bulan Mei setiap tahun di Malaysia. Begitulah penghargaan atas jasa dan pengorbanan seorang guru.

Saya terfikir mengapakah tarikh 16 Mei setiap tahun dijadikan tarikh keramat untuk memberi penghargaan buat insan yang bergelar guru. Tarikh 16 Mei telah dinobatkan sebagai Hari Guru di Malaysia kerana pada tarikh tersebut dalam tahun 1956, Majlis Undang-undang Persekutuan Tanah Melayu telah menerima cadangan-cadangan Laporan Jawatankuasa Pelajaran sebagai dasar pelajaran bagi negara kita. Dokumen yang dikenali sebagai Laporan Razak telah menjadi Dasar Pelajaran Kebangsaan semenjak itu.

Menjadi budaya dan cara murid memberi penghargaan pada guru dengan memberi hadiah dan diiringi dengan ucapan “Terima kasih cikgu mengajar saya” ataupun “Selamat Hari Guru”. Premis perniagaan turut memudahkan kita dengan menyediakan pelbagai pilihan hadiah.

Saya teringat zaman 80-an. Ketika itu saya bersekolah di Sekolah Kebangsaan Bukit Beruang, Melaka. Saya tinggal di kampung dan sekolah juga kategori sekolah luar bandar. Budaya memberi hadiah kepada guru amat kurang. Bukan kerana murid tidak tahu menghargai tetapi disebabkan kekangan kewangan. Uniknya, penghargaan kepada guru diberikan sepanjang tahun.

Murid akan datang awal ke sekolah dan menunggu guru di kawasan meletak kenderaan. Apabila guru selesai memakirkan kereta dan keluar daripada kenderaan, kami berebut-rebut mengambil barang atau buku-buku yang di bawa oleh guru untuk dihantar ke bilik guru.

Ucapan “Assalamualaikum cikgu” dan “Selamat pagi cikgu” serta senyuman sentiasa mengiringi bantuan yang ingin dihulurkan. Kami bukan sahaja gembira malah berasa bangga dapat membantu guru. Begitulah rutin pagi kami.

Pada sebelah petang pula, saya akan belajar membaca Al-Qur’an dan bacaan solat pada guru Al-Quran di dalam kampung. Sebelum kami memulakan kelas, saya dan rakan-rakan akan menceduk air di perigi untuk menyiram pokok bunga di halaman rumah guru Al-Qur’an. Kadang-kadang kami membersihkan kaki lima rumah guru Al Qur’an yang ada tahi ayam. Kami lakukan dengan rela hati dan gembira. Saya ingat satu ketika saya dapat lakukan rutin ini awal dan kawan saya yang datang kemudian merajuk kerana tidak dapat turut sama melakukan kerja membantu guru.

Itulah perbezaan yang wujud cara penghargaan murid kepada guru yang pernah saya lalui. Walau apa pun bentuk penghargaan yang diberikan, perkara yang paling penting adalah penghargaan yang disertakan dengan rasa hormat dan kasih pada guru.

Bukan sekadar memberi hadiah tetapi diiringi dengan mendengar dan mengikut tunjuk ajar guru untuk menjadi insan yang berguna. Penghargaan begitu lebih bermakna buat guru.

“Ingat, Allah nampak kita dalam gelap atau terang, tempat tersembunyi atau tempat terbuka. Oleh itu kita kena buat baik sentiasa, buat apa yang Allah suruh.”

“Ingat, kita kena banyak bersabar. Jangan balas perbuatan buruk yang manusia lakukan kepada kita dengan keburukan juga. Allah yang akan balas nanti.”

Itulah antara ayat-ayat yang sering bergema di hati saya dari kecil hingga sekarang.
Itulah antara ayat-ayat yang ibu saya sering ungkapkan. Ibu juga adalah guru pertama saya.
Itulah juga antara ayat-ayat yang sering dituturkan oleh guru-guru yang mengajar saya.
Itulah juga ungkapan yang sentiasa menjadi panduan dalam apa jua yang saya lakukan.

Saya dengan berbesar hati dan penuh rasa takzim ingin mengucapkan “Selamat Hari Guru” dan “Selamat Hari Ibu” buat insan yang sangat berjasa pada saya. Terima kasih Mak. Terima kasih cikgu. Saya sentiasa merindui dan masih dahagakan tunjuk ajar kalian.

Berbahagialah buat ibu dan guru dengan sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

“Apabila seorang anak Adam itu meninggal dunia, maka terputuslah amalannya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan doa anak soleh yang mendoakannya.” (Hadis Riwayat Muslim)

Oleh Rohaizah binti Jantan
Aktivis ISMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *