TV ISMA suarakan pandangan rakyat di luar blok kepartian

BANGI, 7 Mac – Penubuhan TV ISMA bertujuan untuk menjadi saluran bagi majoriti rakyat menyuarakan pandangan dan maklum balas mereka terhadap isu-isu yang memberi impak besar kepada negara, jelas Pengerusi Biro Media dan Penerangan Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Dr. Kamil Azmi Tohiran.

“Kebanyakan media hari ini terikat pandangan mereka kepada blok-blok kepartian, yang mana kecenderungan ketaksuban ini menyebabkan pandangan majoriti umum yang tidak menguntungkan blok parti mereka tidak mendapat ruang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai objektif penubuhan TV ISMA yang telah dilancarkan secara rasmi baru-baru ini.

Pelancaran tersebut disempurnakan oleh Presiden ISMA, Ustaz Abdullah Zaik Abdul Rahman semasa program Dialog Masa Depan Agenda Islam.

Menurut Dr. Kamil, TV ISMA juga menjadi platfotm untuk menyampaikan pendirian dan cadangan ISMA sesuai dengan agenda besar yang dibawa bagi mengembalikan semula jatidiri umat dan membina Malaysia sebagai sebuah negara yang unggul di atas landasan Islam.

http://tvisma.net

Beliau menzahirkan harapan agar kewujudan TV ISMA di pentas ledakan teknologi maklumat hari ini akan membantu negara bagi melahirkan masyarakat yang bermaklumat, sensitif terhadap isu berkaitan Islam dan survival umatnya serta hidup berpandukan syarak.

“ISMA menginsafi bahawa masyarakat kini sering disogokkan dengan hiburan yang melalaikan, natijahnya sebahagian dari mereka keliru dengan arus liberalisasi yang menyerang dari segenap sudut dan akhirnya kehilangan agenda.

“Jadi inilah sedikit sumbangan ISMA yang disalurkan melalui TV ISMA,” ujarnya.

Dr. Kamil juga berharap agar TV ISMA mendapat sokongan dan dokongan seluruh lapisan masyarakat dalam menjayakan agenda membina negara yang merdeka sepenuhnya dari segala bentuk penjajahan dan tunduk seluruhnya kepada ketetapan Allah SWT.

Sumber: ISMA Pusat

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *