Tips mendidik anak – satu perkongsian pengalaman

spm

Sepanjang menziarahi anak-anak generasi pertama di asrama masing-masing, kami selalu bekalkan makanan atau digelar stok. Aktiviti mingguan ziarah anak di SMKA Hamidiah Kajang, selepas itu ke SBPI Gombak kemudian ziarah yang di KISAS. Melihat mereka membesar dan bertanya keperluan mereka satu rutin biasa. Berkongsi apa yang mereka dapat, cerita-cerita tentang guru-guru, ustaz, ustazah dan karenah mereka menjadikan kami thiqah pada muallim muallimah. Tiada yang negatif. Muallim dan muallimah sentiasa menjadi qudwah terbaik buat mereka.

Antara aktiviti utama ialah tasmi’ hafazan mereka dan bincang silibus usrah. Kami menyediakan silibus hafazan untuk mereka daripada darjah satu sehinggalah ke tingkatan lima. Begitu juga dengan silibus usrah kerana bagi kami, penguasaan usrah sangat penting untuk mereka. Kadang-kadang semasa ziarah inilah mereka akan berkongsi ilmu Bahasa Arab dan kadang-kadang memantau tatabahasa Bahasa Arab yang dicatat dalam buku kecil.

Nubala’ (anak-anak penulis) hanya bersekolah kebangsaan dan tidak ada persediaan SRA, namun usaha yang berterusan untuk mempastikan mereka mahir dalam Bahasa Arab dilaksanakan semasa tadika lagi. Kaedah ‘flash card’, kaedah baca buku kartun berbahasa Arab, kaedah penggunaan buku-buku latihan Bahasa Arab banyak membantu mereka. Ayah mereka sangat serius dalam memastikan anak-anaknya mahir Quran, Tajwid, Bahasa Arab, Aqidah, Fiqh dan ilmu-ilmu deen. Sebagai ibu, saya memberi fokus kepada subjek-subjek akademik. Pembahagian tugas ini sangat memberi kesan yang sangat positif kepada mereka. Anak-anak yang mengambil Bahasa Arab mendapat skor A semasa PMR dan A1 semasa SPM. Anak-anak yang mengambil bidang Sains Tulen Agama dan Sains Sosial Agama juga ada yang mendapat semua A dalam bidang yang diceburi.

Sebenarnya saya memberi fokus kepada peningkatan otak kiri dengan memberi ruang dan peluang untuk mengambil kelas-kelas mental aritmetik, rangsangan catur juga permainan-permainan yang menguji minda.

Sementara Abu Nubala’ memberi fokus kepada penguasaan dan pemantapan otak kanan mereka.  Bagaimanakah caranya meningkatkan lagi penguasaan otak kiri dan otak kanan anak-anak? InshaAllah akan cuba dikongsi dalam status yang lain.

Penguasaan kedua-dua otak kiri dan kanan sangat penting kerana mereka mampu menguasai ilmu secara lebih mendalam dan berfokus. Kaedah untuk meningkatkan IQ anak juga penting untuk diambil serius oleh ibu ayah.

Sedari janin lagi setiap hari mereka akan didengarkan ayat Quran oleh kami. Setiap 5 kali masa solat dan hafazan-hafazan surah penting. Itulah tugas-tugas ibu dan ayah sebelum anak-anaknya lahir ke dunia. Waktu-waktu terluang kami akan sama-sama tadarus, baca Quran untuk disampaikan kepada mereka. Tiada yang lebih ajaib dari ayat-ayat Allah swt, mukjizat dariNya.

Kalau dahulu aktiviti semasa ziarah ialah tasmi’ dan lain-lain lagi, namun untuk anak generasi kedua yang seorang ni berbeza pula caranya. Selain melihat keperluan dan bincang isu-isu yang penting, kami tidak lagi menetapkan surah-surah untuk dibaca dan dihafaz dan selalu bertanya, “Sudah sampai juzu’ berapa?” Bahan-bahan stok pun lebih kepada ubat otak macam bekalan kismis, susu, dan glukos minda. Sungguh berbeza, namun alhamdulillah dengan pencapaian masing-masing. Semuanya anugerah Allah swt diberikan kepada hamba-hambaNya.

Mereka anak-anak yang pasti akan menjadi pewaris generasi ummah. Semoga Allah berikan kekuatan kepada mereka. Kita mahukan anak-anak yang cemerlang di dunia malah lebih lagi cemerlang di akhirat.
Sekadar perkongsian.

Puan Siti Aishah Hamid
Biro Keluarga & Masyarakat
ISMA Alor Setar

Nota: Puan Siti Aishah Hamid adalah Kaunselor Panel LPPKN Negeri Kedah dan sekarang menyambung pengajian peringkat Doktor Falsafah dalam bidang Psikologi Kaunseling di Universiti Utara Malaysia di bawah tajaan Kementerian Pelajaran Malaysia.

One thought on “Tips mendidik anak – satu perkongsian pengalaman

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *