Tindakan persoal Artikel 153 Perlembagaan Malaysia dipertikai

BANGI, 26 Disember – Presiden ISMA, Ustaz Abdullah Zaik Abdul Rahman hari ini mempertikaikan tindakan seorang pemimpin tertinggi agama Kristian yang mempersoalkan Artikel 153 Perlembagaan Malaysia.

Pemimpin tertinggi Gereja National Evangelical Christian Fellowship (NECF), Rev. Dr Eu Hong Eng dilaporkan telah mengeluarkan kenyataan yang mempersoalkan Artikel 153 tersebut semasa sambutan perayaan Krismas semalam.

Artikel 153 Perlembagaan Malaysia memberikan tanggungjawab kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menjaga hak-hak keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera.

Menurut Ustaz Abdullah Zaik, tindakan ini merupakan satu lagi usaha tersirat pihak-pihak yang ingin mencabar hak dan kedudukan orang Melayu dan Bumiputera, sehingga sampai ke tahap mempersoalkan peruntukan-peruntukan yang telah termaktub dalam perlembagaan.

Sikap sebegini menunjukkan bagaimana mereka cuba mengambil apa sahaja kesempatan bagi menafikan hakikat dan sejarah negara serta mencairkan identiti bangsa.

Beliau seterusnya menyeru orang Melayu supaya sentiasa berwaspada dengan perancangan pihak-pihak tersebut dan bersepakat dalam mempertahankan hak dan kedudukan mereka yang dilindungi oleh perlembagaan.

Katanya lagi, perkara-perkara ini tidak sepatutnya dijadikan gadaian politik demi memenangi undi dan mendapatkan kuasa semata-mata.

Sumber: Laman ISMA Pusat

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *