TPPA: Jangan sampai mengemis di negara sendiri

mtem1

KUALA LUMPUR, 3 Julai – Cadangan supaya Malaysia melonggarkan dasar pemilikan bagi mengekalkan kedudukan negara sebagai satu destinasi pelaburan menarik di Asean perlu diperhalusi dan dan diteliti terlebih dahulu, demikian menurut Encik Aliff Basri, Junior Associate di Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM).

Katanya, dalam hal ini pihak kerajaan perlu lebih berhati-hati dengan sebarang perjanjian yang melibatkan antara negara, supaya kepentingan negara tidak akan tergadai hanya melalui satu perjanjian.

“Kerajaan perlu mengambil langkah berjaga-jaga dengan sebarang perjanjian perdagangan bebas, terutamanya dengan negara-negara maju, dan pandangan rakyat harus diambilkira.

“Dalam perundingan TPPA pada ketika ini yang dilakukan dengan penuh rahsia, ia sebenarnya menimbulkan ketidakpuasan hati dalam kalangan rakyat kerana mereka kurang jelas impak negatif yang mungkin akan menimpa mereka,” tegasnya.

Beliau berkata demikian mengulas cadangan daripada pelabur Amerika dan juga seorang penulis Jim Roger yang mengatakan Malaysia boleh muncul sebagai pusat kewangan antarabangsa sekiranya dasar pemilikan asing boleh dilonggarkan kerana menganggap kerajaan Malaysia menguasai sebahagian besar ekonomi Malaysia.

Ujar Aliff, kenyataan tersebut menunjukkan pihak yang berkenaan tidak memahami polisi dan dasar kerajaan Malaysia dengan baik, kerana Malaysia mempunyai polisi dan dasar yang akan menjaga kepentingan semua pihak dalam negara.

Oleh itu dalam apa sahaja situasi sekarang ini, para pelabur luar perlu memahami polisi kerajaan Malaysia dan perlu menyetujui syarat dan dasar yang ditetapkan terlebih dahulu.

Dalam pada itu beliau menambah, para usahawan tempatan perlu diberi peluang untuk menceburi bidang yang lebih mencabar supaya pada masa akan datang Malaysia tidak hanya bergantung kepada syarikat dan pelabur luar semata-mata.

“Misalnya apabila projek besar seperti MRT yang memerlukan kepakaran syarikat asing untuk melaksanakannya,  mereka perlu bersedia menyediakan ruang dan peluang kepada rakyat tempatan untuk mempelajari teknologi yang mereka ada.

“Pada ketika ini, agensi kerajaan seperti  Malaysian Industry-Government Group for High Technology (MIGHT),  berperanan untuk memastikan projek perpindahan teknologi dapat dilakukan dengan baik kepada syarikat-syarikat tempatan, melalui program ‘offset’.

“Dengan cara ini, syarikat tempatan akan mendapat peluang untuk mempelajari teknologi-teknologi baru dan dapat meningkatkan daya saing mereka di peringkat antarabangsa.

“Oleh itu, kita sentiasa menyokong program-program menarik para pelabur asing datang ke negara kita, tetapi ia mestilah dilakukan dengan adil supaya syarikat-syarikat tempat tidak ketinggalan dan mengemis di negara sendiri,” ujarnya ketika dihubungi wartawan ISMA.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *