Ulasan KKMM: Pendidikan Anak-anak: Cabaran dan Penyelesaiannya

“Lahirnya anak Adam itu dalam keadaan yang fitrah. Ibubapanyalah yang bertanggungjawab membentuk samada wataknya cenderung kepada gelagat Nasrani, Yahudi dan Majusi atau sebaliknya” merupakan sebuah pesanan yang cukup ringkas dan padat berdasarkan sebuah hadis daripada Rasulullah s.a.w ini adalah sangat tepat untuk menyimpulkan keseluruhan isi kandungan kertas kerja kedua hasil daripada pembentangan Prof. Dato’ Dr. Sidek Baba, Profesor Pendidikan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada Konvensyen Keluarga Melayu Muslim 2011 anjuran Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA). Konvensyen ini telah diadakan di Putrajaya pada 23 Oktober 2011 dengan membawakan tema “Membudayakan Perencanaan dalam Keluarga Melayu Muslim”.

Membentangkan kertas kerja yang bertajuk “Pendidikan Anak-anak: Cabaran dan Penyelesaiannya”, Prof. Dato’ Dr. Sidek Baba telah menekankan betapa pentingnya bagi setiap ibubapa untuk melengkapkan diri dengan ilmu asas dan keterampilan dalam menguruskan anak-anak yang mempunyai kerenah masing-masing yang pelbagai.

Apa yang menarik hati saya adalah penerangan beliau berkenaan keperluan ibubapa untuk mempersiapkan anak-anak sebagai calon bapa dan ibu sejak dari usia muda. Ini hanya boleh dicapai dengan kesedaran ibubapa untuk menyediakan suasana yang kondusif di rumah yang secara tidak langsung mendidik anak-anak untuk mempelajari, mengetahui, membuat persepsi dan memahami bahawa setiap perlakuan ibubapa terhadap anak-anak adalah untuk menyediakan mereka menjadi calon suami atau isteri yang terbaik.

Dengan memetik pesanan Saidina Uthman, “Didiklah generasi kamu dengan ilmu yang sesuai dengan zamannya”, Prof. Dato’ Dr. Sidek Baba mengulas dengan lebih lanjut bahawa setiap ibubapa harus sentiasa peka dengan kerenah anak-anak dalam mendepani arus cabaran semasa yang semakin menyempitkan ruang waktu bagi ibubapa dalam mencari masa yang berkualiti untuk diluangkan bersama anak-anak. Inilah yang mungkin menjadi salah satu cabaran besar bagi setiap ibubapa pada zaman kini yang mana akhirnya membuka jurang hubungan antara ibubapa dan anak-anak. Ini boleh menjadi sebab kepada timbulnya pelbagai kerenah anak-anak yang terkadang membimbangkan para ibubapa.

Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab setiap ibubapa untuk cuba mencari jalan penyelesaian bagi menghadapi cabaran ini. Antara langkah-langkah yang disarankan oleh beliau adalah setiap ibubapa perlu mendekati anak-anak dari masa kritikalnya iaitu bermula awal kelahiran sehingga aqil baligh, memberikan kasih sayang dan belas kasihan yang secukupnya, menjadi qudwah atau contoh teladan kepada anak-anak, serta mengenalpasti anak-anak yang bermasalah dan berpotensi.

Betapa besarnya peranan ibubapa dalam menjadi contoh kepada anak-anak kerana sudah menjadi fitrah bagi seorang anak menjadikan ibubapanya sebagai model bergerak yang akan diikuti. Menafikan sumber contoh dan teladan kepada anak-anak ibarat membiarkan sebatang pokok tanpa dibaja dan disiram dan terbiar dengan tumbuhan rumput dan lalang di sekelilingnya.

Di bahagian akhir, beliau turut menekankan bahawa setiap anak-anak mempunyai masalah yang berbeza. Oleh itu, cara untuk mendepani dan mendekati permasalahan ini haruslah berbeza dan ibubapa perlu juga untuk mencari akar kepada permasalahan ini dalam misi mencari jalan penyelesaian. Begitu juga dengan potensi yang ada pada anak-anak. Perbezaan potensi ini seharusnya menjadikan ibubapa lebih kreatif dan kritikal dalam mengenalpasti potensi anak-anak dan seterusnya menyediakan ruang yang kondusif baginya untuk mengembangkan potensi tersebut.

Saya suka untuk memetik kata-katanya di akhir pembentangan beliau iaitu, “Bengenal pasti kerenah anak-anak sejak awal umur lagi amat dituntut. Kerenah ini boleh menjadi indikator mengenai gelagat dan kecenderungan yang akan dituju oleh anak-anak apabila besar dan dewasanya nanti.” Oleh itu setiap daripada kita seharusnya cuba sedaya upaya untuk mempersiapkan diri seoptima yang mungkin dengan segala ilmu yang berkaitan dengan pendidikan dan pembentukan anak-anak untuk menghadapi pelbagai cabaran akan datang dalam misi menjadikan mereka sebagai anak-anak pendokong generasi harapan.

Sumber: Laman web Wanita ISMA

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *