Terima kasih ISMA!

Bismillahirrahmanirrahim. Alhamdulillah, syukur kpd Allah SWT di atas nikmat iman dan Islam serta segala nikmat lain yang tidak terhitung nilainya. Antara lain adalah nikmat ditarbiyah. Terima kasih ISMA di atas pengalaman dan juga wasilah tarbiyah yg sungguh luarbiasa kali ini. Belum pernah sepanjang mengikuti tarbiyah, lembaran risalah tarbawi yang dirujuk selama ini benar-benar terasa diuji di aspek amali. Sehinggalah ke detik PRU-13 baru-baru ini. Antara lain yang dapat dikutip:

1) Kefahaman yg bertambah dlm aspek siyasi dan tasawwur Islam. Selama ini amat minimum/hampir tiada sebarang pengetahuan mengenai dalil A-Quran dan hadith serta perbahasan mengenai aspek ini. Tetapi tarbiyah kali ini menuntut saya mengkaji, membaca dan membandingkan tulisan serta pandangan dan kata-kata daripada pelbagai sumber. Tidaklah saya menjadi pakar dalam urusan ini, tapi paling kurang saya sedar dan cakna isu semasa. Saya kira, kefahaman terhadap fikrah yang dibawa ISMA juga semakin jelas dan mendalam. Alhamdulillah. Saya juga sedar bahawa kefahaman yang jelas amat dituntut utk kesinambungan Islam pada generasi masa depan.

2) Mendidik diri menjadi ikhlas. Tiada sebarang habuan saya perolehi, malah kesukaran dan kesakitan sahaja yang menanti, maka diri dapat dididik untuk kembali kepada ‘mengapa saya lakukan semua ini’. Dan jawapan yang kerap diberi untuk hati yang lemah adalah, kerana saya mengharapkan redha Allah SWT, setelah saya faham apa yang saya ingin lakukan. Berusaha dan terus berusaha berulang-kali untuk mengingatkan hati. Semoga Allah SWT berikan saya keikhlasan dalam berjuang.

madihah3) Beramal dengan anggota, bukan sekadar lisan atau menaip di FB. Selama ini saya cukup selesa berusrah dan menggunakan FB untuk memberi peringatan kepada diri dan rakan-rakan. Tetapi kali ini terpaksa turun kepada masyarakat melakukan kafilah dakwah, berpanas dan bersusah, menghadapi pelbagai karenah dan cara fikir. Saya kerap teringat, sukarnya dakwah Rasulullah, dan betapa setiap hari baginda mengetuk pintu rumah-rumah di Mekah tanpa rasa putus asa menyampaikan risalah.

4) Penghayatan yang lebih bermakna bila menyebut perkataan ‘Jihad’. Terpaksa memandu seawal 3 pagi atau awal lagi untuk ke destinasi tarbiyah adalah satu jihad buat saya dan keluarga. Meninggalkan anak yang masih menyusu badan untuk tujuan tarbiyah ini juga adalah satu jihad. Semuanya lebih bermakna daripada ungkapan-ungkapan jihad berbentuk teori selama ini.

5) Melatih diri berkorban adalah elemen terbesar dalam bentuk tarbiyah kali ini. Saya kira, pengorbanan saya masih terlalu minima berbanding ikhwah akhawat yang mengorbankan masa, membelanjakan kesemua wang gaji sehingga terpaksa mengikat perut dan memberikan barang kemas serta apa sahaja yang ada untuk membantu urusan PRU kali ini. Namun, paling tidak, saya dapat merasa sendiri peperangan yang berlaku di antara iman dan nafsu ketika datang kepada saya tuntutan untuk berkorban secara ‘real’. Saya benar-benar dapat menghayati erti pengorbanan di mana ianya berlaku bukan dengan lebihan harta atau masa yang ada, tetapi berkorban yang sebenarnya adalah apabila kita memberi di kala diri sendiri benar-benar memerlukan. Saya kira, tidak ada wasilah tarbiyah lain setakat ini yang mampu memberikan pengalaman manis serupa ini! Saya juga turut merasa kagum dan mendoakan para pejuang Islam lain yang selama ini lebih dahulu ke depan dan berusaha keras mempertahankan Islam, terutamanya sahabat-sahabat PAS.

6) Saya belajar untuk mentaati ketua dengan lebih baik. Setiap perkara dalam tarbiyah kali ini diputuskan oleh ketua kawasan masing-masing. Kami bergerak dalam pasukan, dan saya belajar merujuk dan meminta izin dalam urusan serta mentaati arahan yang diberikan. Saya cukup kagum dengan semangat muda para belia, merekalah jundi yang paling taat dan setia. Semoga Allah SWT memberkati mereka.

7) Saya belajar erti thabat. Meskipun banyak sekali ujian datang sepanjang tempoh ditarbiyah dalam PRU 13 ini, kami tetap meneruskan langkah. Bilangan yang teramat sedikit tidak menjadi asbab kami merasa lemah hati atau ingin berundur. Saya kerap mengingatkan diri bahawa kemenangan adalah pada sisi Allah, bukannya jumlah undi yang dibuang manusia. Sekiranya seruan Islam sampai dan membawa kebaikan kepada seluruh umat, saya berharap Allah SWT mengiranya sebagai satu kemenangan.

8) Saya benar-benar merasakan praktikal kepada konsep ‘Tajarud’ iaitu melepaskan diri daripada sebarang anasir luar dan benar-benar membawa fikrah Islam yang tulen. Hati saya merasa lapang dan tenang kerana saya mampu meletakkan seruan Islam paling tinggi dalam latihan dakwah kali ini tanpa merasa tergugat pada sebarang perkara lain.

9) Ukhuwwah yang mengesankan, dan begitu nyata dapat saya rasai kali ini. Bertemu akhawat yang pertama kali seolah-olah telah mengenalinya seumur hidup. Merasakan nikmat serta manisnya ukhuwwah. Saya meninggalkan bayi yang masih menyusu badan tanpa sedetik pun kerisauan kerana Allah SWT memberikan keyakinan bahawa akhawat yang menjaga anak saya pasti menjaganya dengan sangat baik, seolah-olah anak sendiri. Senyuman diukir hampir setiap masa meskipun saya tahu hati mereka berat dan susah. Keperluan kami yang datang dari jauh sentiasa cuba dipenuhi, sehingga mengingatkan saya kepada ukhuwwah ansar kepada muhajirin. Menulisnya sekarang membuatkan hati saya begitu rindu sekali.

10) Kepercayaan (thiqah) yang semakin menebal terhadap kepimpinan, dan seluruh ahli. Saya menyaksikan sendiri kesan tarbiyah dalam diri mereka, dan merasa insaf serta berdoa semoga Allah SWT mengurniakan umat ini para pejuang seperti sahabat-sahabat saya dan mana-mana umat Islam lain yang sentiasa berjuang untuk Islam.

Meskipun terlalu sedikit sekali sumbangan saya kali ini dibandingkan dengan ikhwah dan akhawat lain, saya amat bersyukur dipilih Allah SWT untuk turut bersama ditarbiyah dalam siri tarbiyah yang unik ini. Semoga diterima dan dapat dijadikan penebus dosa saya yang telah lalu.

Oleh:
Madihah Rushaidi
Aktivis ISMA
Sumber: https://www.facebook.com/notes/madihah-rushaidhi/terima-kasih-isma/10151437071484033

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *