Tuan Husain Kedah

Tuan Husain ialah seorang tokoh ulama tersohor negeri Kedah yang tidak asing lagi bagi masyarakat negeri jelapang padi.

Nama sebenar beliau ialah Husain bin Muhammad Nasir bin Muhammad Taib bin Haji Mas’ud, namun lebih dikenali sebagai Tuan Husain Kedah sahaja pada era kegemilangan beliau sebagai ulama terhebat.

Tuan Husain dilahirkan di Titi Gajah, Alor Setar, Kedah pada tanggal 2 November 1863.

Ibu beliau ialah Tengku Fatimah binti Tengku Mahmud, iaitu kerabat diraja negeri Kedah yang memerintah wilayah Kubang Pasu Darul Qiyam pada ketika itu.

Beliau melalui ayahnya, Muhammad Nasir berketurunan Sheikh Muhammad Arshad bin Abdullah Al-Banjari dan anak angkat kepada Sultan Khamidullah dari kesultanan Banjarmasin. Datuk beliau pula, Muhammad Taib ialah Mufti Negeri Kedah pada zaman Sultan Ahmad Tajuddin Mukarram Shah (1854-1879).

Tuan Husain dididik dengan ilmu agama oleh datuknya sendiri sebelum berguru dengan alim ulama di Patani, Kelantan, Terengganu dan Perak. Beliau juga pernah merantau sehingga Singapura, Melaka dan Johor utuk bekerja sebagai buruh selain menuntut ilmu agama.

Sekembalinya ke Titi Gajah untuk membantu datuknya mengajar, Tuan Husain berkahwin dengan Wan Khadijah binti Wan Jusoh dan dikurnikan 2 orang cahaya mata.

Pada tahun 1892, beliau bersama isteri belayar ke Mekah untuk menunaikan haji dan menuntut ilmu agama. Di sana, beliau bersahabat dengan Tok Kenali dan Haji Wan Sulaiman bin Wan Sidik.

Pada tahu 1929, Tuan Husain menerima surat buang negeri daripada Tunku Mahmud kerana beliau dikatakan menerbitkan semula kitab Hidayatul Mutafakkirin tanpa kebenaran Mufti Kedah, Haji Wan Sulaiman.

Pergeseran antara Tuan Husain dan Haji Wan Sulaiman yang berlarutan juga menyebabkan Tuan Husain berpindah ke Pokok Sena, Seberang Perai dan membina sekolah pondok di sana.

Setelah Haji Wan Sulaiman meninggal pada 2 Mei 1935, Tuan Husain kembali ke Kedah dan menetap di Padang Lumat setelah dipujuk sendiri oleh Tunku Mahmud.

Pada tanggal 10 Februari 1936, Tuan Husain menghembuskan nafas terakhir dan dikebumikan di Titi Gajah atas wasiat beliau walaupun Tunku Mahmud telah mempersiapkan urusan pengebumian di Makam Diraja Langgar.

KESUNGGUHAN MENYEBARKAN ILMU AGAMA

Antara kelebihan Tuan Husain yang wajar dicontohi ialah di mana sahaja beliau berpindah dan bermukim, Tuan Husain akan mendirikan sekolah pondok dan menjemput penduduk tempatan tanpa mengira umur untuk datang menuntut ilmu.

Di sepanjang hayatnya, Tuan Husain telah berhijrah dan menubuhkan sekolah pondok di Alor Ganu (1897), Bohor (1900) di mana Tunku Mahmud (Pemangku Sultan Kedah), Sheikh Ismail Hamzah (bekas Mufti Perak) dan Sheikh Idris al-Marbawi (pengarang Qamus al-Marbawi) turut hadir menuntut ilmu, Bagan Ulu atau Pantai Merdeka (1912), Selengkoh di Sungai Limau (1920), Batu 16 Padang Lumat (1924) dan Pokok Sena di Kepala Batas (1929).

Antara kitab-kitab yang telah ditulis ialah Tamrin al-Sibyan, Hidayat al-Mutafakkirin, Kasr-al-Iksir dan Tanbih Al-Ikhwan fi Tadbir al-Ma’isyah wa Taslih al-Buldan.

Kitab Tanbih Al-Ikhwan fi Tadbir al-Ma’isyah wa Taslih al-Buldan membicarakan urusan kehidupan dan pembangunan negara menurut Islam dan ditulis pata tahun 1935.

TEGAS DENGAN PRINSIP

Antara kisah kehidupan yang menggambarkan Tuan Husain seorang yang berprinsip ialah:

1) Anak-anak murid pondok memakai seluar dan berkopiah hitam, merokok, menyanyi, bersiul dan bergaul bebas antara lelaki dan perempuan. Bagi mengelakkan pergaulan bebas antara penuntut lelaki
dan perempuan, tempat tinggal dan tempat belajar mereka diasingkan, malah pondok bujang dan kelamin juga turut dipisahkan. Sekiranya
terdapat perlanggaran peraturan dan disiplin, beliau akan merotan murid-murid yang terlibat sebagai pengajaran bagi mereka tanpa mengira umur dan keturunan murid tersebut

2) Sekolah pondok dibuka di kawasan di mana perkembangan ilmu agama tiada. Apabila penduduk tempatan telah ramai yang faham ilmu agama, beliau akan berhijrah ke tempat yang baru.

3) Pergeseran dengan sahabat beliau, Haji Wan Sulaiman berlaku akibat tidak bersetuju dengan tindakan Haji Wan Sulaiman yang membenarkan tarikat Naqsyabandiyah diajarkan secara bebas selain hukum wang faedah daripata syarikat kerjasama dan cara pungutan zakat oleh amil-amil zakat.

#MalaysiaNegaraIslam #UlamaKedah #SejarahKedah

Rujukan: 
Napisah Karimah Ismail & Farid Mat Zain, SUmbangan Tuan Husain Kedah terhadap Perkembangan Islam di Kedah, Prosiding Nadwah Ulama Nusantara, UKM.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.