Tiga hakikat

Tiga hakikat penting berkaitan dengan dakwah kita yang kita bawa melalui ISMA ini, saya harap saudara fahami dengan sungguh-sungguh. Saya akan menyebutkan dengan ibarat yang ringkas dan pendek supaya mudah diingati.<!–more–>

Hakikat Pertama

Pertamanya, fikrah kita Islam semata-mata.

Ketahuilah bahawa dakwah kita adalah dakwah Islam (penyerahan diri kepada Allah), dakwah agama atau dakwah mengajak manusia menuju pengabdian diri kepada Allah.

Oleh itu hanya ada satu cara dan satu jalan iaitu jalan yang dilalui oleh Rasulullah s.a.w dan pengikutnya tanpa pengurangan dan tambahan. Kita tidak mungkin sampai ke destinasi dengan mengambil cara-cara lain.

Firman Allah bermaksud: “Katakanlah wahai Muhammad; inilah jalanku, aku menyeru kepada Allah bersama pengikut-pengikutku”.

Fikrah kita, objektif kita, wasilah dan uslub kita adalah Islam dalam semua aspeknya. Imam al-Banna menyebut, “dakwah kita ialah Islam yang mudah seperti yang dibawa oleh nabi Muhammad s.a.w”.

Kita bukan parti politik walaupun menegakkan pemerintahan Islam adalah objektif kita dan cara kita sangat berbeza dengan parti-parti sekular dan NGO-NGO yang berasaskan tujuan-tujuan tertentu mengikut ideologi, peraturan dan undang-undang sekular yang dicipta oleh manusia.

Sekiranya hendak diungkap mengikut gaya fikir orang zaman sekarang khususnya mereka yang sezaman dengan Al Banna maka ia merangkumi ciri-ciri dakwah salafiah, tarikat sunniyyah, hakikat sufiyyah, lembaga siasah, kumpulan sukan, pertubuhan budaya, syarikat ekonomi dan pertubuhan sosial. Ia merangkumi semua makna-makna tersebut tanpa terjuzuk-juzuk.

Hakikat Kedua

Setelah lama bergabung dalam harakah dan melalui tarbiah yang panjang. Dalam masa yang sama belum ada tanda Islam akan mengambil alih peranan kepemimpinan Negara. Lalu timbullah pelbagai persoalan tentang kebenaran jalan ini.

Satu persoalan yang sering diperkatakan ialah apakah natijah dari tarbiah yang panjang ini? Adakah kita sudah melahirkan produk yang kita kehendaki? Atau kita telah gagal? ……. Kesangsian yang timbul apabila melihat anak-anak harakah yang walaupun sudah lama mengikuti tarbiah tetapi dirasai belum dapat membuahkan hasil yang diharapkan.

Perkara ini timbul mungkin disebabkan oleh ketidakjelasan dari segi pengharapan terhadap natijah yang hendak dihasilkan oleh proses tarbiah itu sendiri. Boleh jadi setiap orang ada persepsi sendiri dalam menilai pencapaian. Persoalan ini jika dibiarkan tanpa dijawab dengan baik akan membawa kepada natijah yang buruk bukan sahaja pada golongan lama itu tetapi juga kepada adik-adik yang baru.

Inilah hakikat yang kedua yang ingin saya sebutkan, iaitu bahawa natijah daripada tarbiah Islamiah ialah untuk melahirkan seorang muslim yang sebenar yang berjaya di sisi Allah dalam hidupnya di dunia dan juga akhirat.

Sebenarnya persoalan bilakah seseorang akan mencapai objektif daripada tarbiah dirinya sangat bergantung kepada bagaimana ia bertaamul dengan pengertian-pengertian (maani) tarbawi sesuai dengan posisi yang dia ada dan ujian yang ditempuhi dalam persekitaran hidupnya. Dengan erti kata lain, ia begitu tergantung kepada kemampuan seseorang untuk menjuruskan pengalaman hidupnya selari dengan syariat Allah s.w.t atau sunnah Rasulullah s.a.w. Apabila berlaku pensejajaran antara nafsu dan syariat, waktu itu dia telah sampai dan tarbiah telah menghasilkan natijahnya.

Ia bukan terikat dengan menghabiskan silibus atau tempoh penglibatan tetapi proses mujahadah diri dan peningakatan dalam meninggalkan sifat-sifat mazmumah dan menghayati sifat-sifat mahmudah. Dari kalangan kita ada yang pernah pernah mendengar ungkapan yang manarik dari seorang ulama tarbiah Islamia yang menyebut: “ia bukan berkaitan dengan menghabiskan/ jarak perjalanan, tetapi salahi nafsu kamu nescaya kamu akan sampai“. Masanya untuk sampai mungkin lambat dan mungkin cepat, namun ia bukan proses yang tamat dimana-mana persimpangan tertentu.

Tarbiah dari buaian hingga ke liang lahad….mujahadah berterusan.

Firman Allah s.w.t yang bermaksud, “Katakanlah wahai Muhammad jika kamu mencintai Allah maka ikutlah aku, nescaya kamu dikasihi Allah“.

Jika matlamat tertinggi yang didambakan oleh seseorang hamba ialah untuk mendapat kecintaan Allah maka laluan yang harus tempuhi ialah dengan mengikut sunnah Rasulullah s.a.w.

Mengikut sunnah adalah dengan mujahadah diri. tidak beriman seseorang kamu sehingga hawa nafsunya mengikut apa yang aku bawa”, hadis. Kita dapat memerhatikan dengan jelas kepentingan elemen “mujahadah nafsu” dalam tarbiah Islamiah.

Ulama membahagikan nafsu kepada kepada sekurang-kurangnya tiga jenis:

1. Nafsu ammarah iaitu nafsu yang menggesa buat jahat

2. Nafsu lawwamah iaitu nafsu yang ada kesedaran apabila ia membuat maksiat ia mencerca dirinya

3. Nafsu mutmainnah iaitu nafsu yang terdidik sepenuhnya di mana dia tenang dan reda sepenuhnya dengan apa yang disuruh oleh Allah s.w.t (mengikut sunnah Rasulullah s.a.w)

Tarbiah dengan itu satu proses yang menyeluruh dan berterusan. Seseorang hamba akan sentiasa teruji dalam pergolakan hidupnya dan sentiasa harus berwaspada.

Oleh itu hamba tersebut sentiasa memerlukan tunjuk ajar, bimbingan, peringatan, nasihat, berpesan-pesan atas kebaikan, bersyura, bermujahadah, bermuhasabah diri dan menuntut ilmu secara berterusan agar dia tidak tersilap dan melakukan kesalahan yang menyebabkan dia gagal dalam untuk sampai kepada maqam takwa dan sekali gus menyebabkan dia gagal dalam proses tarbiah Islamiah, walaupun dia memegang jawatan tinggi dalam harakah, orang pandang hebat, masyhur dikalangan manusia dan sebagainya.

Oleh itu kita tidak boleh ukur kejayaan tarbiah Islamiah ini dengan ukuran maddi tertentu. Sebagai contoh, kita mahu lihat dari tarbiah ini lahir orang-orang hebat, pemimpin, ke depan dan sebagainya. Kita boleh mendambakan natijah-natijah yang seperti itu tetapi apa yang kita harus faham ialah kita tidak dianggap berjaya walaupun kita berjaya melahirkan pemimpin, jika pemimpin yang kita lahirkan itu tidak adil dan amanah. Dalam saf kita, kita boleh menerima berbagai-bagai bentuk natijah yang kita anggap sebagai kejayaan tarbawi. Seorang itu kita anggap sampai atau berjaya dalam tarbiah jika ia terlah mencapai maqam takwa walaupun ia seorang tidak popular dan mampu buat kerja yang tidak glamor pada pandangan manusia kini.

Sebab itu hasil kejayaan dalam tarbiah boleh dilihat dalam berbagai bentuk. Perkara ini sangat jelad diterangkan di dalam al-Quran dan hadis-hadis jika diperhatikan. Tarbiah Islamiah tidak mendambakan satu bentuk kejayaan sahaja. Islam tidak bermatlamat untuk melahirkan orang kaya, berkuasa, berpengaruh, atau apa-apa bentuk yang material sifatnya.

Tetapi Islam mahu melahirkan manusia yang beriman dan bertakwa, dia boleh jadi

i. Orang kaya yang bersyukur

ii. Orang fakir yang sabar

iii. Imam yang adil

iv. Alim yang takut kepada Allah

v. Hamba yang khusyuk

vi. Mujahid yang berjuang dengan niat mati syahid

vii. Dan seumpamanya

Mereka semua berjaya dalam bentuk yang berbagai-bagai mengikut dinamika kehidupan dan potensi diri masing-masing. Dan segala bentuk kejayaan ini diterima dalam saf Islami. Setiap orang sesuai dengan potensi diri masing-masing boleh berjaya dalam tarbiah Islamiah. “setiap orang dipermudahkan untuk mencapai tujuan kenapa ia diciptakan”.

Ini tidak menafikan aspek-aspek pembangunan sumber manusia yang lain yang menjurus kepada pengembangan potensi diri manusia supaya cemerlang dalam menunaikan tugasnya dalam bidang-bidang dakwah tertentu. Tetapi apa yang saya maksudkan ialah dari segi ukuran kejayaan yang mana ianya mengikut nilaian tarbiah islamiah bukan terletak kepada perkara-perkara tersebut. Kita mahu lahirkan manusia yang memiliki kemahiran dan keterampilan dalam hidup, tetapi itu tidak menyelamatkan dirinya dan juga harakah jika kita tidak berjaya menanamkan konsep kejayaan yang sebenar dalam diri mereka.

Hakikat ketiga: Kepemimpinan Dan Qudwah

Dalam Islam kalimah yang paling jamik untuk menceritakan tentang teori kepimpianan ialah perkataan qudwah. Orang yang paling layak digelar pemimpin ialah seorang da’i. Memahami dua hakikat ini dapat merungkai kekusutan politik yang sering berlaku dalam organisasi dakwah yang terpengaruh dengan amalan hizbi dan tidak mendalam fahamnya terhadap hakikat Islam, maudhu’ dakwah yang dibawa oleh mereka.

Kepimpinan Islam ialah orang membawa manusia menuju Tuhannya (kesempurnaan keperibadian) dengan cara menegakkan qudwah. Demikian peri pentingnya qudwah dalam dakwah. Kita sering mendengar kata-kata hikmat “amalan seorang lelaki pada seribu lelaki baik daripada seribu kalimah pada seorang lelaki”.

Khusyuk, warak, inkisar hati (merasai tiada helah) dihadapan kekuatan takdir, keyakinan kepada Allah, tawakkal, kecekalan, kesunguhan, kesediaan untuk berkorban, ithar (mengutamakan orang lain), iltizam syarak yang tinggi, ketat dalam mengambil rukhsah, bersedia berdepan dengan muskilah, tabah dalam ujian, berpandangan jauh, mementingkan tindakan, menjauhi takwil dalam masalah harta dan mengutamakan kepentingan umum atas kepentingan sendiri, tidak menangguh dalam menunaikan wajibat, bertanggunjawab dan tidak membolos diri daripadanya, tidak mudah lepas tangan dan seumpamanya antara sifat-sifat qukwah yang perlu ada pada diri pendakwah.

Pendakwah di abad ke 21 ini berhadapan dengan keruntuhan dalam semua aspek kehidupan. Keruntuhan yang terbesar ialah keruntuhan jiwa dan keinginan untuk bangkit semula dari kejatuhan yang amat teruk. Ini meletakkan ke atas bahu pendakwah satu tanggungjawab yang besar untuk memimpin kebangkitan semula ini. Mereka perlu himmah yang tinggi untuk menegakkan qudwah dalam setiap lapangan, kelau mereka ingin memulihkn keyakinan dan keinginan terhadap projek kebangkitan semula ini.

Tanpa himmah yang tinggi ini ia tidak mungkin dapat menegakkan qudwah, tanpa qudwah ia tidak mungkin dapat melakukan tugas kepemimpinan. Dan tanpa itu semua ia tidak mungkin seseorang menjadi pendakwah yang berjaya. Sesungguhnya Islam telah sempurna, iman telah wujud dalam jiwa umat Islam, apa yang diperlukan ialah menegakkan qudwah. Dan ia tidak dapat dilakukan kecuali oleh pendakwah yang benar.

Betapa ramai orang yang bercakap, tetapi keadaan umat Islam tidak juga berubah. Sebab hanya bercakap tidak cukup jika jiwa perdakwah sendiri kosong dari sebarang kekuatan untuk menegakkan qudwah amali dalam segenap aspek. Bagaimana kita akan dapat tarik manusia kepada Islam jika kita tidak mampu memberi bukti keyakinan bahawa ia boleh dilaksanakan melalui contoh kesungguhan kita dalam melaksanakannya.

Kepimpinan Islam yang sebenar bukan manusia yang menyandang jawatan dan memaksakan qararnya dengan api dan besi, tetapi mereka yang mampu memberi keyakinan dengan qudwah bahawa kegemilangan Islam boleh ditegakkan kembali.

Mereka yang tidak faham hakikat ini berfikir bahawa ia boleh memimpin apabila ia berkuasa dan mendapat mandat sedangkan jiwanya tiada himmah, kalamnya kosong daripada sebarang keyakinan, tingkah laku Islamnya lesu tidak barroh. Dia hanya bijak dengan putar belit dan menghias kelemahan dengan kepalsuan.

Ya Allah! berikan kami kekuatan untuk menegakkan qudwah dijalanMu ini.

Oleh:

Ustaz Abdullah Zaik

Presiden ISMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *